“Epik Basikal Tua” paparan pertama kali basikal tua di iPad melalui aplikasi iBH (Berita Harian Online)


Paparan PERTAMA mengenai basikal tua yang bertajuk "Epik Basikal Tua" di iBH (Berita Harian Online) yang menghiasi muka hadapan keluaran iBH edisi ke 17

"Epik Basikal Tua" tersenarai dalam edisi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online) yang boleh di muat turun oleh pengguna iPad di seluruh dunia

Hari ini 21 Oktober 2011 tercipta dan terlakar satu lagi sejarah penting dan bermakna buat hobi basikal tua/klasik di Malaysia apabila Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) muncul menghiasi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online). Buat pertama kalinya paparan basikal tua bertajuk “Epik Basikal Tua” di muat naik ke laman web iBH khusus untuk pengguna iPad (Apple) yang telah dibangunkan oleh kumpulan akhbar paling berpengaruh iaitu Berita Harian. Pengambaran yang telah berlangsung pada Ahad, 2 Oktober 2011 yang lalu memaparkan pelbagai aspek, sudut pandangan dan informasi berguna mengenai hobi basikal tua di Malaysia yang telah dijayakan bersama KBTBB di Bandaraya Warisan Dunia, Melaka. Anda boleh muat turun paparan ini di http://www.bharian.com.my/

Perkataan “Epik” sudah cukup memberikan gambaran yang unik dan luas untuk dikaitkan dengan sejarah yang panjang mengenai basikal tua yang telah bermula sekitar tahun 1890an, ia dimiliki oleh pelbagai latar umur, bangsa dan agama, pelbagai watak besar dan penting serta melalui suatu jangka masa yang lama untuk kita merungkaikan setiap nostalgianya. Basikal tua bukan sekadar kenderaan dan bahan koleksi (collect and see) tetapi seharusnya mampu memberikan kepuasan dan kenikmatan kepada pencintanya. Generasi muda yang kini menjadi harapan untuk meneruskan penjuangan ini seharusnya lebih berani mengeksplorasi saluran, aliran dan teknologi baru yang lebih moden dan sofistikated.

Pelbagai informasi mengenai KBTBB dan aktiviti basikal tua dimuatkan di dalam edisi ke 17 iBH (macam ku kenal basikal German tuu...)

KBTBB sebuah kelab kampung yang paling konsisten melestarikan warisan basikal tua di Malaysia bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara.

Justeru laman blog, Twitter, Facebook dan terkini aplikasi tablet (iPad) menjadi pilihan paling berkesan untuk mendekati peminat-peminat baru. Bagi penulis inilah medium paling efektif untuk kita bersama berjuang memartabatkan hobi basikal tua ini pada masa yang akan datang. Sekadar perkongsian mengenai iBH – iBH memaparkan kandungan maklumat mencakupi pelbagai aspek gaya hidup anda dalam bentuk multimedia interaktif yang ringkas tetapi menarik. Informasi dipersembahkan menerusi penulisan mudah digabung jalinkan dengan paparan foto, video, audio, grafik dan animasi menarik. Kandungan maklumat yang kita peroleh daripada iBH kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja dengan hanya ‘sentuhan jari’. Pembaca bukan sekadar membaca, melihat dan menonton, malah mampu membina arkib informasi multimedia peribadi.

Penulis ingin merakamkan rasa bangga dan hormat kepada semua sahabat-sahabat yang telah bersama-sama berjuang memartabatkan hobi ini untuk dipaparkan di media massa tidak kira apa pun mediumnya samada media cetak mahupun elektronik. Kita berjuang bukan untuk mencari “glamour” semata-mata. Sewajarnya kita menyokong siapa juga yang mendapat perhatian media tidak kira dari mana (selatan hingga utara) kerana secara tidak langsung kita juga mendapat “tempias” promosinya. Malangnya ada segelintir bijak pandai melabelkan bahawa kemunculan kelab-kelab basikal tua di dada-dada akhbar dan tv di Malaysia hanya mencari “glamour” dan mencari publisiti murahan! Adakah kerana “kedangkalan” dan sifat “keanak-anakan” serta “iri hati” telah “membutakan” mereka untuk menilai usaha-usaha yang telah dilakukan pelbagai pihak dan kelab selama ini?

Basikal Cap Kapak NOS dengan barang-barang aksesori NOS dalam kotak pastinya buatan Enngglaannd...

Paparan dan informasi perihal kelab (KBTBB) mengenai latarbelakang, kejayaan dan aktiviti yang dijalankan

Paling penting apabila kita bercakap biarlah dengan substance (bahan) dan bukan sekadar cakap kosong. Setiap percakapan dan omongan kita seharusnya disertai dengan susulan dan tindakan serta hasil kejayaan yang membanggakan. Tidak perlulah untuk penulis menyenaraikan apakah sumbangan yang telah blog Basikal Malaya ini lakukan kepada pembaca dan seluruh komuniti basikal tua di Malaysia. Penulis mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari mana-mana pihak dan penulis sedia bertemu “face to face” dengan sesiapa sahaja yang tidak berpuas-hati dengan blog Basikal Malaya atau penulis sendiri. Sebelum kita nak “mengaibkan” orang, ada baiknya kita lihat dahulu diri kita dengan cermin yang besar agar kita tidak “diaibkan” dengan “tangan sendiri” dan “tangan-tangan ajaib”.

Penulisan blog BM berdasarkan realiti dan refleksi sebenar mengenai sesuatu paparan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak berkenan di hati mengenai cara penyampaian. Masing-masing punya cara tersendiri dan style penulisan. Suka silakan baca kalau tidak sila tinggal blog ini… jangan pula “benci” tapi “rindu”… Apa pun TAHNIAH buat KBTBB kerana berjaya melakar sebuah lagi sejarah penting untuk warisan basikal tua di Malaysia. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khas buat En. Saufi Hamzah bersama team iBH yang telah berjaya mengarap dan mempersembahkan sesuatu yang “luar biasa” mengenai basikal tua kepada seluruh pembaca dan peminat. Semoga usaha murni ini akan memberi faedah dan kenangan seumur hidup buat semua pejuang dan pencinta basikal tua di Malaysia, Nusantara dan dunia. Sekian – Basikal Malaya

3 Responses

  1. Salam,

    Dear Ikhwan,

    Teruskan dengan minat dan usaha anda ini.

    Regards,

    Naim

  2. Tahniah!!!
    Satu medium terkini untuk beri maklumat, kongsi pengalaman dan sekali gus menarik minat generasi muda untuk memelihara dan memulihara Basikal Tua…

    Terbaekkk…..!!!!!!!

  3. salam ikhwan,

    satu penemuan artifak basikal tua yang PERGGGH! tak terbayang dek akal peminat basikal tua beginners mcm saya ni. BEST OF LUCK, semoga jumpa lagi brg2 seperti ini dan jgn lupa dokumenkan secara hard copy.

Leave a comment