Motor + Cycle (basikal berenjin) “Roundtank” pencetus revolusi penciptaan kenderaan moden berenjin


Acara K2N II di Bandung memberi peluang kepada penulis merasa menunggang "Roundtank" yang sangat jarang ditemui di Malaysia

Motorsikal ciptaan Gottllieb Daimler's 1885

Salam Hormat buat semua pembaca BM. Peluang menimba pengalaman mengenai basikal tua/klasik di negara jiran Indonesia telah banyak memberikan pengalaman baru bagi penulis. Boleh dikatakan di setiap acara/event di Indonesia penulis menemui sejenis alat pengangkutan basikal yang berenjin. Bagi sesetengah orang ada yang memanggilnya “mopped” dan ada yang mengelarnya “roundtank”, tetapi bagi penulis istilah “roundtank” lebih popular untuk merujuk pada motorsikal klasik terawal iaitu motor + basikal (motor+cycle).
..
Justeru syarikat-syarikat yang dahulunya menjual/mengeluarkan basikal telah memodenkan perniagaan atau produk mereka dengan menjual basikal bermotor ini. Uniknya kita masih lagi dapat melihat dengan jelas ciri-ciri basikal pada kenderaan yang bermotor ini. Penciptaan kenderaan “roundtank” dianggap sebagai perintis revolusi penciptaan motorsikal dan kereta yang digunakan sehingga ke hari ini.

Hasil kreativiti anak-anak muda Bandung menghasilkan "roundtank" buat sendiri mengunakan enjin mesin rumput.

Merujuk kepada sejarah Gottllieb Daimler’s dari German merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta motorsikal terawal pada tahun 1885 dengan menggunakan enjin petrol. Syarikat motorsikal terawal dan terbesar dunia seperti “Indian” dari Amerika Syarikat pernah muncul sebagai syarikat terbesar dunia mengeluarkan kenderaan ini sekitar tahun 1900. Turut merancakkan revolusi kenderaan beroda dua ini ialah Syarikat Harley Davidson, Orient, Rudge, Norton, BSA, Triumph, AJS, Ariel, James, Sunbeam, New Hudson, dan banyak lagi telah mengeluarkan “roundtank” sebagai produk mereka.

Syarikat "Indian" dari Amerika Syarikat muncul menjadi syarikat motor terbesar dunia mengeluarkan "roundtank" sekitar 1900. Model motor 1906 Indian "Camel Back" 10E Single.

"Roundtank" jenis Sunbeam yang dikeluarkan pada tahun 1916 500cc yang menjadi igauan dan impian Sdr. Sanim NBT (King of The Road)

Inilah model Triumph Roadster yang bakal dibangunkan di Bandung dan akan tiba di Malaysia beberapa bulan atau tahun lagi. Bergantung pada kelulusan budget dan keizinan pihak berkuasa.

Penulis juga tidak menolak bahawa hobi basikal tua ini perlu juga mengalami “revolusi” dan penulis seperti sudah “jatuh hati” untuk mendapatkan sebuah “roundtank” untuk dijadikan “buah hati” dan koleksi peribadi suatu hari nanti. Mungkin di Malaysia harga sebuah “roundtank” ini mencecah harga yang boleh “memecahkan gegendang telinga” namum kalau ada usaha untuk mendapatkannya dari sahabat-sahabat dari seberang harganya pasti “reasonable” (berpatutan).

..
Peluang menaiki dan menunggang “roundtank” sewaktu menghadiri Acara Kayuhan 2 Negara (K2N II) baru-baru ini di Bandung, menguatkan lagi semangat penulis untuk berusaha mendapatkannya sedaya upaya. Pernah juga penulis terlihat “kelibat” kenderaan ini di Negeri Sembilan milik seorang taukey Kedai Motor namun tidak berkesempatan untuk “meminang” dan bertanyakan berapakah harga “mas kahwinnya”…Pada entry kali ini penulis sajikan beberapa foto-foto “roundtank” yang menjadi idaman penulis… Sekira ada fakta-fakta yang tidak tepat mohon diperbetulkan. Sekian. – Basikal Malaya

Model D - AJS keluaran tahun 1915 menjadi kegilaan Sdr. Jebat Melaka yang sudah mula menjual semua koleksi basikal tua nya.

Model H - BSA keluaran tahun 1921 yang pasti diminati oleh Sdr. GB dari Batu Gajah.. yang ini "putuih tali kasut 10 kali" pun takkan jumpa kat Batu Gajah..

Peugeot 660cc keluaran tahun 1906... milik siapakah "roundtank" ini...tunggu saja kemunculannya di K2N Kali Ke 3....jangan marahhh haaa...

Hahaaaa...apa tunggu lagie...carik ler...kita bakooo...kitaa bakooo jer... ada "roundtank" barulah terhebattssss...

Advertisements

Raleigh Roadster Nottingham 1913 (ukuran frame 28″) kondisi asli


Salam hormat buat semua pengunjung blog BM.
Di Malaysia, ukuran 28″ pada basikal tua seringkali merujuk kepada ukuran tayar tetapi istilah sebenarnya ukuran 28″ bagi kolektor dan peminat basikal seluruh dunia ianya merujuk kepada ukuran tinggi frame. Kebiasaannya basikal tua jantan/lelaki/gents jenis basikal kargo/roadster ukurannya adalah dari 22″, 24″, 26″ dan 28″. Secara umumnya basikal tua yang seringkali kita temui di Asia Tenggara dan di negara kita ialah dari ukuran 22″ dan 24″ kerana ia mengikut purata ketinggian pemiliknya manakala untuk ukuran tinggi 26″ dan 28″ adalah sangat jarang sekali ditemui. Disebabkan ukuran frame yang tinggi selalunya basikal ukuran 26″ dan 28″ ini dimiliki oleh orang-orang Inggeris/Eropah dan India/Punjabi/Pakistan yang datang ke Asia Tenggara. Untuk mengayuh basikal ukuran tinggi ini ketinggian seseorang itu haruslah mempunyai ketinggian melebihi 5′ 7″ ke atas.

Basikal Raleigh Gents Roadster ukuran 28" untuk lelaki tinggi melebihi 5'7" ke atas.

Baru-baru ini penulis telah menemui sebuah basikal 28″ jenis Raleigh Roadster yang dipercayai telah dikeluarkan pada tahun 1913. Melalui kajian penulis di laman blog Sheldon Brown (http://www.sheldonbrown.com/) iaitu seorang pakar rujukan basikal klasik Inggeris bertaraf dunia, basikal Raleigh ukuran 28” ini dipercayai telah dikeluarkan oleh syarikat Raleigh pada lewat tahun 1913 berdasarkan nombor pendaftaran (registration number) pada framenya iaitu 47xxxx (6 digit) yang dijual pada harga £5.19.6. Basikal ini menggunakan 3 speed (Tricoaster) iaitu trigger pistol dan rim tayar buatan khas Sturmey Archer Roadster Nottingham.

Speed Trigger pistol atau Tricoaster buatan Sturmey Archer disamping handle bar dan sistem brek dalam yang unik

Untuk kelajuan - 3 Speed buatan Strurmey Archer Nottingham digunakan syarikat Raleigh pada keluaran basikalnya

Tempat lampu berbentuk R (Raleigh) dan besi brek depan halus

Pastinya keunikan basikal Raleigh ukuran 28″ terletak pada ketinggian framenya. Bagi menguatkan dakwaan bahawa basikal ini keluaran 1913 (keluaran tua) lihat saja pada transfer merk yang ada pada frame dan peti rantainya. Selain daripada itu crank yang digunakan juga belum lagi menggunakan crank logo burung disamping pedalnya yang masih terukir tulisan Raleigh yang condong di tengah-tengah. Rantainya juga masih tertera tulisan Raleigh disamping memiliki handle bar dengan sistem brek dalam berbeza dengan sistem brek biasa yang besinya di luar. Di harapkan penerangan ringkas penulis ini dapat memberikan sedikit manfaat dan info berguna buat semua peminat basikal Raleigh di dalam memburu koleksi-koleksi yang unik dan berharga.

Penulis memohon maaf seandainya apa yang dipaparkan ini ada yang terkurang dan berharap kita semua dapat berkongsi ilmu untuk terus melestarikan hobi ini. Sesungguhnya kita saling melengkapi dan perlu-memerlukan. ..ibarat kita mengayuh basikal, semuanya harus seimbang untuk kita terus bergerak ke hadapan dan sampai ke destinasi tujuan. Semoga paparan ini berguna buat semua – Basikal Malaya (BM)

Brooks B28 buatan Great Britain spring pintal dan beg Brooks di palang

Ini padel champion untuk basikal yang betul-betul tua dan klasik, lihat saja tulisan Raleigh di tengah itu.

Jangan tak caya...rantai pun Raleigh tau...

Saksikan beberapa foto-foto menarik mengenai Raleigh Roadster ukuran frame 28″.

Acara Kayuhan 1 Citra, 1 Jiwa, 1 Ekspresi pembuka tirai 1.1.11 bukti basikal tua terus diminati


60 peserta mengabadikan tarikh 1.1.11 di hadapan Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka

60 peserta mengabadikan tarikh 1.1.11 di hadapan Memorial Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka

Selamat tahun baru 2011 buat semua! Tarikh 1.1.11 sewajarnya dijadikan tarikh keramat untuk menyuntik semangat baru basikal tua di Malaysia untuk terus gemilang dan maju ke hadapan. Penulis ingin merakamkan sekalung TAHNIAH buat KBTBB kerana telah berjaya mengadakan Acara Kayuhan 1 Citra, 1 Jiwa dan 1 Ekspresi pada 1.1.2011 yang lalu. Penulis difahamkan bahawa tarikh tersebut sepatutnya diadakan acara kayuhan yang besar di selatan tanahair tetapi telah ditunda oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan oleh pihak penganjur.
Walaupun banyak pihak yang hampa dan kecewa di atas pengumuman tersebut namum itulah yang dinamakan takdir, kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan segalanya. Mujurlah KBTBB mempunyai rancangan untuk mengadakan 1 acara kayuhan bersempena kedatangan tahun 2011 di Melaka , setidak-tidaknya terubatlah kekecewaan ramai peminat yang ingin berkayuh terutamanya dari Melaka, Muar, dan Perak. Justeru kedatangan tahun baru 2011 dan tarikh 1.1.11 dimanfaatkan sepenuhnya untuk memartabatkan basikal tua di negara tercinta dan terpahat sebagai catatan sejarah.
Seramai 11 peserta dari Muar, Johor turut memeriahkan acara kayuhan 1 Citra, 1, Jiwa, 1 Ekspresi bersama KBTBB
Seramai 11 peserta dari Muar, Johor turut memeriahkan acara kayuhan 1 Citra, 1, Jiwa, 1 Ekspresi bersama KBTBB
Kehadiran basikal tua di Bandar Melaka membuktikan basikal tua masih diminati dan dicintai oleh peminatnya

Kehadiran basikal tua di Bandar Melaka membuktikan basikal tua masih diminati dan dicintai oleh peminatnya

Acara yang sederhana ini telah disertai seramai 60 peserta yang bergabung bersama KBTBB yang memulakan acara kayuhan mereka di Batu Berendam, Melaka. Peserta dilepaskan (flag-off) di hadapan pengkalan KBTBB oleh Sdr. Ghafar Othman iaitu Pengerusi JKKK Batu Berendam bersama Sdr. Zulkifli Osman iaitu Penaung KBTBB tepat jam 8:45 pagi. Apa yang membanggakan ialah kehadiran sahabat-sahabat basikal tua dari Muar, Johor yang hadir dengan 11 peserta semata-mata mahu melestarikan basikal tua dan bersama-sama menjayakan acara kayuhan. Penulis merasakan wujudnya 1 Jiwa yang sama di dalam hobi ini apabila melihat sendiri minat dan kesungguhan sekumpulan individu yang sanggup datang membawa basikal tua masing-masing pada hari tersebut.

Secara peribadi, penulis pula  melihat acara ini dari sudut yang berbeza. 3 perkara yang jelas penulis dapat kongsikan melalui acara kayuhan ialah PERSAHABATAN, KEPUASAN dan WARISAN. Bagi penulis agen pemangkin utama untuk meneruskan hobi ini ialah PERSAHABATAN, tanpa sahabat dan sokongan mereka pastinya hobi ini akan sepi, sejuk dan membosankan. Penulis mendapati dengan menyertai acara-acara sebegini kita akan dapat ramai sahabat, ini terbukti apabila penulis dapat mengenali dan berkenalan dengan ramai sahabat-sahabat basikal tua dari dalam mahupun luar negara. Dari sahabat ada yang kini penulis anggap sebagai saudara.

Kedua KEPUASAN, untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja dan mencari ketenangan minda penulis meluangkan masa untuk berkayuh bersama sahabat-sahabat. Penulis berasa puas apabila dapat menghirup udara segar, melihat keletah dan ragam manusia disamping merasai tunggangan basikal yang telah direstorasi. Apabila ada KEPUASAN barulah kita rasa happy dan peaceful. Penulis rasa puas apabila dapat memakai pakaian klasik dan mengayuh basikal tua dengan bebas untuk mengekspresikan diri sepertimana yang diinginkan.

Ketiga WARISAN, kita sepatutnya rasa bangga dan bertuah kerana memiliki basikal tua. Basikal tua kini mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai dan telah menjadi warisan untuk bangsanya. Penulis paling bangga apabila melihat adik-adik yang baru berumur 6 tahun dan belasan tahun sudah mula meminati hobi ini. Sekurang-kurangnya  sudah ada generasi pelapis untuk meneruskan hobi ini di masa hadapan. Melalui acara kayuhanlah mereka berpeluang merasai nikmat mengayuh basikal tua dengan memakai pakaian yang mereka mahukan. Penulis optimis dan pasti warisan ini dapat dikekalkan sekiranya komuniti basikal tua terus melestarikan hobi ini.

Penulis (BM), Sdr. Jebat (KBTBB) dan Sdr. Sanim (NBT) hadir bergabung untuk memastikan basikal tua di Malaysia terus lestari dan diminati

Penulis (BM), Sdr. Jebat (KBTBB) dan Sdr. Sanim (NBT) hadir bergabung untuk memastikan basikal tua di Malaysia terus lestari dan diminati

Deretan basikal tua di hadapan Stadhuys (Bangunan Merah) sentiasa mengamit minat dan tarikan pelancong yang datang ke Melaka

Deretan basikal tua di hadapan Stadhuys (Bangunan Merah) sentiasa mengamit minat dan tarikan pelancong yang datang ke Melaka

KBTBB membuktikan bahawa basikal tua bukan sahaja untuk golongan dewasa tetapi juga untuk generasi muda

KBTBB membuktikan bahawa basikal tua bukan sahaja untuk golongan dewasa tetapi juga untuk generasi muda

Walaupun sibuk dengan rutin kerja Penulis tetap meluangkan masa untuk berkayuh bersama basikal klasik kesayangan

Walaupun sibuk dengan rutin kerja Penulis tetap meluangkan masa untuk berkayuh bersama basikal klasik kesayangan

Kehadiran basikal kecil jenis Norman milik salah seorang peserta menjadi tumpuan peserta-peserta yang hadir

Kehadiran basikal kecil jenis Norman milik salah seorang peserta menjadi tumpuan peserta-peserta yang hadir

Acara kayuhan 1.1.11 memberi peluang kepada penulis menemui otai-otai dari Melaka dan Johor untuk berkongsi ilmu dan pengalaman

Acara kayuhan 1.1.11 memberi peluang kepada penulis menemui otai-otai dari Melaka dan Johor untuk berkongsi ilmu dan pengalaman

Kini...di mana ada kayuhan dan acara pasti ada jual-jualan spare-part basikal tua...peluang berniaga bagi peniaga

Kini...di mana ada kayuhan dan acara pasti ada jual-jualan spare-part basikal tua...peluang berniaga bagi peniaga

Mr. G dari Perak masih cemerlang dan kental dengan semangat basikal tua...tidak pernah ketinggalan menyertai acara anjuran KBTBB

Mr. G dari Perak masih cemerlang dan kental dengan semangat basikal tua...tidak pernah ketinggalan menyertai acara anjuran KBTBB

Sokongan padu dari Penaung KBTBB dan Pengerusi JKKK, Batu Berendam menjadi pemangkin basikal tua di Melaka terus aktif dan progresif

Sokongan padu dari Penaung KBTBB dan Pengerusi JKKK, Batu Berendam menjadi pemangkin basikal tua di Melaka terus aktif dan progresif

Pengalaman berharga di KSI 2010 hari ke-2 : Part III


Iklan Klinik Sepeda Fongers dan Simplex bersama Prof. Andyt seperti yang di war-warkan di laman blog Wiwinaked pada acara di KSI

Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri buat semua sahabat BM,
Terlebih dahulu penulis ingin memohon maaf kerana terpaksa mengabaikan blog BM buat sementara waktu demi memenuhi tuntutan dan tugasan di pejabat disamping berehat untuk beramal di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Lebih dua bulan Kongress Sepeda Indonesia (KSI 2010) berlangsung namun penulis masih terasa kesan dan pengalaman sewaktu menghadirinya pada bulan Julai yang lalu. Manakan tidak, ramai sahabat-sahabat yang penulis temui sewaktu di KSI masih mengirimkan berita dan berkongsi pengalaman melalui FB (Facebook) penulis.

Pada bahagian terakhir hari ke-2 part ke III ini penulis ingin berkongsikan sedikit pengalaman menghadiri Klinik Sepeda sewaktu di KSI. Salah satu sebab utama mengapa penulis terbang ke Jakarta menyertai KSI ialah untuk menghadiri dan menyertai Klinik Sepeda seperti yang telah diwar-warkan di blog sahabat penulis iaitu di Wiwinaked (Wira-wiri). Ternyata kepakaran prof. Andyt di dalam mengupas dan mempersembahkan pengalaman serta penyelidikannya di dalam 2 jenama terkenal ini sememangnya sukar dipertikaikan. Bagi penulis beliau layak diiktiraf sebagai “ahli” atau “munshi” di dalam jenama Fongers dan Simplex dan kajiannya terhadap basikal tua bagi penulis bertaraf dunia.

Prof. Andyt begitu energatik berkongsikan pengalaman dan pengetahuannya di dalam memperincikan basikal jenis Fongers dan Simplex kepada penonton

Melalui Klinik Sepeda ini, Prof. Andyt berjaya membawa penonton dan peserta mengenali sejarah awal penciptaan basikal tua ini yang pada awalnya telah diadaptasikan daripada basikal ciptaan Inggeris iaitu dari jenama Sunbeam. Seperti yang kita sedia maklum basikal terbaik dunia seperti Sunbeam dijadikan rujukan untuk penghasilan dan merevolusi semula ciptaan kebanyakan basikal buatan Holland (Belanda). Jadi kepada pemilik-pemilik Sunbeam yang ada di Malaysia seharusnya kita menjaga khazanah berharga ini sebagai bahan rujukan terpenting suatu hari nanti.

Prof. Andyt menunjukkan ukuran sebenar frame basikal itu diukur dan menerangkan kedudukan no. siri pada frame

Pada pengamatan dan pemerhatian penulis, Prof. Andyt bukan sahaja memiliki pengetahuan yang luas melalui penyelidikan dan kajiannya tetapi memiliki kemahiran mengenali usia dan buatan Fongers dan Simplex yang asli dengan mudah melalui no. siri dan ukuran frame serta komponen. Selain daripada itu beliau juga mampu mengenali basikal tua yang telah direstorasi atau diubah komponennya disamping mengutarakan hujahan dan penerangan terperinci mengenai dua jenama yang dikajinya.

Penulis sempat mengabadikan kenangan dan tanda persahabatan dengan Prof. Andyt dengan berfoto di hadapan pentas utama.

Walaupun hanya sering melihat komentar Prof. Andyt di Wiwinaked dan bertemu di ruangan blog namun pertemuan empat mata bersama beliau di KSI sangat bermakna bagi penulis. Pertemuan kami bagaikan sudah lama mengenali satu dengan yang lain, begitulah uniknya persahabatan basikal tua dari dua negara yang berkongsi satu hobi yang unik.

Di sebelah petangnya, penulis sempat meluangkan masa untuk mendengar "talk-show: touring bike" mengenai perkongsian pengalaman sahabat-sahabat basikal mengembara di seluruh Indonesia menaiki basikal

Disebelah petang hari kedua, penulis sempat menyertai “talk-show” mengenai “touring-bike” bersama sahabat-sahabat yang pernah melalui pengalaman mengembara mengunakan basikal menjelajah bumi Indonesia sejauh beribu-ribu batu. Ada juga peserta yang mengembara ke luar negara untuk merasai pengalaman unik mengembara mengayuh basikal kerana cinta mendalam mereka kepada basikal. Penulis sempat mengutip sedikit pengalaman dan tips berguna untuk dikongsikan kepada sesiapa yang berminat untuk melakukan aktiviti kembara mengayuh basikal mereka di masa hadapan. Penulis akan kembali menyambung laporan KSI untuk bahagian terakhir iaitu hari ketiga selepas Aidilfitri nanti dengan pelbagai foto dan pengalaman menarik. Untuk itu penulis tinggalkan blog BM dan paparan ini sebagai bahan bacaan menjelang lebaran buat semua – Basikal Malaya

Pengalaman berharga di KSI 2010 hari ke-2 : Part II


Penulis bersama sebuah basikal unik yang "misterius" tidak diketahui tahun dan jenis buatannya

Pada bahagian kedua (Part II) penulis ingin berkongsikan pengalaman melihat dengan dekat koleksi-keleksi basikal milik sahabat-sahabat basikal tua Indonesia. Penulis sempat merakamkan beberapa foto menarik melalui lensa kamera ketika di tapak Karnival (KSI 2010). Untuk makluman kebanyakkan basikal tua yang dipamerkan berusia dari awal 1920 – 1960an. Terdapat juga beberapa koleksi yang mencatat usia lebih 100 tahun. Pastinya koleksi-koleksi yang bakal dipaparkan melalui paparan kedua ini sangat sukar diperolehi di Malaya (Malaysia) kerana kebanyakkan kolektor hanya fokus mencari basikal dari jenama Raleigh dan terbatas pada basikal buatan England.

Tidak keterlaluan penulis katakan bahawa bumi Indonesia masih banyak menyimpan khazanah berharga terutamanya koleksi-koleksi basikal tua yang “rare” dan unik bukan sahaja basikal yang dibawa masuk dari Belanda bahkan dari serata dunia. Tidak mustahil satu hari nanti Indonesia akan menjadi pusat kajian dan rujukan basikal tua di dunia kerana masih memliki khazanah yang sangat bernilai ini. Sewajarnya kita di Malaysia juga harus menjadikan negara tetangga ini sebagai sumber rujukan dan belajar dari sahabat-sahabat di sana bagaimana melestarikan basikal tua dalam istilah yang sebenar.

Untuk itu amati betul-betul foto-foto yang dipaparkan terutamanya darisegi frame, warna, crank, dan aksesori. Mungkin banyak yang kita boleh pelajari dengan “muhasabah” diri di manakah letaknya tempat kita di dalam dunia basikal tua ini. Adakah kita sudah berada sama tinggi, di bawah atau berada di atas? Pastinya kita akan tahu betapa “kerdil”nya kita apabila melihat koleksi-koleksi dari sahabat-sahabat negara jiran kita ini – renung-renungkan dan fikir-fikirkan… – Basikal Malaya

This slideshow requires JavaScript.

Pengalaman berharga di KSI 2010 hari ke-2 : Part I


Penulis (kanan) berpeluang bertemu Wali Kota Jakarta (di Malaysia - Datuk Bandar) Bapak Syahrul Effendi di tapak Karnival di hari ke 2 - KSI 2010

Sabtu, 17hb Julai 2010 – Penulis bangun seawal 6:00 pagi untuk bersiap-siap ke tapak Karnival yang terletak tidak jauh dari The Sultan Hotel. Tepat jam 7:30 penulis telah berada di tapak Karnival KSI untuk melihat persiapan Majlis Perasmian oleh Wakil Menteri (tak ingat kementerian mana) diiringi oleh Bapak Wali Kota Jakarta Bapak Syahrul Effendi. Untuk makluman penulis pernah bertemu Bpk Syahrul sewaktu di BLO (Bandung Laoutan Ontel) 2009 dan ternyata beliau masih kenal dan ingat kepada nama penulis. Di hari kedua, penulis ingin berkongsikan 2 perkara penting yang berlaku. Pertama pertemuan bersama Wali Kota Jakarta dan kedua tentang aktiviti yang berlaku di tapak Karnival.

Peluang yang ada sewaktu bertemu Bapak Syahrul Effendi penulis gunakan sebaiknya untuk menjalinkan persahabatan yang lebih erat bersama komuniti basikal tua di Indonesia. Ternyata beliau juga berminat untuk datang melawat Malaysia suatu hari nanti. Menurut beliau telah banyak kali beliau dijemput untuk datang ke Malaysia tetapi masih belum berkesempatan. Penulis dengan rendah diri berkata kepada beliau “Saya tunggu bapak di Kuala Lumpur (Malaysia) nanti…”. Penulis juga terharu sebenarnya dengan sambutan beliau sewaktu di acara Perasmian KSI di hari pertama di mana kehadiran penulis selaku peninjau (pemerhati) dimaklumkan kepada seluruh anggota Kongres.

Di tapak Karnival, penulis sempat bertemu ramai sahabat-sahabat Kayuhan 2 Negara dan sahabat-sahabat sewaktu di BLO 2009. Alhamdulillah penulis berasa amat berbesar hati kerana kehadiran penulis diterima dan memang tidak cukup masa untuk bersembang dan berbual panjang dengan sahabat-sahabat yang penulis temui sewaktu berada di sana. Dikesibukan bertemu ramai kenalan sempat juga penulis membeli beberapa helai T-Shirt KSI 2010 untuk sahabat-sahabat di Malaysia dan menjeling-jeling (usha-usha) apa yang patut di tapak jualan barang-barang basikal di siar kaki (corridor) Kolam Renang di Senayan.

Tapak jualan yang dipenuhi lebih 30 peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan part basikal sehinggalah menjual sebuah basikal yang “complete” dengan harga yang amat berpatutan. Sempat jugalah penulis membeli beberapa barang-barang (yang rare) untuk dijadikan koleksi peribadi. Teringat pesan Sdr. Jebat (KBTBB) “Bro kau carikan aku barang yang paling RARE yer…”, penulis tersenyum sendiri bila nampak barang-barang yang betul-betul RARE. Pastinya kalau penulis bawa rombongan untuk K2N ke 2 pada 2011 nanti pasti “bersih” barang-barang yang ada dibeli oleh mereka 🙂 Untuk itu penulis kongsikan beberapa foto-foto penting di hari kedua…nantikan paparan Part II di hari kedua. – Basikal Malaya

Kehadiran Wakil Kerajaan (Wakil Menteri) yang diiringi Bpk. Syahrul Effendi (Wali Kota Jakarta) melawat pameran basikal klasik

T-Shirt Eksklusif KSI 2010 yang pertama - pasti bertuah sesiapa yang memilikinya

Lebih 30 penjual menjual pelbagai barangan basikal tua dengan harga yang berpatutan kepada pengunjung

Basikal kecil ini ditawarkan dengan harga 3 juta rp (RM1200)...murah tuu!

Deretan basikal tua yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan...pilih aje mana yang berkenan

Unik. Terpandang merk MILLER dijual...pasti dahulu wujud basikal jenis ini di Nusantara kan? Ada banyak lagi merk yg pelik2 beb

Basikal Malaya akan ke Jakarta menyertai KSI (Kongres Sepeda Indonesia) pada 16-18 Julai 2010


Poster KSI (Kongres Sepeda Indonesia 2010) yang mempromosikan acara terbesar dan terhebat untuk tahun 2010

Penulis mewakili Basikal Malaya (BM) dan Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB) akan menyertai Kongres Sepeda Indonesia yang akan berlangsung pada 16hb sehingga 18hb Julai 2010. Sebagai menyokong usaha Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang dibarisi oleh sahabat-sahabat yang telah hadir untuk Kayuhan 2 Negara (K2N) seperti Pak Dimas, Fahmi, Alex, Pak Chandra dan ramai lagi. Tidak sampai hati rasanya bagi penulis untuk menolak undangan menyertai KSI 2010 yang bakal berlangsung dengan penuh meriah. Penulis difahamkan acara KSI adalah acara yang terbesar pernah diadakan di Indonesia dengan menyajikan pelbagai acara hebat yang menarik dan unik selama 2 hari ia berlangsung. 

Prof Andyt juga akan menjadi Presenter untuk Klinik Sepeda pada KSI 2010

Kehadiran penulis ke KSI ialah untuk menimba pengalaman dan pengetahuan serta mahu belajar dari sahabat-sahabat basikal tua di sana untuk mengendali dan menjayakan acara yang lebih besar di peringkat nasional/antarabangsa. Penulis terpanggil untuk hadir menyaksikan perhimpunan 50,000 (lima puluh ribu) basikal di jalan raya berkayuh beramai-ramai dan bayangkan berapa banyak basikal tua pula akan hadir dengan pelbagai ragam dan pakaian unik. Selain itu acara KSI akan mempamerkan himpunan basikal-basikal yang benar-benar antik dan klasik serta unik dan pastinya penulis akan berpeluang meneliti dan dapat melihat sendiri basikal-basikal tersebut secara “live” (langsung).

Basikal tendem yang dikenali sebagai "Twin-Bike" juga akan dipamerkan

Twin-bike antara berpuluh basikal unik yang akan mengambil bahagian di KSI 2010

Justeru itu…nantikan update dan kemaskini blog Basikal Malaya sejurus penulis kembali ke tanahair membawa bahan-bahan paparan khas buat semua peminat-peminat basikal tua di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai KSI silalah ke blog Wiwinaked http://sepeda.wordpress.com/ – Basikal Malaya.