“Epik Basikal Tua” paparan pertama kali basikal tua di iPad melalui aplikasi iBH (Berita Harian Online)


Paparan PERTAMA mengenai basikal tua yang bertajuk "Epik Basikal Tua" di iBH (Berita Harian Online) yang menghiasi muka hadapan keluaran iBH edisi ke 17

"Epik Basikal Tua" tersenarai dalam edisi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online) yang boleh di muat turun oleh pengguna iPad di seluruh dunia

Hari ini 21 Oktober 2011 tercipta dan terlakar satu lagi sejarah penting dan bermakna buat hobi basikal tua/klasik di Malaysia apabila Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) muncul menghiasi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online). Buat pertama kalinya paparan basikal tua bertajuk “Epik Basikal Tua” di muat naik ke laman web iBH khusus untuk pengguna iPad (Apple) yang telah dibangunkan oleh kumpulan akhbar paling berpengaruh iaitu Berita Harian. Pengambaran yang telah berlangsung pada Ahad, 2 Oktober 2011 yang lalu memaparkan pelbagai aspek, sudut pandangan dan informasi berguna mengenai hobi basikal tua di Malaysia yang telah dijayakan bersama KBTBB di Bandaraya Warisan Dunia, Melaka. Anda boleh muat turun paparan ini di http://www.bharian.com.my/

Perkataan “Epik” sudah cukup memberikan gambaran yang unik dan luas untuk dikaitkan dengan sejarah yang panjang mengenai basikal tua yang telah bermula sekitar tahun 1890an, ia dimiliki oleh pelbagai latar umur, bangsa dan agama, pelbagai watak besar dan penting serta melalui suatu jangka masa yang lama untuk kita merungkaikan setiap nostalgianya. Basikal tua bukan sekadar kenderaan dan bahan koleksi (collect and see) tetapi seharusnya mampu memberikan kepuasan dan kenikmatan kepada pencintanya. Generasi muda yang kini menjadi harapan untuk meneruskan penjuangan ini seharusnya lebih berani mengeksplorasi saluran, aliran dan teknologi baru yang lebih moden dan sofistikated.

Pelbagai informasi mengenai KBTBB dan aktiviti basikal tua dimuatkan di dalam edisi ke 17 iBH (macam ku kenal basikal German tuu...)

KBTBB sebuah kelab kampung yang paling konsisten melestarikan warisan basikal tua di Malaysia bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara.

Justeru laman blog, Twitter, Facebook dan terkini aplikasi tablet (iPad) menjadi pilihan paling berkesan untuk mendekati peminat-peminat baru. Bagi penulis inilah medium paling efektif untuk kita bersama berjuang memartabatkan hobi basikal tua ini pada masa yang akan datang. Sekadar perkongsian mengenai iBH – iBH memaparkan kandungan maklumat mencakupi pelbagai aspek gaya hidup anda dalam bentuk multimedia interaktif yang ringkas tetapi menarik. Informasi dipersembahkan menerusi penulisan mudah digabung jalinkan dengan paparan foto, video, audio, grafik dan animasi menarik. Kandungan maklumat yang kita peroleh daripada iBH kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja dengan hanya ‘sentuhan jari’. Pembaca bukan sekadar membaca, melihat dan menonton, malah mampu membina arkib informasi multimedia peribadi.

Penulis ingin merakamkan rasa bangga dan hormat kepada semua sahabat-sahabat yang telah bersama-sama berjuang memartabatkan hobi ini untuk dipaparkan di media massa tidak kira apa pun mediumnya samada media cetak mahupun elektronik. Kita berjuang bukan untuk mencari “glamour” semata-mata. Sewajarnya kita menyokong siapa juga yang mendapat perhatian media tidak kira dari mana (selatan hingga utara) kerana secara tidak langsung kita juga mendapat “tempias” promosinya. Malangnya ada segelintir bijak pandai melabelkan bahawa kemunculan kelab-kelab basikal tua di dada-dada akhbar dan tv di Malaysia hanya mencari “glamour” dan mencari publisiti murahan! Adakah kerana “kedangkalan” dan sifat “keanak-anakan” serta “iri hati” telah “membutakan” mereka untuk menilai usaha-usaha yang telah dilakukan pelbagai pihak dan kelab selama ini?

Basikal Cap Kapak NOS dengan barang-barang aksesori NOS dalam kotak pastinya buatan Enngglaannd...

Paparan dan informasi perihal kelab (KBTBB) mengenai latarbelakang, kejayaan dan aktiviti yang dijalankan

Paling penting apabila kita bercakap biarlah dengan substance (bahan) dan bukan sekadar cakap kosong. Setiap percakapan dan omongan kita seharusnya disertai dengan susulan dan tindakan serta hasil kejayaan yang membanggakan. Tidak perlulah untuk penulis menyenaraikan apakah sumbangan yang telah blog Basikal Malaya ini lakukan kepada pembaca dan seluruh komuniti basikal tua di Malaysia. Penulis mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari mana-mana pihak dan penulis sedia bertemu “face to face” dengan sesiapa sahaja yang tidak berpuas-hati dengan blog Basikal Malaya atau penulis sendiri. Sebelum kita nak “mengaibkan” orang, ada baiknya kita lihat dahulu diri kita dengan cermin yang besar agar kita tidak “diaibkan” dengan “tangan sendiri” dan “tangan-tangan ajaib”.

Penulisan blog BM berdasarkan realiti dan refleksi sebenar mengenai sesuatu paparan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak berkenan di hati mengenai cara penyampaian. Masing-masing punya cara tersendiri dan style penulisan. Suka silakan baca kalau tidak sila tinggal blog ini… jangan pula “benci” tapi “rindu”… Apa pun TAHNIAH buat KBTBB kerana berjaya melakar sebuah lagi sejarah penting untuk warisan basikal tua di Malaysia. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khas buat En. Saufi Hamzah bersama team iBH yang telah berjaya mengarap dan mempersembahkan sesuatu yang “luar biasa” mengenai basikal tua kepada seluruh pembaca dan peminat. Semoga usaha murni ini akan memberi faedah dan kenangan seumur hidup buat semua pejuang dan pencinta basikal tua di Malaysia, Nusantara dan dunia. Sekian – Basikal Malaya

Sepetang bersama Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK), Banting, Selangor


Gandingan generasi tua dan muda bersama membentuk sebuah kelab baru di Kampung Kundang, Banting, Selangor

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang bukti hobi basikal tua semakin diminati ramai

Siapa sangka pertemuan di Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC, Batu Pahat, 2 minggu lalu menemukan penulis dengan sahabat-sahabat dari Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang (KBKKK) telah membawa penulis untuk mengenali lebih dekat kelab yang baru muncul dari Banting, Selangor ini. Pada Ahad lepas penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sempat meluangkan masa melawat sahabat-sahabat KBKKK di Kg. Kundang, Banting yang lokasinya terletak lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur. Walaupun sedikit lewat dari jadual asal kerana urusan keluarga namun kami sempat sampai dengan selamat di Kg. Kundang yang terletak tidak jauh dari Kg. Tanjung Sepat sekitar jam 3:15 petang.

Setibanya di persimpangan Kg. Kundang kami telah ditunggu oleh Sdr. Adi yang merupakan “orang kuat” KBKKK untuk membawa kami ke “port” mereka iaitu di “Warung KL” yang terletak tidak jauh dari situ. Kehadiran kami telah dinanti oleh lebih 20 orang ahli-ahli KBKKK yang telah menunggu kami sejak jam 2:30 petang. Di situ penulis sudah dapat rasakan “aura” yang ada pada ahli-ahli KBKKK yang ternyata bersemangat, “warm” dan “friendly”. Selepas berehat sebentar, kami diajak untuk ke rumah En. Sucah bin Ahmad untuk sessi suai kenal dan jamuan ringan bersama ahli-ahli KBKKK.

Inilah "markas" atau "pengkalan" KBKKK yang dikenali sebagai "Warung KL" yang terletak di dalam Kampung Kundang

Beberapa ahli-ahli KBKKK sedang menunggu ketibaan penulis dan Sdr. Sanim di rumah En. Sucah

Setelah memperkenalkan diri dan diperkenalkan kepada semua ahli-ahli KBKKK, penulis memulakan acara silaturahim dengan menyematkan Lencana KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Tuan Hj. Miskam bin Hj. Dahlan dan Sdr. Adi sebagai tanda persahabatan sesama pencinta basikal tua. Walaupun acara ini ringkas namun ianya merupakan simbolik dan tanda persahabatan yang penuh bermakna bagi kami. Kerana hobi “basikal tua” lah kami dipertemukan dan menjadi sahabat…dan penulis berdoa agar persahabatan yang baru terjalin ini akan membuka satu lembaran baru bagi KBKKK untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kelab yang disertai gabungan ahli-ahli veteran dan generasi muda seramai 40 orang ahli, penulis dapat menilai potensi dan “kekuatan dalaman” yang ada pada kelab yang baru bertatih ini. Sungguhpun mereka baru namun “semangat” mereka menjadi senjata yang berkesan kerana berani membawa ahli-ahlinya keluar dari Kg. Kundang untuk menimba pengalaman dengan menyertai Pertandingan Basikal Klasik di Batu Pahat dan terkini mereka menyertai satu acara kayuhan basikal terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Inilah transformasi yang harus dilakukan oleh mana-mana kelab yang ada…iaitu “keberanian” untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari “kepompong” dan melihat dunia luar.

Tanda persahabatan - Penulis menyematkan pin KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Hj. Miskam bin Hj. Dahlan

Ini dia orang "paling kuat" KBKKK iaitu Sdr. Adi yang menjadi perancang utama kelab yang baru muncul ini

Perkembangan positif ini bukan sahaja berlaku di Kampung Kundang tetapi juga di sekitar daerah Banting. Sewaktu perjalanan ke sana penulis terserempak dengan sekumpulan ahli-ahli Basikal Tua yang sedang mengayuh pulang dari Pantai Morib sekitar 20 orang menuju ke arah Banting. Di daerah ini dianggarkan sekitar 2-3 kumpulan dari beberapa Kampung juga aktif dengan aktiviti basikal tua dan usaha menjejaki kumpulan-kumpulan ini akan dijalankan sedikit masa lagi. Walaupun kesulitan mencari barang-barang basikal tua semakin sukar dengan senario lintah-lintah darat yang sedang bermaharaja-lela namun ahli-ahli KBKKK masih berjaya memiliki koleksi-koleksi basikal tua yang tidak kurang hebatnya kerana mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri.

Mereka juga mempunyai rangkaian “networking” dalam mengesan barang-barang basikal dan alat-alat ganti untuk keperluan ahi-ahli mereka. Mereka juga mempunyai beberapa “pakar” dalam mengesan dan membaik-pulih basikal tua dengan kos yang paling minimum untuk ahli-ahlinya. Antara koleksi yang dimiliki KBKKK ialah Raleigh, Norman, Hercules, Rudge, New Hudson Posmen, BSA, Jump, Hopper dan sebagainya. Paling mahal ialah kehadiran golongan veteran yang sentiasa memberikan nasihat dan panduan serta pengalaman mereka mengenai basikal tua manakala generasi mudanya menjadi tulang belakang merencana pelbagai aktiviti untuk mengerakkan kelab mereka.

Brader nie bergaya dengan koleksi basikal kesayanganya...

Basikal posmen New Hudson yang masih dalam kondisi original...

Tuan Haji Sibadar bin Hj Abdullah dengan basikal Norman yang dibelinya pada tahun 1960an

Walaupun lawatan kami ke sana merupakan lawatan singkat dek keterbatasan masa namun sempat juga kami berkayuh mengelilingi kampung beramai-ramai. Deringan bunyi loceng basikal tua ternyata masih mampu mengamatkan suasana sewaktu kayuhan. Terasa seronok dapat berbual -bual sambil berkayuh santai mengelilingi kampung. Hampir 40 minit berkayuh kami pulang semula ke rumah En. Sucah untuk menikmati hidangan minum petang yang telah disediakan KBKKK. Selesai makan dan minum sempat juga penulis membuka iPad dan berkongsikan pengalaman penulis melalui gambar-gambar, video dan cerita-cerita menarik mengenai basikal tua kepada ahli-ahli KBKKK. Paling mengejutkan di rumah En. Sucah ada WIFI dan dapatlah penulis membuka blog BM untuk mereka melihat sendiri perkembangan basikal tua tanahair dan senario yang berlaku. Melalui blog yang wujud dapatlah mereka mengetahui perkembangan dunia luar dan pentingnya teknologi dalam kehidupan.

Anak-anak kecl juga sudah diajar dan dibawa menyertai kayuhan basikal tua...taklah jadi hobi untuk golongan2 veteran jer

Hidangan minum petang yang telah disediakan oleh KBKKK untuk semua ahli-ahlinya...

Hidup basikal tua! Hidup basikal tua! Hidup KBKKK!

Yang tua tetap dihormati... tua dan muda sama-sama berbakti... tiada yang tua tiadalah yang muda...

Dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sdr. Adi dan KBKKK kerana sudi menerima kami sebagai tetamu dan berharap persahabatan yang terjalin ini akan terus berkekalan. Penulis juga ingin menjemput semua ahli-ahli KBKKK untuk bersama-sama turun padang pada acara-acara besar yang bakal dirancang oleh KBTBB di masa hadapan. Penulis ingin memohon maaf seandainya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sewaktu singgah sepetang bersama KBKKK. Semoga kelab yang baru ditubuhkan yang penuh ambisi ini terus sukses dan berjaya. Akhir kata hiduplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka! – Basikal Malaya

Koleksiku II: Penemuan terbaharu spare-part dan aksesori basikal tua


Inilah hasil buruan penulis beberapa bulan lepas... tak banyak tapi "lumayan" tangkapan kali ini.

Salam sejahtera buat semua pengikut BM. Setelah setengah tahun penulis berburu pada tahun 2011 inilah hasil yang dapat disajikan untuk “Koleksiku II” setelah berjaya pada tangkapan pertama (sila lihat di sini). Beberapa bulan yang lalu penulis menemui beberapa pasang rim Dunlop lidah 28″ (tayar lipat), rim Dunlop 26 1 3/4 (posmen), Saddle Phillips, Saddle Hercules, Tail-Light, pedal, Lampu Lucas minyak tanah, peti rantai & saddle Hercules dan dua barang yang paling “keras” iaitu Speedometer Cadet buatan Amerika dan Lampu Karbait Lucas Calcia yang kedua-duanya masih berada di dalam kotak (NOS). Maklumat lanjut bolehlah menghubungi penulis di talian 019-606 5575 untuk kita bersama-sama berkongsi pendapat.

Diharapkan dengan paparan ini akan membakar lagi semangat sahabat-sahabat di luar sana untuk terus memburu dan jangan sesekali patah hati atau putus harapan. Penulis yakin dan percaya sekiranya kita berusaha dan rajin mencari inilah hasil yang akan kita perolehi. Tipsnya ialah kena ada ramai kenalan/sahabat, rajin berjalan/mencari, selalu berbuat baik, jangan “kencing” orang, harus jujur dan ikhlas, rajin berusaha, jangan “kedekut”, sembahyang dan berdoa, mengingati Allah setiap masa dan jangan sesekali putus asa – Selamat berburu … Basikal Malaya

Selain Speedometer Smiths, speedometer Cadet buatan Amerika ini tidak kurang "menawan"nya. Harganya jauh lebih murah sesuai untuk dijadikan koleksi dan simpanan dalam galeri.

Sebuah lagi lampu Joseph Lucas Calcia karbaid buatan Birmingham, England (NOS) dijumpai masih berkeadaan terbaik di dalam kotak asalnya yang hampir hancur.

Antara koleksi peribadi penulis yang paling "berharga" ... mungkin taklah berapa "rare" tapi pasti hanya beberapa orang sahaja yang bertuah menemuinya dalam keadaan asal.

Saddle Phillips yang masih berkeadaan baik (NOS)...

Pedal "Favorit" NOS buatan Czechoslovakia memang sesuai untuk basikal 28" kerana ketahanannya

Peti rantai dan saddle Hercules...ini ubat "mujarab" bagi yang lama demam cari barang-barang Hercules...yang berminat pada barang2 ini kita campuaaa jer (barter)

Rim Dunlop Lidah 28" (tayar lipat) dan Rim Dunlop Posmen 26" sebagai pelengkap roda basikal tua...

Motor + Cycle (basikal berenjin) “Roundtank” pencetus revolusi penciptaan kenderaan moden berenjin


Acara K2N II di Bandung memberi peluang kepada penulis merasa menunggang "Roundtank" yang sangat jarang ditemui di Malaysia

Motorsikal ciptaan Gottllieb Daimler's 1885

Salam Hormat buat semua pembaca BM. Peluang menimba pengalaman mengenai basikal tua/klasik di negara jiran Indonesia telah banyak memberikan pengalaman baru bagi penulis. Boleh dikatakan di setiap acara/event di Indonesia penulis menemui sejenis alat pengangkutan basikal yang berenjin. Bagi sesetengah orang ada yang memanggilnya “mopped” dan ada yang mengelarnya “roundtank”, tetapi bagi penulis istilah “roundtank” lebih popular untuk merujuk pada motorsikal klasik terawal iaitu motor + basikal (motor+cycle).
..
Justeru syarikat-syarikat yang dahulunya menjual/mengeluarkan basikal telah memodenkan perniagaan atau produk mereka dengan menjual basikal bermotor ini. Uniknya kita masih lagi dapat melihat dengan jelas ciri-ciri basikal pada kenderaan yang bermotor ini. Penciptaan kenderaan “roundtank” dianggap sebagai perintis revolusi penciptaan motorsikal dan kereta yang digunakan sehingga ke hari ini.

Hasil kreativiti anak-anak muda Bandung menghasilkan "roundtank" buat sendiri mengunakan enjin mesin rumput.

Merujuk kepada sejarah Gottllieb Daimler’s dari German merupakan orang yang bertanggungjawab mencipta motorsikal terawal pada tahun 1885 dengan menggunakan enjin petrol. Syarikat motorsikal terawal dan terbesar dunia seperti “Indian” dari Amerika Syarikat pernah muncul sebagai syarikat terbesar dunia mengeluarkan kenderaan ini sekitar tahun 1900. Turut merancakkan revolusi kenderaan beroda dua ini ialah Syarikat Harley Davidson, Orient, Rudge, Norton, BSA, Triumph, AJS, Ariel, James, Sunbeam, New Hudson, dan banyak lagi telah mengeluarkan “roundtank” sebagai produk mereka.

Syarikat "Indian" dari Amerika Syarikat muncul menjadi syarikat motor terbesar dunia mengeluarkan "roundtank" sekitar 1900. Model motor 1906 Indian "Camel Back" 10E Single.

"Roundtank" jenis Sunbeam yang dikeluarkan pada tahun 1916 500cc yang menjadi igauan dan impian Sdr. Sanim NBT (King of The Road)

Inilah model Triumph Roadster yang bakal dibangunkan di Bandung dan akan tiba di Malaysia beberapa bulan atau tahun lagi. Bergantung pada kelulusan budget dan keizinan pihak berkuasa.

Penulis juga tidak menolak bahawa hobi basikal tua ini perlu juga mengalami “revolusi” dan penulis seperti sudah “jatuh hati” untuk mendapatkan sebuah “roundtank” untuk dijadikan “buah hati” dan koleksi peribadi suatu hari nanti. Mungkin di Malaysia harga sebuah “roundtank” ini mencecah harga yang boleh “memecahkan gegendang telinga” namum kalau ada usaha untuk mendapatkannya dari sahabat-sahabat dari seberang harganya pasti “reasonable” (berpatutan).

..
Peluang menaiki dan menunggang “roundtank” sewaktu menghadiri Acara Kayuhan 2 Negara (K2N II) baru-baru ini di Bandung, menguatkan lagi semangat penulis untuk berusaha mendapatkannya sedaya upaya. Pernah juga penulis terlihat “kelibat” kenderaan ini di Negeri Sembilan milik seorang taukey Kedai Motor namun tidak berkesempatan untuk “meminang” dan bertanyakan berapakah harga “mas kahwinnya”…Pada entry kali ini penulis sajikan beberapa foto-foto “roundtank” yang menjadi idaman penulis… Sekira ada fakta-fakta yang tidak tepat mohon diperbetulkan. Sekian. – Basikal Malaya

Model D - AJS keluaran tahun 1915 menjadi kegilaan Sdr. Jebat Melaka yang sudah mula menjual semua koleksi basikal tua nya.

Model H - BSA keluaran tahun 1921 yang pasti diminati oleh Sdr. GB dari Batu Gajah.. yang ini "putuih tali kasut 10 kali" pun takkan jumpa kat Batu Gajah..

Peugeot 660cc keluaran tahun 1906... milik siapakah "roundtank" ini...tunggu saja kemunculannya di K2N Kali Ke 3....jangan marahhh haaa...

Hahaaaa...apa tunggu lagie...carik ler...kita bakooo...kitaa bakooo jer... ada "roundtank" barulah terhebattssss...

Kejayaan Acara K2N II bukti semangat serumpun (Malaysia – Indonesia) yang tetap membara!


Peluang seumur hidup berkayuh di negara jiran bersama ribuan ontelis dan tercatat sebagai Kelab basikal tua PERTAMA yang hadir bersama ahli-ahlinya ke Indonesia menjayakan acara bertaraf dunia.

Acara K2N II yang memberikan pengalaman berharga kepada 35 peserta dari Malaysia. 1Malaysia... 1Indonesia... 1Nusantara!

Pada 3-6 Jun 2011 yang lalu tercipta satu lagi sejarah yang paling “memorable” buat penulis dan sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Indonesia dengan terlaksananya Acara Kayuhan 2 Negara buat kali yang ke 2. Acara yang berlangsung selama 4 hari 3 malam di Bandung – Jakarta, Indonesia meninggalkan seribu satu kenangan dan sejarah yang tidak mungkin dapat dilupakan buat 35 peserta dari Malaysia yang menyertainya. Mungkin bagi orang lain tiada apa yang istimewanya acara besar seperti ini. Tetapi bagi penulis yang mewakili sebilangan besar pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia ini merupakan satu usaha yang paling berani dan paling besar dalam sejarah basikal tua di Nusantara.

K2N cetuskan semangat 1Malaysia…1Indonesia…1Nusantara
Laungan “1Malaysia…1Indonesia…1Nusantara” menjadi laungan keramat bagi semua peserta yang hadir di Bandung. Berbekalkan semangat yang terus membara ini tiada apa yang mustahil dilakukan oleh kedua-dua komuniti yang berkongsi adat dan budaya. Malahan rata-rata peserta yang hadir tidak merasakan perbezaan yang ketara darisegi bahasa dan cara berpakaian kerana asalnya kita adalah serumpun. Ini terbukti apabila kedua-dua kelab KBTBB dan KOSTI bertemu kembali meneruskan Acara K2N II di Bandung selang setahun demi menunaikan janji masing-masing. Siapa sangka bak kata peserta dari Batu Berendam…”Main besi karat…dapat naik besi terbang…”. Segalanya pasti apabila KBTBB berjaya membawa sebahagian ahlinya terbang ke Indonesia untuk sessi lawatan balas seminggu yang lalu. Penulis pula berasa sangat bertuah kerana acara kali ini ditemani oleh isteri tersayang yang sanggup berkorban masa dan kesihatan demi menyokong perjuangan penulis dan sahabat-sahabat.

Acara K2N II yang dibantu sepenuh komitmen oleh sahabat-sahabat penulis yang sanggup berjuang bermati-matian dari kiri Mr. GB, Mas Iwan, Sdr. Jebat, Sdr. Alex, dan Sdr. Sanim...disokong oleh peserta dari KBAB Sdr. Ramli Hyper.

Penulis bersama isteri tersayang Wawa ditemani oleh "body guard" Taiko Amin (adik sepupu Wawa) Terbang ke bandung demi Acara K2N II

Acara K2N II bukanlah acara biasa-biasa
Acara K2N II bukanlah acara biasa-biasa malahan ia melibatkan nama negara Malaysia dan Indonesia serta nama kerajaan negeri Melaka dan pemerintah di Bandung-Jakarta. Tidak keterlaluan penulis kategorikan Acara K2N II ini merupakan acara bertaraf antarabangsa dan ia merupakan satu-satunya acara yang dapat menghimpunkan peminat-peminat, pencinta dan pejuang basikal tua di dua buah negara dalam satu acara. Belum ada lagi dalam carian dan kajian penulis di laman-laman web yang ada memaparkan acara basikal tua/klasik yang melibatkan 2 negara.

KBTBB mendapat sokongan dari kelab-kelab basikal di Malaysia
Kemunculan Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) 3 tahun yang lalu telah banyak merubah suasana dan atmosfera serta hala tuju (direction) basikal tua tanahair. Semua ini adalah mustahil dapat dilakukan tanpa adanya sokongan padu dari beberapa Kelab basikal tua terkenal seperti Kelab Sepeda Tua Johor Bahru, Kelab Basikal Klasik Muar, Port Swettenham Classic Bicycle, Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang, GETUAS, Kelab Basikal Antik Benut, Pemilik Basikal Tua Chaah-Labis (PECHAL), dan orang perseorangan serta nama-nama individu yang tidak dapat penulis sebutkan di sini.

Bersama 35 peserta K2N II di Gedung Sate di Bandung dalam acara sessi lawatan.

Penghargaan buat KOSTI, PSB Bandung dan KOBA
Setinggi penghargaan khas buat Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang di wakili oleh Pak Zainal, Sdr. Alex, Sekjen Fahmi, Mas Iwan, Mbak Nurul, dan sahabat-sahabat di Indonesia yang menjadi tulang belakang menjayakan Acara K2N II yang penuh gemilang. Selain itu pujian dan penghormatan khas buat Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng-West Java (PSB Bandung) terutamanya kepada Kang Aboy dan Mas Firman yang sentiasa memastikan segala aktiviti dan perancangan berjalan mengikut jadual. Pengurusan Acara K2N II yang berlangsung selama 4 hari 3 malam sangat-sangat sempurna (perfect) dan penulis sendiri sangat-sangat berpuas-hati dengan persiapan dan pengendalian peserta dan acara.

Tahniah buat semua sahabat-sahabat di Bandung. Tidak kurang hebatnya sahabat-sahabat Komunitas Sepeda Ontel Batavia (KOBA) dan kelab-kelab sepeda sekitar Jakarta yang sudi menyambut kehadiran rombongan dari Malaysia di Jakarta yang tampil dengan acara-acara yang penuh kejutan “surprise” yang pastinya tidak mungkin dilupakan seumur hidup. Walaupun cuaca di Jakarta hujan pada sebelah petang namun sahabat-sahabat ontel di sana tetap tidak berganjak dan menunggu rombongan Malaysia sejak pukul 8:00 malam dan setelah menunggu sejak pukul 5:00 petang di Bulatan HI.

Penulis bersama Sekjen KOSTI (kiri) Sdr. Fahmi dan Pengerusi KBTBB (kanan) Sdr. Alias Omar dalam Sidang Akhbar di Bandung.

Penulis ditemubual sewaktu Majlis Perasmian Acara K2N II oleh wartawan-wartawan yang membuat liputan mengenai Acara K2N II di Saung Ujo, Bandung

Menjawap soalan dari Global TV dan TVRI mengenai Acara K2N II selepas acara kayuhan mengelilingi Kota Bandung

K2N II mendukung prinsip persahabatan dan persaudaraan
Pada dasarnya penganjuran dan cetusan idea K2N oleh KBTBB dan KOSTI ini semuanya adalah berprinsipkan persaudaraan dan didasari oleh persahabatan. Banyak soalan-soalan yang penulis terima dari media Indonesia yang bertanyakan apakah motif sebenar Acara K2N II ini? Mudah sahaja jawapannya Acara K2N II adalah acara kayuhan untuk memperkukuh persahabatan dan persaudaraan serumpun. Tiada agenda politik. Tiada kepentingan peribadi. Tiada agenda tersembunyi. Ini adalah acara yang paling jujur dan ikhlas dilakukan untuk melihat pencinta dan pejuang basikal tua kedua-dua negara meraikan pertemuan bersejarah dengan memahami dengan lebih dekat budaya dan cara hidup masing-masing. Acara K2N II diharapkan akan menjadi titik tolak kepada penganjuran acara yang melibatkan lebih banyak negara yang akan menyertainya di masa hadapan.

Meluangkan masa berlibur bersama sahabat-sahabat penulis dari Malaysia dan Indonesia melawat pusat kopi dunia yang termasyur pada tahun 1920-30an.

Fokus kepada acara K2N / K3N pada tahun 2012
Ringkasnya tiada kata yang dapat diungkapkan oleh penulis selama menceburi hobi basikal tua ini apabila melihat basikal tua boleh berjaya ke tahap ini. Tidaklah penulis hiraukan kata-kata atau pandangan-pandangan sinis dan skeptical beberapa individu di luar sana kerana mereka sendiri tahu di manakah letaknya tempat mereka sekarang. Fokus sekarang ialah untuk terus menyambung usaha murni untuk Acara K2N / K3N yang akan digalas oleh kelab-kelab basikal yang lain pula.

Alhamdulillah Kelab Sepeda Tua Johor Bahru telahpun menyahut cabaran untuk membawa acara bertaraf dunia ini dipersembah dan diadakan di negeri Johor kerana penulis secara peribadi yakin orang-orang Johor mampu melakukan “kejutan” untuk peserta-peserta K2N/K3N pada tahun 2012. Kredibiliti dan kemampuan mereka telah pun terbukti melalui Acara Kayuhan Terowong Masa (KTM) awal tahun ini yang boleh diiktiraf sebagai yang terbaik untuk sebuah kelab baru yang masih muda di Malaysia. Manakala KBTBB dan KOSTI akan terus bekerjasama mengembleng tenaga dan usahanya untuk merancang acara-acara yang besar di masa hadapan demi kepentingan komuniti dan ahli-ahlinya.

Nantikan update dan komentar penulis dalam entry seterusnya.

Koleksiku: Kunci Telephone, Kunci GB, Rim Endrick, Saddle Dunlop, SA Dyno Hub, & Speed Hercules


Jom kita cari rim Endrick dan Dunlop sahaja... pastikan yang terbaik dari ladang yer brader.

Salam buat semua pengunjung BM. Tiada apa yang mustahil dalam dunia ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan tetapi harus juga ada kemampuan dan kesanggupan. Kalau inginkan “habuan yang besar” haruslah mempunyai “umpan” yang “menyelerakan”. Selama hampir 3 tahun penulis menceburi hobi “basikal tua” ini banyak juga hasil “tangkapan” yang berjaya diperolehi. Kalau kail panjang sejengkal…bawalah kail yang panjang sedikit…barulah besar “habuan” yang “mengena”. Apa pun “lubuk-lubuk” harus disimpan dan dikunci untuk stok di masa hadapan. 

Bukan apa… kalau dijumpai oleh “kaki karau” atau “pickers” sudah pasti di bawa lori dan di”karau”nya hingga bersih, pasti dijual dengan harga yang “melambung” dan tak masuk akal. So jangan “mimpilah” penulis ingin menyatakan di mana ianya ditemui. Ini barulah yang dinamakan “khazanah” silam yang masih tersimpan.  Khas buat semua… ubatilah hati yang gundah gulana dengan jamuan mata untuk menghilangkan “tension” dan “stress” dalam jiwa yang berkelana. Jangan maraahhh haaaa – Basikal Malaya (*kalau dah dinamakan rezeki pasti tak ke mana… ada otai yang main berbelas tahun pun takde barang2 nie tau*)

Kunjungan ke Flea Market, Amcorp Mall mengimbau nostalgia silam


Pelbagai aneka barangan antik/jadul yang dijual di Flea Market, Amcorp Mall

Beberapa buah lampu karbait untuk basikal tua untuk jamuan mata sahaja...

Salam hormat buat semua sahabat BM. Pada hari Ahad yang lalu penulis dan Sdr. Sanim (Nostalgia Basikal Tua) sempat berkunjung ke pasar lambak/karat atau lebih dikenali sebagai Flea Market, Amcorp Mall yang terletak di No. 18 Jalan Barat, 46050 Petaling Jaya, Selangor untuk menjejak dan melihat barang-barang lama/jadul/antik. Flea Market, Amcorp Mall mula beroperasi sejak 1998 setiap hari Sabtu dan Ahad ini mengumpulkan puluhan peniaga-peniaga yang datang menjual pelbagai barangan tersebut.

Di sinilah penulis belajar dan mengenali dunia antik/jadul bersama-sama rakan-rakan. Kali pertama penulis menjejakkan kaki ke sini ialah pada tahun 2001 setelah 3 tahun ianya beroperasi. Masih teringat lagi kenangan dan nostalgia sewaktu menemui pelbagai jenis tin toys yang menjadi buruan penulis pada ketika itu. Harga sebuah tin toys di situ pada waktu itu sekitar RM8 – RM60 bergantung pada jenis dan buatannya. Selain itu pada tahun 2001 terdapat banyak barangan antik seperti botol, tin toys, signboard, porceline (pinggan mangkuk), pelita, rekod lama, jam tangan, jam dinding, dan pelbagai barangan dijual dengan harga yang sangat murah.

Enamle signboard cembung yang dijual pada harga RM7,000...murahkan?

Ada juga sahabat dari negara jiran datang mencari rezeki berniaga di Amcorp Mall

Berbekalkan RM100 ketika itu macam-macam yang boleh di bawa pulang. Tetapi setelah 10 tahun semuanya telah berubah. Tidak keterlaluan penulis katakan kebanyakkan barang yang dijual di Flea Market, Amcorp Mall tidak banyak berubah. Hanya yang berubah ialah harga yang ditawarkan. Kalau dahulu sebuah tin toys kereta buatan China dijual pada harga RM8 sekarang harganya melambung menjadi RM30 – RM50 begitu juga dengan signboard. Kalau dahulu signboard yang paling mahal pun harganya di bawah RM1000 sekarang ada yang mencecah RM7,000. Memang gila!.

Fenomena harga melambung ini adalah masalah sejagat bukan sahaja tertumpu pada sesuatu hobi tetapi semua hobi mengalami peningkatan/kenaikan harga yang mendadak kerana permintaannya yang tinggi dan sumbernya yang terhad. Ringkasnya lagi “rare” maksudnya lagi mahal…lagi cun hantarannya pun faham-faham sajalahkan. Bagi yang ada akal dan kepala otak ni kena gunakanlah sebaiknya. Penulis mendisiplinkan diri untuk membeli barangan yang betul-betul bernilai dan kondisinya pula masih baik dengan harga yang masuk akal.

Lampu Karbait Lucas Silverking yang ditawarkan dengan harga RM650...Sdr Sanim ketawa dalam hati kerana kat rumah dia ada 2 biji dalam kotak (NOS)

Untuk makluman speedometer Smiths...Sdr. Sanim dah berjaya selamatkan. Kalau datang sini tak payah carik lagi 🙂

Ada juga dikalangan peniaga-peniaga ni merasakan pembeli ni bodoh dan tak tahu menilai barang. Mereka silap! Akibatnya tulah yang kita boleh tengok barang mereka masih dipamerkan di atas meja atau berhabuk dikedai jadi hiasan kerana tiada yang sanggup mengeluarkan wang untuk membelinya. Kunjungan penulis kali ini bersama Sdr. Sanim banyak mengimbau kembali kenangan masing-masing sewaktu mencari barang-barang antik di sini. Walaupun senario pada 2011 jauh berbeza dengan tahun 2001 namun Flea Market, Amcorp Mall masih bertahan dan relaven menjadi pusat berkumpul/pertemuan peminat-peminat antik untuk mencari apa yang mereka hajati…pokoknya bawa saja uwang berjuta semuanya bisa dimiliki di sini.

Pada paparan kali ini penulis sempat merakamkan beberapa foto-foto menarik untuk dikongsikan kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan ke Amcorp Mall. Kepada yang berminat nak ke sini bolehlah menaiki pengangkutan awam iaitu dengan menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) dan berhenti di Stesen Taman Jaya kemudian berjalan kaki selama hanya beberapa minit sahaja. ..nak senang drive jer… Selamat menjamu mata – Basikal Malaya