460 sertai Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar di Malaysia


Acara yang penuh gemilang ini telah merakam sejarah paling penting buat seluruh pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia. Kehadiran 460 peserta di Melaka telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Record (MBR)  sebagai Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar pada 16 September 2012 yang lalu.

Ternyata apa yang diimpikan oleh peminat-peminat basikal tua akhirnya menjadi kenyataan dan realiti apabila acara MBR ini telah berlangsung dengan jayanya di MYDIN, MITC, Melaka.

Inilah bukti sokongan padu komuniti pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia yang disertai 18 buah kelab dan individu-individu dari seluruh Malaysia. Bersatu kita pasti akan MAJU dan JAYA. Tiada yang mustahil dilakukan sekiranya ada tekad dan kemahuan.

Advertisements

Liputan Media mengenai Acara NOBAT Melaka 2012 yang telah berlangsung meriah dan jayanya


ROSLAN Mat Nong (dua kanan) melepaskan 500 peserta seluruh negara termasuk peserta luar negara dari Indonesia menyertai Program Kayuhan Nostalgia Basikal Tua di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir, Melaka, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL

500 sertai Kayuhan Nobat 2012 (Utusan Malaysia)

MELAKA 1 Julai – Kira-kira 500 pemilik basikal tua dari seluruh negara menyertai kayuhan Nostalgia Basikal Tua (Nobat) 2012 sejauh 10 kilometer melalui beberapa kawasan pelancongan negeri di sini hari ini.

Program anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) Melaka itu bermula dari Menara Taming Sari dan antara tempat dilalui ialah Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bangunan Stadthuys, Kampung Morten, Taman Rempah, Little India dan Jalan Quayside.

Acara pelepasan para peserta disempurnakan oleh Penaung KBTBB, Roslan Mat Nong.

Turut sama ialah Komunitas Sepeda Tua Indonesia (Kosti) yang diketuai oleh Zainal Abidin Mohd. Arshad serta Penasihat KBTBB, Zulkifli Osman dan Ghafar Othman.

Menurut Roslan, sebanyak 19 persatuan basikal tua dari seluruh dunia termasuk 27 peserta dari Indonesia yang diketuai Zainal Abidin yang juga Ketua Umum Komunitas Ontel Batayia (Koba) menyertai program Nobat kali pertama itu.

“Program ini dirancang khusus untuk menghimpunkan pencinta dan pejuang basikal tua dari seluruh dunia bertujuan mengeratkan persahabatan tanpa mengira kaum.

“Ia juga menjadi medan menyatukan komuniti basikal tua dan melestarikan nostalgia warisan silam yang menjadi antara pengisian program Sambutan Melaka 750 Tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, para peserta juga bebas untuk mengenakan pakaian masing-masing mengikut kreativiti mereka bagi menghidupkan kembali kenangan silam basikal tua.

“Syabas dan tahniah kepada Pengurusi KBTBB, Alias Omar dan Ketua Projek Nobat 2012, Ikhwan Ibrahim serta semua ahli jawatankuasa kerana berjaya menganjurkan program ini dengan baik walaupun kali pertama diadakan,” katanya.

Siaran Akhbar Utusan Malaysia pada Isnin 2 Julai 2012

Siaran Akhbar Melaka Hari Ini pada 2 Julai 2012

Siaran Akhbar Berita Harian pada Rabu, 4 Julai 2012

Lagi liputan merngenai Acara NOBAT di akhbar Melaka Hari Ini siaran 4 Julai 2012 (Rabu)

Acara NOBAT Melaka 2012 mendapat liputan di Utusan edisi Selatan (Melaka/N.Sembilan) pada Jumaat, 6 Julai 2012

Lagi paparan basikal tua di Acara NOBAT yang disiarkan pada Selasa, 10 Julai 2012 edisi seluruh negara.

Acara NOBAT (Nostalgia Basikal Tua) 2012 – Perhimpunan Basikal Tua Terbesar Malaysia


Pastinya ramai yang sudah mengetahui dan menerima jemputan rasmi dari KBTBB mengenai Acara Nostalgia Basikal Tua (NOBAT 2012) yang akan berlangsung di Menara Taming Sari, Melaka pada 30 Jun – 1 Julai 2012 (Sabtu & Ahad) nanti. Maklumat terperinci mengenai Acara NOBAT 2012 telahpun di hantar kepada pengerusi/ketua/wakil-wakil khas buat kelab-kelab / kumpulan-kumpulan seluruh Malaysia manakala sahabat-sahabat dari Indonesia pula dijemput melalui Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI). Kehangatan Acara NOBAT 2012 kini sedang hangat diperkatakan dan penulis yakin sudah ramai yang tidak sabar untuk hadir ke Melaka setelah sekian lama ternanti-nantikan acara terulung dan terbesar dari KBTBB di tahun 2012 ini.

Berbeza dengan acara-acara yang pernah dianjurkan di Malaysia. Acara NOBAT merupakan satu acara perhimpunan TERBESAR yang menghimpun seluruh peminat, pencinta dan pejuang basikal tua Nusantara dan fokus utamanya ialah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada komuniti dan peserta-peserta yang hadir. Acara ini bukanlah acara pertandingan sebaliknya acara yang menampilkan keunikan, melestarikan warisan, mengembalikan nostalgia dan memberi pengiktirafan kepada peserta-peserta yang hadir sebagai menghargai usaha dan komitmen mereka sekaligus mengangkat martabat dan warisan basikal tua yang sangat bernilai dan berharga ini.

Selain daripada Acara Kayuhan Terbesar yang akan bermula pada Ahad, 1 Julai 2012 tetap jam 7:30 pagi, pihak penganjur juga telah merancang beberapa acara menarik untuk menceria dan memeriahkan Acara NOBAT 2012 sepanjang ia berlangsung. Antara yang menarik ialah:-

1.   Pameran Basikal Tua
2.   Gerai Jualan Aksesori dan Alat-Ganti
3.   Sukaneka Beroda
4.   Perukaran Pin/Cenderahati
5.   Cabutan Bertuah

Bagi penulis acara yang sangat-sangat dinanti-nantikan adalah acara no. 4 iaitu acara Pertukaran Pin/Cenderahati di mana peserta-peserta yang hadir berpeluang untuk mengeratkan silaturahim dan mengenali dengan lebih rapat  serta memperkukuhkan persahabatan antara satu sama yang lain. Peluang mendapatkan pelbagai pin/cenderahati mungkin hanya akan berlaku sekali dalam seumur hidup anda di Malaysia!. Itupun kalau ada mana-mana pihak yang akan sanggup menganjurkan acara besar yang berimpak tinggi serta sanggup berbelanja besar untuk menanggung pelbagai kos. Bukan itu sahaja belum pernah penulis melihat atau mendengar mana-mana acara basikal tua yang menawarkan Hadiah Wang Tunai RM500 untuk peserta bertuah di Malaysia dan memberikan pelbagai hadiah dan pengiktirafan kepada basikal tua selama ini.

Seperti yang diperkatakan Acara NOBAT bukanlah acara PERTANDINGAN sebaliknya Acara NOBAT 2012 akan dimeriahkan dengan adanya pelbagai Anugerah Khas NOBAT oleh pilihan daripada Panel Bebas yang bakal dilantik oleh pihak penganjur. Antara Anugerah yang dicadangkan adalah seperti berikut :-

1.   12 Basikal Tua (Klasik) Terbaik
2.   12 Basikal Berhias Terbaik
3.   12 Pakaian Terbaik (6 Lelaki dan 6 Wanita) 
4.   3 Penyertaan Peserta Paling Ramai
5.   3 Peserta Paling Veteran
6.   3 Peserta Paling Muda 
7.   3 Peserta Yang Datang Paling Jauh

Bagi melayakkan peserta untuk mendapatkan semua yang disebutkan di atas. Peserta dikehendaki mendaftar dengan mengisi Borang NOBAT2012 dengan bayaran  minimum sebanyak RM35.00. Bayaran RM35.00 ini membolehkan peserta Acara NOBAT 2012 mendapat barangan edisi terhad dan eksklusif  seperti di bawah :-

1.   T-Shirt Eksklusif NOBAT 2012
2.   Pin Edisi Terhad NOBAT 2012
3.   Makanan & Minuman
4.   Sjil Penghargaan
5.   Hadiah Cabutan Bertuah dan Pelbagai Hadiah

Ringkasnya – Acara NOBAT 2012 bolehlah penulis kategorikan sebagai 1 acara basikal tua yang paling “diversify” atau penuh dengan KEPELBAGAIAN yang buat julung kalinya dianjurkan oleh sebuah Kelab Basikal Tua tempatan. KBTBB seharusnya diberikan peluang menerajui Acara TERBESAR ini dan mendapat sokongan yang padu dari seluruh peminat, pencinta & pejuang basikal tua tahanair kerana telah berjaya mengambil inisiatif dalam usaha progresifnya melestarikan warisan basikal tua agar terus berkembang di Malaysia dan Nusantara.

Bertemakan “Lestarikan Nostalgia warisan Silam”… marilah kita bersiap sedia untuk hadir ke Acara NOBAT 2012 sebagai tanda sokongan kita terhadap hobi yang kita cintai dan mencatat sejarah dan lembaran baru. Bak kata Sdr. Sanim “Kita jangan lupakan sejarah kerana sejarah itu tidak pernah mati TETAPI pernahkah kita terfikir untuk mencipta sejarah KERANA sejarah itu mungkin tidak akan berulang kembali”. Maklumat lanjut dan pertanyaan silalah hubungi Sekretariat NOBAT 2012 seperti yang tertera di bawah. – Jumpa anda semua di sana!Basikal Malaya

Sila muat-turun / download Borang NOBAT2012 dan kembalikan kepada KBTBB selewat-lewatnya pada 15 Jun 2012.

“Epik Basikal Tua” paparan pertama kali basikal tua di iPad melalui aplikasi iBH (Berita Harian Online)


Paparan PERTAMA mengenai basikal tua yang bertajuk "Epik Basikal Tua" di iBH (Berita Harian Online) yang menghiasi muka hadapan keluaran iBH edisi ke 17

"Epik Basikal Tua" tersenarai dalam edisi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online) yang boleh di muat turun oleh pengguna iPad di seluruh dunia

Hari ini 21 Oktober 2011 tercipta dan terlakar satu lagi sejarah penting dan bermakna buat hobi basikal tua/klasik di Malaysia apabila Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) muncul menghiasi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online). Buat pertama kalinya paparan basikal tua bertajuk “Epik Basikal Tua” di muat naik ke laman web iBH khusus untuk pengguna iPad (Apple) yang telah dibangunkan oleh kumpulan akhbar paling berpengaruh iaitu Berita Harian. Pengambaran yang telah berlangsung pada Ahad, 2 Oktober 2011 yang lalu memaparkan pelbagai aspek, sudut pandangan dan informasi berguna mengenai hobi basikal tua di Malaysia yang telah dijayakan bersama KBTBB di Bandaraya Warisan Dunia, Melaka. Anda boleh muat turun paparan ini di http://www.bharian.com.my/

Perkataan “Epik” sudah cukup memberikan gambaran yang unik dan luas untuk dikaitkan dengan sejarah yang panjang mengenai basikal tua yang telah bermula sekitar tahun 1890an, ia dimiliki oleh pelbagai latar umur, bangsa dan agama, pelbagai watak besar dan penting serta melalui suatu jangka masa yang lama untuk kita merungkaikan setiap nostalgianya. Basikal tua bukan sekadar kenderaan dan bahan koleksi (collect and see) tetapi seharusnya mampu memberikan kepuasan dan kenikmatan kepada pencintanya. Generasi muda yang kini menjadi harapan untuk meneruskan penjuangan ini seharusnya lebih berani mengeksplorasi saluran, aliran dan teknologi baru yang lebih moden dan sofistikated.

Pelbagai informasi mengenai KBTBB dan aktiviti basikal tua dimuatkan di dalam edisi ke 17 iBH (macam ku kenal basikal German tuu...)

KBTBB sebuah kelab kampung yang paling konsisten melestarikan warisan basikal tua di Malaysia bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara.

Justeru laman blog, Twitter, Facebook dan terkini aplikasi tablet (iPad) menjadi pilihan paling berkesan untuk mendekati peminat-peminat baru. Bagi penulis inilah medium paling efektif untuk kita bersama berjuang memartabatkan hobi basikal tua ini pada masa yang akan datang. Sekadar perkongsian mengenai iBH – iBH memaparkan kandungan maklumat mencakupi pelbagai aspek gaya hidup anda dalam bentuk multimedia interaktif yang ringkas tetapi menarik. Informasi dipersembahkan menerusi penulisan mudah digabung jalinkan dengan paparan foto, video, audio, grafik dan animasi menarik. Kandungan maklumat yang kita peroleh daripada iBH kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja dengan hanya ‘sentuhan jari’. Pembaca bukan sekadar membaca, melihat dan menonton, malah mampu membina arkib informasi multimedia peribadi.

Penulis ingin merakamkan rasa bangga dan hormat kepada semua sahabat-sahabat yang telah bersama-sama berjuang memartabatkan hobi ini untuk dipaparkan di media massa tidak kira apa pun mediumnya samada media cetak mahupun elektronik. Kita berjuang bukan untuk mencari “glamour” semata-mata. Sewajarnya kita menyokong siapa juga yang mendapat perhatian media tidak kira dari mana (selatan hingga utara) kerana secara tidak langsung kita juga mendapat “tempias” promosinya. Malangnya ada segelintir bijak pandai melabelkan bahawa kemunculan kelab-kelab basikal tua di dada-dada akhbar dan tv di Malaysia hanya mencari “glamour” dan mencari publisiti murahan! Adakah kerana “kedangkalan” dan sifat “keanak-anakan” serta “iri hati” telah “membutakan” mereka untuk menilai usaha-usaha yang telah dilakukan pelbagai pihak dan kelab selama ini?

Basikal Cap Kapak NOS dengan barang-barang aksesori NOS dalam kotak pastinya buatan Enngglaannd...

Paparan dan informasi perihal kelab (KBTBB) mengenai latarbelakang, kejayaan dan aktiviti yang dijalankan

Paling penting apabila kita bercakap biarlah dengan substance (bahan) dan bukan sekadar cakap kosong. Setiap percakapan dan omongan kita seharusnya disertai dengan susulan dan tindakan serta hasil kejayaan yang membanggakan. Tidak perlulah untuk penulis menyenaraikan apakah sumbangan yang telah blog Basikal Malaya ini lakukan kepada pembaca dan seluruh komuniti basikal tua di Malaysia. Penulis mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari mana-mana pihak dan penulis sedia bertemu “face to face” dengan sesiapa sahaja yang tidak berpuas-hati dengan blog Basikal Malaya atau penulis sendiri. Sebelum kita nak “mengaibkan” orang, ada baiknya kita lihat dahulu diri kita dengan cermin yang besar agar kita tidak “diaibkan” dengan “tangan sendiri” dan “tangan-tangan ajaib”.

Penulisan blog BM berdasarkan realiti dan refleksi sebenar mengenai sesuatu paparan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak berkenan di hati mengenai cara penyampaian. Masing-masing punya cara tersendiri dan style penulisan. Suka silakan baca kalau tidak sila tinggal blog ini… jangan pula “benci” tapi “rindu”… Apa pun TAHNIAH buat KBTBB kerana berjaya melakar sebuah lagi sejarah penting untuk warisan basikal tua di Malaysia. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khas buat En. Saufi Hamzah bersama team iBH yang telah berjaya mengarap dan mempersembahkan sesuatu yang “luar biasa” mengenai basikal tua kepada seluruh pembaca dan peminat. Semoga usaha murni ini akan memberi faedah dan kenangan seumur hidup buat semua pejuang dan pencinta basikal tua di Malaysia, Nusantara dan dunia. Sekian – Basikal Malaya

Sepetang bersama Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK), Banting, Selangor


Gandingan generasi tua dan muda bersama membentuk sebuah kelab baru di Kampung Kundang, Banting, Selangor

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang bukti hobi basikal tua semakin diminati ramai

Siapa sangka pertemuan di Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC, Batu Pahat, 2 minggu lalu menemukan penulis dengan sahabat-sahabat dari Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang (KBKKK) telah membawa penulis untuk mengenali lebih dekat kelab yang baru muncul dari Banting, Selangor ini. Pada Ahad lepas penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sempat meluangkan masa melawat sahabat-sahabat KBKKK di Kg. Kundang, Banting yang lokasinya terletak lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur. Walaupun sedikit lewat dari jadual asal kerana urusan keluarga namun kami sempat sampai dengan selamat di Kg. Kundang yang terletak tidak jauh dari Kg. Tanjung Sepat sekitar jam 3:15 petang.

Setibanya di persimpangan Kg. Kundang kami telah ditunggu oleh Sdr. Adi yang merupakan “orang kuat” KBKKK untuk membawa kami ke “port” mereka iaitu di “Warung KL” yang terletak tidak jauh dari situ. Kehadiran kami telah dinanti oleh lebih 20 orang ahli-ahli KBKKK yang telah menunggu kami sejak jam 2:30 petang. Di situ penulis sudah dapat rasakan “aura” yang ada pada ahli-ahli KBKKK yang ternyata bersemangat, “warm” dan “friendly”. Selepas berehat sebentar, kami diajak untuk ke rumah En. Sucah bin Ahmad untuk sessi suai kenal dan jamuan ringan bersama ahli-ahli KBKKK.

Inilah "markas" atau "pengkalan" KBKKK yang dikenali sebagai "Warung KL" yang terletak di dalam Kampung Kundang

Beberapa ahli-ahli KBKKK sedang menunggu ketibaan penulis dan Sdr. Sanim di rumah En. Sucah

Setelah memperkenalkan diri dan diperkenalkan kepada semua ahli-ahli KBKKK, penulis memulakan acara silaturahim dengan menyematkan Lencana KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Tuan Hj. Miskam bin Hj. Dahlan dan Sdr. Adi sebagai tanda persahabatan sesama pencinta basikal tua. Walaupun acara ini ringkas namun ianya merupakan simbolik dan tanda persahabatan yang penuh bermakna bagi kami. Kerana hobi “basikal tua” lah kami dipertemukan dan menjadi sahabat…dan penulis berdoa agar persahabatan yang baru terjalin ini akan membuka satu lembaran baru bagi KBKKK untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kelab yang disertai gabungan ahli-ahli veteran dan generasi muda seramai 40 orang ahli, penulis dapat menilai potensi dan “kekuatan dalaman” yang ada pada kelab yang baru bertatih ini. Sungguhpun mereka baru namun “semangat” mereka menjadi senjata yang berkesan kerana berani membawa ahli-ahlinya keluar dari Kg. Kundang untuk menimba pengalaman dengan menyertai Pertandingan Basikal Klasik di Batu Pahat dan terkini mereka menyertai satu acara kayuhan basikal terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Inilah transformasi yang harus dilakukan oleh mana-mana kelab yang ada…iaitu “keberanian” untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari “kepompong” dan melihat dunia luar.

Tanda persahabatan - Penulis menyematkan pin KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Hj. Miskam bin Hj. Dahlan

Ini dia orang "paling kuat" KBKKK iaitu Sdr. Adi yang menjadi perancang utama kelab yang baru muncul ini

Perkembangan positif ini bukan sahaja berlaku di Kampung Kundang tetapi juga di sekitar daerah Banting. Sewaktu perjalanan ke sana penulis terserempak dengan sekumpulan ahli-ahli Basikal Tua yang sedang mengayuh pulang dari Pantai Morib sekitar 20 orang menuju ke arah Banting. Di daerah ini dianggarkan sekitar 2-3 kumpulan dari beberapa Kampung juga aktif dengan aktiviti basikal tua dan usaha menjejaki kumpulan-kumpulan ini akan dijalankan sedikit masa lagi. Walaupun kesulitan mencari barang-barang basikal tua semakin sukar dengan senario lintah-lintah darat yang sedang bermaharaja-lela namun ahli-ahli KBKKK masih berjaya memiliki koleksi-koleksi basikal tua yang tidak kurang hebatnya kerana mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri.

Mereka juga mempunyai rangkaian “networking” dalam mengesan barang-barang basikal dan alat-alat ganti untuk keperluan ahi-ahli mereka. Mereka juga mempunyai beberapa “pakar” dalam mengesan dan membaik-pulih basikal tua dengan kos yang paling minimum untuk ahli-ahlinya. Antara koleksi yang dimiliki KBKKK ialah Raleigh, Norman, Hercules, Rudge, New Hudson Posmen, BSA, Jump, Hopper dan sebagainya. Paling mahal ialah kehadiran golongan veteran yang sentiasa memberikan nasihat dan panduan serta pengalaman mereka mengenai basikal tua manakala generasi mudanya menjadi tulang belakang merencana pelbagai aktiviti untuk mengerakkan kelab mereka.

Brader nie bergaya dengan koleksi basikal kesayanganya...

Basikal posmen New Hudson yang masih dalam kondisi original...

Tuan Haji Sibadar bin Hj Abdullah dengan basikal Norman yang dibelinya pada tahun 1960an

Walaupun lawatan kami ke sana merupakan lawatan singkat dek keterbatasan masa namun sempat juga kami berkayuh mengelilingi kampung beramai-ramai. Deringan bunyi loceng basikal tua ternyata masih mampu mengamatkan suasana sewaktu kayuhan. Terasa seronok dapat berbual -bual sambil berkayuh santai mengelilingi kampung. Hampir 40 minit berkayuh kami pulang semula ke rumah En. Sucah untuk menikmati hidangan minum petang yang telah disediakan KBKKK. Selesai makan dan minum sempat juga penulis membuka iPad dan berkongsikan pengalaman penulis melalui gambar-gambar, video dan cerita-cerita menarik mengenai basikal tua kepada ahli-ahli KBKKK. Paling mengejutkan di rumah En. Sucah ada WIFI dan dapatlah penulis membuka blog BM untuk mereka melihat sendiri perkembangan basikal tua tanahair dan senario yang berlaku. Melalui blog yang wujud dapatlah mereka mengetahui perkembangan dunia luar dan pentingnya teknologi dalam kehidupan.

Anak-anak kecl juga sudah diajar dan dibawa menyertai kayuhan basikal tua...taklah jadi hobi untuk golongan2 veteran jer

Hidangan minum petang yang telah disediakan oleh KBKKK untuk semua ahli-ahlinya...

Hidup basikal tua! Hidup basikal tua! Hidup KBKKK!

Yang tua tetap dihormati... tua dan muda sama-sama berbakti... tiada yang tua tiadalah yang muda...

Dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sdr. Adi dan KBKKK kerana sudi menerima kami sebagai tetamu dan berharap persahabatan yang terjalin ini akan terus berkekalan. Penulis juga ingin menjemput semua ahli-ahli KBKKK untuk bersama-sama turun padang pada acara-acara besar yang bakal dirancang oleh KBTBB di masa hadapan. Penulis ingin memohon maaf seandainya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sewaktu singgah sepetang bersama KBKKK. Semoga kelab yang baru ditubuhkan yang penuh ambisi ini terus sukses dan berjaya. Akhir kata hiduplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka! – Basikal Malaya

Keputusan Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC – basikal klasik/tua kecundang, basikal BSA Airborne (import) juara.


Penulis hadir bersama Sdr. Sanim (NBT) dan Jebat Melaka (Naib Pengerusi KBTBB) ke ADTEC menyertai Pertandingan Basikal KLASIK pada Ahad yang lalu.

Bersama sebahagian peserta yang turut sama bertanding di ADTEC Batu Pahat

Inilah basikal New Hudson NOS 1950an (basikal No. 14) milik penulis yang mendapat hadiah tempat Ke-3 di ADTEC

Bersempena Pertandingan Basikal Klasik (Terbuka) yang telah berlangsung pada hari Ahad (25hb September 2011) yang lalu, penulis ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada ACTEC Batu Pahat, Johor kerana telah berjaya menganjurkan acara tersebut buat kali pertama di sana. Pertandingan ini telah berjaya menarik sejumlah 35 penyertaan peserta yang datang dari negeri Johor, Melaka dan Selangor. Pelbagai jenis basikal klasik telah di bawa untuk dipertandingkan bersempena Hari Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia dan Hari Terbuka ADTEC. Acara yang penuh meriah dan silaturahim yang telah bermula kira-kira jam 11:30 pagi dan berakhir jam 4:00 petang.

Melihat dari sudut yang positif itulah keputusan yang harus diterima oleh seluruh pejuang dan pencinta Basikal Tua Malaya. Menarikkan? Apa yang penulis dapat ringkaskan pada acara yang berlangsung ialah – beberapa perkara menarik dan pandangan peribadi penulis mengenai pertandingan yang telah berlangsung. Ikuti dan amati apa yang akan penulis ingin kongsikan melalui penulisan berikut. Bagi penulis memang atau kalah itu adalah adat pertandingan tetapi biarlah adil dan saksama serta bermaruah. Kefahaman mengenai sejarah bangsa dan warisan berharga ini seharusnya dijadikan keutamaan agar generasi muda terus mencintai basikal tua di Malaysia. Biar apa pun keputusannya…Basikal klasik /tua tetap JUARA di hati pejuang dan pencintanya.

Keputusan Rasmi Pertandingan Basikal Klasik bersempena Hari Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia di ADTEC, Batu Pahat. *Baca, lihat & sebarkan.

Berikut adalah Keputusan Rasmi yang penulis perolehi dari pihak Penganjur dan Pengadil, sila lihat pada foto yang penulis lampirkan. Ada beberapa individu cuba mengelirukan keputusan pertandingan dengan mengatakan basikal BSA kecil (no. 24) mendapat tempat kedua. Kenyataan itu ternyata telah disalah-tafsir dan diputar-belitkan oleh individu yang tidak bertanggunjawab bagi tujuan memfitnah, mengaib dan memalukan peserta yang bertanding. Mungkin benarlah mereka itu BUTA HURUF…dan sudah benar-benar BUTA!. Penulis lampirkan bukti-buktinya di sini. Sila sebarkan kepada semua sahabat-sahabat dan peserta yang bertanding. Hentikanlah fitnah dan hasad dengki.

Bukti sahih Keputusan rasmi Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC yang penulis perolehi dari Tuan Haji Rahim. Yang menang tempat 1 & 2 BSA Airborne dan ke 3 New Hudson ***mana ada basikal BSA budak menang beb?

No. 26 dan No. 25 adalah basikal BSA Airborne manakala basikal kecik yang tayar pancit tu No. 24...tengok betul2 brader!

Memang nampak sangat tak logik kalau basikal BSA budak tayar pancit boleh dapat tempat ke-2 seperti yang dikatakan. Basikal itu sebenarnya bernombor 24 bukan No. 25 yer kawan2.

Keputusan Rasmi Pertandingan :-

1. Tempat Pertama (No. 26) – BSA Airborne tahun 1939

2. Tempat Kedua (No.25) – BSA Airborne tahun 1942 – 1944

3. Tempat Ketiga (No. 14) – New Hudson Sport tahun 1950an

Bersama sahabat-sahabat baru dari Kelab Basikal Klasik Kundang (Banting, Selangor) yang hadir memeriahkan acara

Munculnya Kelab-kelab Basikal Klasik dengan koleksi basikal yang berkualiti

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kundang dari Banting Selangor ternyata menarik perhatian penulis dan sahabat-sahabat basikal tua sewaktu berada di sana. Walaupun Kelab Basikal Klasik Kundang ini baru saja ditubuhkan namun koleksi basikal yang dimiliki mereka ternyata mempunyai ”pesona” yang tersendiri. Mereka menampilkan membawa 10 buah basikal antaranya Norman 26”, Hercules 28”, Raleigh 28″, Basikal Posmen dan sebagainya.

Tidak kurang hebatnya koleksi-koleksi dari PECHAL (Pemilik Basikal Tua Cha’ah-Labis) yang mempertaruhkan 2 buah BSA 26” (gents dan ladies), Raleigh Rajah 24” dan Robinhood 28”. Kehadiran basikal-basikal dari jenama terkenal yang pernah popular di Malaya ini ternyata memberikan sinar baru kepada khazanah-khazanah bangsa dan negara yang masih tersimpan.

Sdr. Sanim dan Sdr. Jebat melihat koleksi-koleksi sahabat-sahabat basikal tua...

Deretan basikal klasik yang datang bertanding di ADTEC pada 25 September 2011 yang lalu...

Rasional dan relevannya Pertandingan/Pameran Basikal di Malaysia

Bagi penulis tujuan utama menyertai pertandingan basikal tua adalah untuk bersama-sama melestarikanya untuk generasi akan datang disamping cuba mengetahui di manakah ”level” dan ”standard” sebenar sesebuah koleksi yang kita miliki. Di sinilah gelangang sebenar untuk kita menguji ketajaman dan pengetahuan sebenar kita dalam hobi basikal tua dan bukan bermegah dengan piala kemenangan semata-mata. Tidak keterlaluan penulis katakan orang yang berani masuk bertanding lebih dihormati kerana keberaniannya menerima kritikan dan kekalahan atau kemenangan berbanding segelintir kecil manusia yang kononnya hebat ”berkokok” di luar tetapi ”pengecut” di dalam gelanggang kerana takut menyahut cabaran. Pastinya di gelanggang inilah kita dapat belajar dan melihat sendiri koleksi-koleksi terbaik sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi melestarikan hobi yang mereka cintai.

Di sinilah jugalah tempat paling sesuai bagi peserta-peserta muda menimba ilmu dan belajar untuk memantapkan koleksi masing-masing untuk pertandingan atau pameran seterusnya. Seharusnya peluang dan ruang yang jarang-jarang diperolehi ini digunakan sebagainya untuk belajar di antara satu sama yang lain. Kehadiran Basikal Malaya di pertandingan/pameran ialah kerana ingin membawa sedikit kelainan dari segi ”persembahan” dan ”informasi” agar menjadi contoh kepada sahabat-sahabat yang lain. Biarlah setiap basikal tua/klasik yang hadir itu tampil dengan ”cerita” dan sejarahnya. Hobi ini perlukan suntikan kelainan dan pembaharuan untuk terus maju dan jaya.

Perlunya diwujudkan kategori basikal dalam setiap pertandingan

Adalah tidak wajar kita menyamakan (sama) semua basikal klasik/tua yang ada di Malaya dengan basikal-basikal ”import” seperti basikal perang seperti BSA Airborne atau basikal vintage seperti Penny Farthing dalam satu pertandingan. Untuk pertandingan di ADTEC ingin penulis tegaskan kepada peserta-peserta yang hadir – Basikal Klasik dari Malaya tidak pernah TEWAS dengan basikal perang (import) kerana pihak penganjur seharusnya mewujudkan kategori khas untuk basikal-basikal seperti itu. Sebenarnya perlu diwujudkan 3 kategori pada pertandingan tersebut iaitu 26”, 28” dan khas (untuk basikal-basikal perang/import). Penulis berpendapat sekiranya pertandingan cara ”TERBUKA” seperti ini terus berlaku di masa hadapan, pasti ramai di antara peserta tidak akan datang menyertainya kerana keutamaan bukan lagi diberikan kepada basikal-basikal klasik tetapi sebaliknya.

Adalah tidak adil (unfair) menyamakan rasa keenakan sebiji epal import dengan sebiji mangga kampung samalah jika kita ingin menyamakan kondisi basikal perang yang diimport dengan basikal tua/klasik tempatan. Justeru memang benarlah ada yang meramalkan basikal perang/import akan menang di ADTEC dan ramalan itu ternyata BENAR! Melalui pengalaman penulis melihat basikal-basikal perang/import ini kebanyakkan ianya didatangkan khas dengan kondisi asal dan asli dari luar negara dan ini memberi peluang mudah kepada pemiliknya mendapat markah yang tinggi berbanding pemilik basikal klasik/tua yang terpaksa melalui laluan sukar dan perit untuk membangunkan sesebuah basikal klasik tempatan untuk dipertandingkan.

Saya kira ramai yang faham apa yang saya maksudkan kerana kebanyakkan mereka juga adalah pemilik dan pencinta basikal tua yang aktif. Yang penulis khuatiri selepas ini nanti pertambahan peminat basikal tua/klasik yang ada ini akan menggalakkan mereka membeli basikal-basikal import untuk mendapatkan kemenangan mudah di masa hadapan mengakibatkan ramai bijak –pandai yang akan BUTA SEJARAH! Lebih parah lagi apabila suara-suara “keramat” yang dahulunya sangat “heroic” telah memberikan “lampu hijau” menggalakkan sindrom koleksi basikal-basikal import kerana mereka sudah pasrah dan ketandusan koleksi yang “rare” dalam simpanan.

Melantik Pengadil yang berpengalaman dan berwibawa

Penulis percaya bukan mudah untuk mengadili sesuatu pertandingan terutamanya Pertandingan basikal klasik/tua. Di sinilah cabaran utama pihak pengajur untuk mengenal-pasti individu-individu yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia basikal tua/klasik. Bagi penulis biarlah pengadil/hakim itu dilantik berdasarkan pengalaman dan koleksi yang mereka miliki, kalau mereka sendiri tidak mempunyai koleksi-koleksi basikal yang hebat / boleh dibanggakan serta berpengetahuan dan pengalaman luas dalam dunia basikal, bagaimana mereka itu layak untuk mengadili pertandingan basikal klasik/tua?. Pemilihanan pengadil-pengadil yang amatur dan ”tangkap muat” sewaktu acara pertandingan adakalanya menyebabkan ”kreadibiliti” mutu pengadilan lemah dan mudah dipertikaikan.

Ini jelas dapat lihat di dalam pertandingan-pertandingan yang pernah penulis sertai. Sewaktu mengadili pertandingan – seharusnya pengadil menjaga ”kreadibiliti” mereka dengan tidak banyak menyoal individu-individu yang tidak berkaitan (disekitarnya). Mereka perlu fokus melihat dan menilai sesebuah basikal dan sentiasa menjaga etika pengadilan. Adakalanya mereka memberikan kenyataan-kenyataan yang lucu dan menampakkan kelemahan serta ketidak-pastian mereka di dalam mengadili pertandingan. Tidak kurang juga ada yang ”bias” memberikan markah lebih apabila melihat basikal itu milik sahabat atau kenalan yang mereka kenali dan ada segelintir tidak mempunyai pengetahuan langsung terhadap basikal klasik/tua yang diadilinya

Paling lucu ada yang tidak pernah berpeluang melihat basikal perang/import seumur hidup mereka dan mempunyai ilmu untuk membezakan cat asli dan re-paint (cat semula)!. Itu belum lagi penulis persoalkan koleksi-koleksi yang dimiliki mereka dan penyertaan mereka sebagai peserta dan pengalaman mereka sebagai pengadil? Justeru khidmat pengadil-pengadil yang berpengalaman, berpengetahuan, dihormati dan disegani oleh komuniti basikal tua perlu dicari dan dikenal-pasti bagi mengelakkan sebarang pertikaian markah dan keputusan yang berat sebelah (unfair) serta tidak berwibawa. Masih ada ramai otai-otai basikal Malaya yang sudi menjadi pengadil sekiranya mereka diberi peluang.

Hadiah-hadiah dan pengisisan program yang menarik

Sebagai galakkan – hadiah-hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur juga haruslah sepadan dan mempunyai nilai sentimental bagi pemenang-pemenang. Kategori-kategori hadiah juga haruslah diperbanyakkan untuk menggalakkan penyertaan di masa hadapan. Untuk menarik lebih banyak penyertaan hadiah-hadiah yang ditawarkan haruslah ”lumayan” dan setimpal dengan kategori yang dipertandingkan. Di sinilah memerlukan ”kreativiti” pihak penganjur untuk mempelbagaikan tawaran hadiah untuk menarik lebih ramai peserta datang dan masuk bertanding. Disamping hadiah, program selingan seperti sukaneka, pertandingan pakaian klasik, bengkel basikal dan sebagainya harus dirancang untuk mengisi masa yang ada sementara menunggu keputusan agar peserta dan pengunjung yang hadir tidak bosan dan meninggalkan tempat acara.

Ringkasnya, itulah serba sedikit pandangan dan cadangan dari penulis untuk penambah-baikkan pertandingan basikal klasik/tua sebagai rujukan penganjur pada masa hadapan. Insyaallah pada tahun hadapan penulis dan sahabat-sahabat di KBTBB akan merancang satu Pertandingan Basikal Klasik Malaya khas buat peminat dan pejuang basikal klasik/tua di Malaysia. Sewaktu di ADTEC Batu Pahat banyak permintaan dan cadangan dari kelab-kelab dan sahabat-sahabat serta otai-otai basikal klasik/tua meminta penulis dan KBTBB merencana satu Pertandingan di Melaka agar dapat diadakan buat masa terdekat. Apa pun basikal klasik/tua/perang/import semuanya mempunyai hak untuk masuk bertanding dengan cara penganjuran dan pengadilan yang betul dan adil serta berwibawa.

Bagi 35 peserta yang bertanding dan tidak berjaya menang…anggaplah ini sebagai satu pengajaran dan pengajaran berguna. Penulis yakin dan pasti mereka-mereka ini sangat tahu dan faham siapakah yang sepatutnya layak dinobatkan sebagai JUARA basikal klasik/tua di ADTEC, Batu Pahat. Kemenangan bukanlah hanya pada PIALA yang tak seberapa…biarlah kita KALAH tetapi DIHORMATI daripada MENANG tetapi DIBENCI dan DIMUSUHI. Kembali kepada tujuan kita menyertai pertandingan di ADTEC baru-baru ini semuanya telah dijelaskan dan tujuannya semata-mata mahu melihat basikal klasik/tua terus lestari dan ikatan persahabatan/silaturahim dapat dipertahankan bukan tempat menunjuk “ego” dan “kepoyoan” serta belagak macam “hero”. Walhal tak siapa pun heran dan ambil peduli kerana tak ada satu pun yang dilaungkan mereka BERJAYA dilaksanakan dengan jayanya.

Semoga Pertandingan basikal klasik/tua yang bakal dianjurkan di Malaysia di masa hadapan tidak terus TERCEMAR dengan salah TAFSIRAN antara basikal klasik/tua VS basikal perang/import. Nasihat penulis…rujuklah sejarah untuk mendapatkan jawapannya. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong penulis dan blog ini. Sesungguhnya perjuangan kita baru bermula dan ianya masih belum selesai – Basikal Malaya

…Gambar2 akan menyusul kemudian…

Jemputan Pertandingan Basikal dan Motorsikal Klasik di ADTEC Batu Pahat pada Ahad, 25 Sept. 2011


Salam Aidilfitri  – Untuk makluman semua satu Pertandingan Basikal dan Motorsikal Klasik bersempena Hari Inovasi dan Kreativiti, Jabatan Tenaga Manusia akan diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, Johor. Acara ini dijangkakan akan berlangsung pada hari Ahad, 25 September 2011 bermula jam 9:00 pagi – 4:00 petang. Semua peserta yang berminat untuk bertanding diminta untuk mendaftarkan penyertaan selewat-lewatnya pada hari Khamis, 22 September 2011. Penulis difahamkan Pertandingan ini adalah Pertandingan TERBUKA yang bermaksud semua jenis basikal klasik/tua tanpa mengira ukuran dan jenis boleh menyertainya asalkan ianya basikal klasik. Tiada kategori khusus dipertandingkan oleh pihak penganjur. Berikut adalah maklumat penting mengenai acara tersebut.

PERTANDINGAN BASIKAL  DAN MOTORSIKAL KLASIK
Bersempena HARI KREATIVITI DAN INOVASI
JABATAN TENAGA MANUSIA 2011

Syarat- Syarat Penyertaan

1. Pertandingan ini terbuka kepada semua pemilik Basikal dan Motorsikal Klasik yang berada di Malaysia.

2. Pertandingan ini akan di adakan di PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) BATU PAHAT, JOHOR – Sempena Hari Inovasi dan Kreativiti Jabatan Tenaga Manusia.

3. Setiap penyertaan hendaklah didaftarkan mengunakan Borang Pertandingan yang di sediakan samada di hantar melalui Fax, Email atau Melalui Telefon seperti yang tertera dalam borang penyertaan.

4. Setiap peserta boleh menghantar seberapa banyak basikal atau motor dengan syarat pendaftaran di buat mengikut bilangan basikal atau motor yang di sertai. (Satu basikal atau Motor satu pendaftaran).

5. Pendaftaran melalui kelab-kelab sangat digalakan kerana kelab yang menyertai paling banyak penyertaan akan mendapat piala khas iaitu piala penyertaan Kelab paling ramai bagi kategori Basikal Klasik sahaja.

6. Pendaftaran atau yuran penyertaan di kenakan sebanyak RM 1.00 setiap satu penyertaan ( Satu Basikal atau Satu Motor RM 1.00 ) pada hari pendaftaran.

7. Hadiah di sediakan dalam bentuk Piala iaitu tempat Pertama,Kedua dan Ketiga serta Sijil Bagi Kategori Basikal Klasik dan Motor Klasik.

8. Tarikh pertandingan ialah pada 25 September 2011 (Ahad ) mulai jam 9.00 pagi hingga 4 petang.

9. Tarikh tutup Penyertaan pada hari Khamis, 22 September 2011.

10. Semua Borang Pertandingan hendaklah di hantar kepada Urusetia pertandingan Hj Abdul Rahim Bin Md Tahir, PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) BATU PAHAT, JOHOR, Km. 8, Jalan Tanjung Laboh 83000 Batu Pahat, Johor atau dengan menelefon : 07-4287733 atau 019-7708439.

11. Pihak penganjur akan melantik juri bagi menilai keunikan Basikal atau motor yang menyertai pertandingan ini dan keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak di layan.

12. Semua peserta yang menyertai pertandingan ini akan di sediakan makan tengahari secara percuma serta sijil penyertaan.

Untuk maklumat lanjut sila terus hubungi Tuan Hj Abdul Rahim Bin Md Tahir di talian 07-4287733 atau 019-7708439 atau email aim8439@yahoo.com atau faks di 07-4285190

Sebagai Pejuang dan Pencinta Basikal Tua Malaysia – Ayuh kita ramai-ramai turun ke Batu Pahat dan menyertai acara yang dianjurkan demi melestarikan warisan basikal tua di Malaysia. Penulis pasti ramai sahabat-sahabat dan kolektor-kolektor akan hadir menyokong acara tersebut. Marilah kita hadir dengan membawa koleksi-koleksi basikal TERBAIK masing-masing untuk sama-sama kita berkongsi pengalaman dan koleksi berharga kepada masyarakat dan komuniti basikal tua di Johor. Menang atau kalah adat pertandingan yang penting PERSAHABATAN dan silaturahim harus kita PERTAHANKAN. Sekian untuk makluman bersama.

Sila klik di pautan di bawah untuk muat turun Borang Pertandingan
Borang Pertandingan

Ikhwan
Basikal Malaya