Sepetang bersama Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK), Banting, Selangor


Gandingan generasi tua dan muda bersama membentuk sebuah kelab baru di Kampung Kundang, Banting, Selangor

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang bukti hobi basikal tua semakin diminati ramai

Siapa sangka pertemuan di Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC, Batu Pahat, 2 minggu lalu menemukan penulis dengan sahabat-sahabat dari Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang (KBKKK) telah membawa penulis untuk mengenali lebih dekat kelab yang baru muncul dari Banting, Selangor ini. Pada Ahad lepas penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sempat meluangkan masa melawat sahabat-sahabat KBKKK di Kg. Kundang, Banting yang lokasinya terletak lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur. Walaupun sedikit lewat dari jadual asal kerana urusan keluarga namun kami sempat sampai dengan selamat di Kg. Kundang yang terletak tidak jauh dari Kg. Tanjung Sepat sekitar jam 3:15 petang.

Setibanya di persimpangan Kg. Kundang kami telah ditunggu oleh Sdr. Adi yang merupakan “orang kuat” KBKKK untuk membawa kami ke “port” mereka iaitu di “Warung KL” yang terletak tidak jauh dari situ. Kehadiran kami telah dinanti oleh lebih 20 orang ahli-ahli KBKKK yang telah menunggu kami sejak jam 2:30 petang. Di situ penulis sudah dapat rasakan “aura” yang ada pada ahli-ahli KBKKK yang ternyata bersemangat, “warm” dan “friendly”. Selepas berehat sebentar, kami diajak untuk ke rumah En. Sucah bin Ahmad untuk sessi suai kenal dan jamuan ringan bersama ahli-ahli KBKKK.

Inilah "markas" atau "pengkalan" KBKKK yang dikenali sebagai "Warung KL" yang terletak di dalam Kampung Kundang

Beberapa ahli-ahli KBKKK sedang menunggu ketibaan penulis dan Sdr. Sanim di rumah En. Sucah

Setelah memperkenalkan diri dan diperkenalkan kepada semua ahli-ahli KBKKK, penulis memulakan acara silaturahim dengan menyematkan Lencana KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Tuan Hj. Miskam bin Hj. Dahlan dan Sdr. Adi sebagai tanda persahabatan sesama pencinta basikal tua. Walaupun acara ini ringkas namun ianya merupakan simbolik dan tanda persahabatan yang penuh bermakna bagi kami. Kerana hobi “basikal tua” lah kami dipertemukan dan menjadi sahabat…dan penulis berdoa agar persahabatan yang baru terjalin ini akan membuka satu lembaran baru bagi KBKKK untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kelab yang disertai gabungan ahli-ahli veteran dan generasi muda seramai 40 orang ahli, penulis dapat menilai potensi dan “kekuatan dalaman” yang ada pada kelab yang baru bertatih ini. Sungguhpun mereka baru namun “semangat” mereka menjadi senjata yang berkesan kerana berani membawa ahli-ahlinya keluar dari Kg. Kundang untuk menimba pengalaman dengan menyertai Pertandingan Basikal Klasik di Batu Pahat dan terkini mereka menyertai satu acara kayuhan basikal terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Inilah transformasi yang harus dilakukan oleh mana-mana kelab yang ada…iaitu “keberanian” untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari “kepompong” dan melihat dunia luar.

Tanda persahabatan - Penulis menyematkan pin KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Hj. Miskam bin Hj. Dahlan

Ini dia orang "paling kuat" KBKKK iaitu Sdr. Adi yang menjadi perancang utama kelab yang baru muncul ini

Perkembangan positif ini bukan sahaja berlaku di Kampung Kundang tetapi juga di sekitar daerah Banting. Sewaktu perjalanan ke sana penulis terserempak dengan sekumpulan ahli-ahli Basikal Tua yang sedang mengayuh pulang dari Pantai Morib sekitar 20 orang menuju ke arah Banting. Di daerah ini dianggarkan sekitar 2-3 kumpulan dari beberapa Kampung juga aktif dengan aktiviti basikal tua dan usaha menjejaki kumpulan-kumpulan ini akan dijalankan sedikit masa lagi. Walaupun kesulitan mencari barang-barang basikal tua semakin sukar dengan senario lintah-lintah darat yang sedang bermaharaja-lela namun ahli-ahli KBKKK masih berjaya memiliki koleksi-koleksi basikal tua yang tidak kurang hebatnya kerana mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri.

Mereka juga mempunyai rangkaian “networking” dalam mengesan barang-barang basikal dan alat-alat ganti untuk keperluan ahi-ahli mereka. Mereka juga mempunyai beberapa “pakar” dalam mengesan dan membaik-pulih basikal tua dengan kos yang paling minimum untuk ahli-ahlinya. Antara koleksi yang dimiliki KBKKK ialah Raleigh, Norman, Hercules, Rudge, New Hudson Posmen, BSA, Jump, Hopper dan sebagainya. Paling mahal ialah kehadiran golongan veteran yang sentiasa memberikan nasihat dan panduan serta pengalaman mereka mengenai basikal tua manakala generasi mudanya menjadi tulang belakang merencana pelbagai aktiviti untuk mengerakkan kelab mereka.

Brader nie bergaya dengan koleksi basikal kesayanganya...

Basikal posmen New Hudson yang masih dalam kondisi original...

Tuan Haji Sibadar bin Hj Abdullah dengan basikal Norman yang dibelinya pada tahun 1960an

Walaupun lawatan kami ke sana merupakan lawatan singkat dek keterbatasan masa namun sempat juga kami berkayuh mengelilingi kampung beramai-ramai. Deringan bunyi loceng basikal tua ternyata masih mampu mengamatkan suasana sewaktu kayuhan. Terasa seronok dapat berbual -bual sambil berkayuh santai mengelilingi kampung. Hampir 40 minit berkayuh kami pulang semula ke rumah En. Sucah untuk menikmati hidangan minum petang yang telah disediakan KBKKK. Selesai makan dan minum sempat juga penulis membuka iPad dan berkongsikan pengalaman penulis melalui gambar-gambar, video dan cerita-cerita menarik mengenai basikal tua kepada ahli-ahli KBKKK. Paling mengejutkan di rumah En. Sucah ada WIFI dan dapatlah penulis membuka blog BM untuk mereka melihat sendiri perkembangan basikal tua tanahair dan senario yang berlaku. Melalui blog yang wujud dapatlah mereka mengetahui perkembangan dunia luar dan pentingnya teknologi dalam kehidupan.

Anak-anak kecl juga sudah diajar dan dibawa menyertai kayuhan basikal tua...taklah jadi hobi untuk golongan2 veteran jer

Hidangan minum petang yang telah disediakan oleh KBKKK untuk semua ahli-ahlinya...

Hidup basikal tua! Hidup basikal tua! Hidup KBKKK!

Yang tua tetap dihormati... tua dan muda sama-sama berbakti... tiada yang tua tiadalah yang muda...

Dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sdr. Adi dan KBKKK kerana sudi menerima kami sebagai tetamu dan berharap persahabatan yang terjalin ini akan terus berkekalan. Penulis juga ingin menjemput semua ahli-ahli KBKKK untuk bersama-sama turun padang pada acara-acara besar yang bakal dirancang oleh KBTBB di masa hadapan. Penulis ingin memohon maaf seandainya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sewaktu singgah sepetang bersama KBKKK. Semoga kelab yang baru ditubuhkan yang penuh ambisi ini terus sukses dan berjaya. Akhir kata hiduplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka! – Basikal Malaya

Advertisements

Keputusan Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC – basikal klasik/tua kecundang, basikal BSA Airborne (import) juara.


Penulis hadir bersama Sdr. Sanim (NBT) dan Jebat Melaka (Naib Pengerusi KBTBB) ke ADTEC menyertai Pertandingan Basikal KLASIK pada Ahad yang lalu.

Bersama sebahagian peserta yang turut sama bertanding di ADTEC Batu Pahat

Inilah basikal New Hudson NOS 1950an (basikal No. 14) milik penulis yang mendapat hadiah tempat Ke-3 di ADTEC

Bersempena Pertandingan Basikal Klasik (Terbuka) yang telah berlangsung pada hari Ahad (25hb September 2011) yang lalu, penulis ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada ACTEC Batu Pahat, Johor kerana telah berjaya menganjurkan acara tersebut buat kali pertama di sana. Pertandingan ini telah berjaya menarik sejumlah 35 penyertaan peserta yang datang dari negeri Johor, Melaka dan Selangor. Pelbagai jenis basikal klasik telah di bawa untuk dipertandingkan bersempena Hari Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia dan Hari Terbuka ADTEC. Acara yang penuh meriah dan silaturahim yang telah bermula kira-kira jam 11:30 pagi dan berakhir jam 4:00 petang.

Melihat dari sudut yang positif itulah keputusan yang harus diterima oleh seluruh pejuang dan pencinta Basikal Tua Malaya. Menarikkan? Apa yang penulis dapat ringkaskan pada acara yang berlangsung ialah – beberapa perkara menarik dan pandangan peribadi penulis mengenai pertandingan yang telah berlangsung. Ikuti dan amati apa yang akan penulis ingin kongsikan melalui penulisan berikut. Bagi penulis memang atau kalah itu adalah adat pertandingan tetapi biarlah adil dan saksama serta bermaruah. Kefahaman mengenai sejarah bangsa dan warisan berharga ini seharusnya dijadikan keutamaan agar generasi muda terus mencintai basikal tua di Malaysia. Biar apa pun keputusannya…Basikal klasik /tua tetap JUARA di hati pejuang dan pencintanya.

Keputusan Rasmi Pertandingan Basikal Klasik bersempena Hari Kreativiti dan Inovasi Jabatan Tenaga Manusia di ADTEC, Batu Pahat. *Baca, lihat & sebarkan.

Berikut adalah Keputusan Rasmi yang penulis perolehi dari pihak Penganjur dan Pengadil, sila lihat pada foto yang penulis lampirkan. Ada beberapa individu cuba mengelirukan keputusan pertandingan dengan mengatakan basikal BSA kecil (no. 24) mendapat tempat kedua. Kenyataan itu ternyata telah disalah-tafsir dan diputar-belitkan oleh individu yang tidak bertanggunjawab bagi tujuan memfitnah, mengaib dan memalukan peserta yang bertanding. Mungkin benarlah mereka itu BUTA HURUF…dan sudah benar-benar BUTA!. Penulis lampirkan bukti-buktinya di sini. Sila sebarkan kepada semua sahabat-sahabat dan peserta yang bertanding. Hentikanlah fitnah dan hasad dengki.

Bukti sahih Keputusan rasmi Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC yang penulis perolehi dari Tuan Haji Rahim. Yang menang tempat 1 & 2 BSA Airborne dan ke 3 New Hudson ***mana ada basikal BSA budak menang beb?

No. 26 dan No. 25 adalah basikal BSA Airborne manakala basikal kecik yang tayar pancit tu No. 24...tengok betul2 brader!

Memang nampak sangat tak logik kalau basikal BSA budak tayar pancit boleh dapat tempat ke-2 seperti yang dikatakan. Basikal itu sebenarnya bernombor 24 bukan No. 25 yer kawan2.

Keputusan Rasmi Pertandingan :-

1. Tempat Pertama (No. 26) – BSA Airborne tahun 1939

2. Tempat Kedua (No.25) – BSA Airborne tahun 1942 – 1944

3. Tempat Ketiga (No. 14) – New Hudson Sport tahun 1950an

Bersama sahabat-sahabat baru dari Kelab Basikal Klasik Kundang (Banting, Selangor) yang hadir memeriahkan acara

Munculnya Kelab-kelab Basikal Klasik dengan koleksi basikal yang berkualiti

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kundang dari Banting Selangor ternyata menarik perhatian penulis dan sahabat-sahabat basikal tua sewaktu berada di sana. Walaupun Kelab Basikal Klasik Kundang ini baru saja ditubuhkan namun koleksi basikal yang dimiliki mereka ternyata mempunyai ”pesona” yang tersendiri. Mereka menampilkan membawa 10 buah basikal antaranya Norman 26”, Hercules 28”, Raleigh 28″, Basikal Posmen dan sebagainya.

Tidak kurang hebatnya koleksi-koleksi dari PECHAL (Pemilik Basikal Tua Cha’ah-Labis) yang mempertaruhkan 2 buah BSA 26” (gents dan ladies), Raleigh Rajah 24” dan Robinhood 28”. Kehadiran basikal-basikal dari jenama terkenal yang pernah popular di Malaya ini ternyata memberikan sinar baru kepada khazanah-khazanah bangsa dan negara yang masih tersimpan.

Sdr. Sanim dan Sdr. Jebat melihat koleksi-koleksi sahabat-sahabat basikal tua...

Deretan basikal klasik yang datang bertanding di ADTEC pada 25 September 2011 yang lalu...

Rasional dan relevannya Pertandingan/Pameran Basikal di Malaysia

Bagi penulis tujuan utama menyertai pertandingan basikal tua adalah untuk bersama-sama melestarikanya untuk generasi akan datang disamping cuba mengetahui di manakah ”level” dan ”standard” sebenar sesebuah koleksi yang kita miliki. Di sinilah gelangang sebenar untuk kita menguji ketajaman dan pengetahuan sebenar kita dalam hobi basikal tua dan bukan bermegah dengan piala kemenangan semata-mata. Tidak keterlaluan penulis katakan orang yang berani masuk bertanding lebih dihormati kerana keberaniannya menerima kritikan dan kekalahan atau kemenangan berbanding segelintir kecil manusia yang kononnya hebat ”berkokok” di luar tetapi ”pengecut” di dalam gelanggang kerana takut menyahut cabaran. Pastinya di gelanggang inilah kita dapat belajar dan melihat sendiri koleksi-koleksi terbaik sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi melestarikan hobi yang mereka cintai.

Di sinilah jugalah tempat paling sesuai bagi peserta-peserta muda menimba ilmu dan belajar untuk memantapkan koleksi masing-masing untuk pertandingan atau pameran seterusnya. Seharusnya peluang dan ruang yang jarang-jarang diperolehi ini digunakan sebagainya untuk belajar di antara satu sama yang lain. Kehadiran Basikal Malaya di pertandingan/pameran ialah kerana ingin membawa sedikit kelainan dari segi ”persembahan” dan ”informasi” agar menjadi contoh kepada sahabat-sahabat yang lain. Biarlah setiap basikal tua/klasik yang hadir itu tampil dengan ”cerita” dan sejarahnya. Hobi ini perlukan suntikan kelainan dan pembaharuan untuk terus maju dan jaya.

Perlunya diwujudkan kategori basikal dalam setiap pertandingan

Adalah tidak wajar kita menyamakan (sama) semua basikal klasik/tua yang ada di Malaya dengan basikal-basikal ”import” seperti basikal perang seperti BSA Airborne atau basikal vintage seperti Penny Farthing dalam satu pertandingan. Untuk pertandingan di ADTEC ingin penulis tegaskan kepada peserta-peserta yang hadir – Basikal Klasik dari Malaya tidak pernah TEWAS dengan basikal perang (import) kerana pihak penganjur seharusnya mewujudkan kategori khas untuk basikal-basikal seperti itu. Sebenarnya perlu diwujudkan 3 kategori pada pertandingan tersebut iaitu 26”, 28” dan khas (untuk basikal-basikal perang/import). Penulis berpendapat sekiranya pertandingan cara ”TERBUKA” seperti ini terus berlaku di masa hadapan, pasti ramai di antara peserta tidak akan datang menyertainya kerana keutamaan bukan lagi diberikan kepada basikal-basikal klasik tetapi sebaliknya.

Adalah tidak adil (unfair) menyamakan rasa keenakan sebiji epal import dengan sebiji mangga kampung samalah jika kita ingin menyamakan kondisi basikal perang yang diimport dengan basikal tua/klasik tempatan. Justeru memang benarlah ada yang meramalkan basikal perang/import akan menang di ADTEC dan ramalan itu ternyata BENAR! Melalui pengalaman penulis melihat basikal-basikal perang/import ini kebanyakkan ianya didatangkan khas dengan kondisi asal dan asli dari luar negara dan ini memberi peluang mudah kepada pemiliknya mendapat markah yang tinggi berbanding pemilik basikal klasik/tua yang terpaksa melalui laluan sukar dan perit untuk membangunkan sesebuah basikal klasik tempatan untuk dipertandingkan.

Saya kira ramai yang faham apa yang saya maksudkan kerana kebanyakkan mereka juga adalah pemilik dan pencinta basikal tua yang aktif. Yang penulis khuatiri selepas ini nanti pertambahan peminat basikal tua/klasik yang ada ini akan menggalakkan mereka membeli basikal-basikal import untuk mendapatkan kemenangan mudah di masa hadapan mengakibatkan ramai bijak –pandai yang akan BUTA SEJARAH! Lebih parah lagi apabila suara-suara “keramat” yang dahulunya sangat “heroic” telah memberikan “lampu hijau” menggalakkan sindrom koleksi basikal-basikal import kerana mereka sudah pasrah dan ketandusan koleksi yang “rare” dalam simpanan.

Melantik Pengadil yang berpengalaman dan berwibawa

Penulis percaya bukan mudah untuk mengadili sesuatu pertandingan terutamanya Pertandingan basikal klasik/tua. Di sinilah cabaran utama pihak pengajur untuk mengenal-pasti individu-individu yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia basikal tua/klasik. Bagi penulis biarlah pengadil/hakim itu dilantik berdasarkan pengalaman dan koleksi yang mereka miliki, kalau mereka sendiri tidak mempunyai koleksi-koleksi basikal yang hebat / boleh dibanggakan serta berpengetahuan dan pengalaman luas dalam dunia basikal, bagaimana mereka itu layak untuk mengadili pertandingan basikal klasik/tua?. Pemilihanan pengadil-pengadil yang amatur dan ”tangkap muat” sewaktu acara pertandingan adakalanya menyebabkan ”kreadibiliti” mutu pengadilan lemah dan mudah dipertikaikan.

Ini jelas dapat lihat di dalam pertandingan-pertandingan yang pernah penulis sertai. Sewaktu mengadili pertandingan – seharusnya pengadil menjaga ”kreadibiliti” mereka dengan tidak banyak menyoal individu-individu yang tidak berkaitan (disekitarnya). Mereka perlu fokus melihat dan menilai sesebuah basikal dan sentiasa menjaga etika pengadilan. Adakalanya mereka memberikan kenyataan-kenyataan yang lucu dan menampakkan kelemahan serta ketidak-pastian mereka di dalam mengadili pertandingan. Tidak kurang juga ada yang ”bias” memberikan markah lebih apabila melihat basikal itu milik sahabat atau kenalan yang mereka kenali dan ada segelintir tidak mempunyai pengetahuan langsung terhadap basikal klasik/tua yang diadilinya

Paling lucu ada yang tidak pernah berpeluang melihat basikal perang/import seumur hidup mereka dan mempunyai ilmu untuk membezakan cat asli dan re-paint (cat semula)!. Itu belum lagi penulis persoalkan koleksi-koleksi yang dimiliki mereka dan penyertaan mereka sebagai peserta dan pengalaman mereka sebagai pengadil? Justeru khidmat pengadil-pengadil yang berpengalaman, berpengetahuan, dihormati dan disegani oleh komuniti basikal tua perlu dicari dan dikenal-pasti bagi mengelakkan sebarang pertikaian markah dan keputusan yang berat sebelah (unfair) serta tidak berwibawa. Masih ada ramai otai-otai basikal Malaya yang sudi menjadi pengadil sekiranya mereka diberi peluang.

Hadiah-hadiah dan pengisisan program yang menarik

Sebagai galakkan – hadiah-hadiah yang ditawarkan oleh pihak penganjur juga haruslah sepadan dan mempunyai nilai sentimental bagi pemenang-pemenang. Kategori-kategori hadiah juga haruslah diperbanyakkan untuk menggalakkan penyertaan di masa hadapan. Untuk menarik lebih banyak penyertaan hadiah-hadiah yang ditawarkan haruslah ”lumayan” dan setimpal dengan kategori yang dipertandingkan. Di sinilah memerlukan ”kreativiti” pihak penganjur untuk mempelbagaikan tawaran hadiah untuk menarik lebih ramai peserta datang dan masuk bertanding. Disamping hadiah, program selingan seperti sukaneka, pertandingan pakaian klasik, bengkel basikal dan sebagainya harus dirancang untuk mengisi masa yang ada sementara menunggu keputusan agar peserta dan pengunjung yang hadir tidak bosan dan meninggalkan tempat acara.

Ringkasnya, itulah serba sedikit pandangan dan cadangan dari penulis untuk penambah-baikkan pertandingan basikal klasik/tua sebagai rujukan penganjur pada masa hadapan. Insyaallah pada tahun hadapan penulis dan sahabat-sahabat di KBTBB akan merancang satu Pertandingan Basikal Klasik Malaya khas buat peminat dan pejuang basikal klasik/tua di Malaysia. Sewaktu di ADTEC Batu Pahat banyak permintaan dan cadangan dari kelab-kelab dan sahabat-sahabat serta otai-otai basikal klasik/tua meminta penulis dan KBTBB merencana satu Pertandingan di Melaka agar dapat diadakan buat masa terdekat. Apa pun basikal klasik/tua/perang/import semuanya mempunyai hak untuk masuk bertanding dengan cara penganjuran dan pengadilan yang betul dan adil serta berwibawa.

Bagi 35 peserta yang bertanding dan tidak berjaya menang…anggaplah ini sebagai satu pengajaran dan pengajaran berguna. Penulis yakin dan pasti mereka-mereka ini sangat tahu dan faham siapakah yang sepatutnya layak dinobatkan sebagai JUARA basikal klasik/tua di ADTEC, Batu Pahat. Kemenangan bukanlah hanya pada PIALA yang tak seberapa…biarlah kita KALAH tetapi DIHORMATI daripada MENANG tetapi DIBENCI dan DIMUSUHI. Kembali kepada tujuan kita menyertai pertandingan di ADTEC baru-baru ini semuanya telah dijelaskan dan tujuannya semata-mata mahu melihat basikal klasik/tua terus lestari dan ikatan persahabatan/silaturahim dapat dipertahankan bukan tempat menunjuk “ego” dan “kepoyoan” serta belagak macam “hero”. Walhal tak siapa pun heran dan ambil peduli kerana tak ada satu pun yang dilaungkan mereka BERJAYA dilaksanakan dengan jayanya.

Semoga Pertandingan basikal klasik/tua yang bakal dianjurkan di Malaysia di masa hadapan tidak terus TERCEMAR dengan salah TAFSIRAN antara basikal klasik/tua VS basikal perang/import. Nasihat penulis…rujuklah sejarah untuk mendapatkan jawapannya. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong penulis dan blog ini. Sesungguhnya perjuangan kita baru bermula dan ianya masih belum selesai – Basikal Malaya

…Gambar2 akan menyusul kemudian…

Koleksi antik Pak Akob dari Batu Pahat – miliki ratusan basikal antik termasuk Panny-Farthing & Ordinary


Mohd. Saupi Salim a.k.a Pak Akob (tiga dari kiri), bersama rakan-rakan yang turut berminat mengumpul barangan antik di Batu Pahat, Johor, baru baru ini.

Semalam penulis terbaca satu rencana di Utusan Malaysia mengenai koleksi antik milik Pak Akob dari Batu Pahat, Johor. Sebelum ini pernah mendengar cerita mengenai seorang kolektor dari Johor memiliki ratusan basikal antik dan barang-barang antik yang bercadang membuka muzium antik di Melaka…ternyata beliaulah individu yang dimaksudkan itu. Membaca rencana yang ditulis membuatkan penulis terasa teruja untuk melihat sendiri koleksi-koleksi beliau jika diizinkan. Siapa sangka koleksi-koleksi dan khazanah berharga ini tersimpan di negeri Johor sejak sekian lama…dan penulis percaya masih ada beberapa kolektor di selatan tanahair menyimpan koleksi-koleksi berharga seperti ini. Penulis juga berharap akan dapat berjumpa dengan ramai kolektor di ADTEC pada hari Ahad ini nanti. Untuk mendapatkan lebih maklumat silalah baca rencana yang penulis perolehi dari laman web Utusan – Basikal Malaya

Koleksi antik Pak Akob

Rencana dan Gambar NORZAINURA ABDUL MAJID

SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumahnya, rasa teruja dan kagum melihatkan pelbagai koleksi menarik tersusun kemas di setiap sudut rumah ibarat berada dalam mini muzium yang menyimpan pelbagai barangan klasik. Tetapi rumah teres yang tidak mempunyai ruang yang besar tidak memungkinkan keseluruhan koleksi barangan dapat dikumpul dan dipamerkan dalam satu tempat yang lebih tersusun.

Beliau tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan memberi penerangan tentang barangan yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja yang bertandang ke rumah. Siapa sangka hobinya mengumpul pelbagai barangan antik sejak 25 tahun lalu akhirnya mencetuskan idea menarik untuk membuka sebuah muzium agar kesemua koleksinya dapat ditonton oleh umum.

Bermula dengan barangan permainan kanak-kanak seperti botol susu yang diperbuat daripada kaca, pelbagai permainan dari luar negara juga perabot serta beratus basikal yang masih disimpan dengan baik menjadikan Mohd. Saupi Salim, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Akob sebagai salah seorang daripada 500 pengumpul barangan antik dan permainan kanak-kanak terbesar di Asia. Menurut Pak Akob, dia mula serius mengumpul barangan antik sejak 15 tahun lalu dan menjadikannya sebagai hobi sekeluarga. Semua anak-anaknya turut mempunyai hobi yang sama dan menjaga dengan baik koleksi yang dimiliki.

Pak Akob yang juga seorang usahawan berharap impiannya akan menjadi kenyataan kerana koleksi barangan yang dimilikinya sudah tiada lagi di pasaran sekarang dan tentunya dapat menarik orang ramai untuk melihatnya. ‘‘Saya dapat idea untuk mengumpulkan barangan ini dalam sebuah muzium kerana ingin orang ramai turut serta melihat dan mengetahui tentang berangan tersebut sekali gus merancakkan industri pelancongan di negara kita,” jelasnya yang telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Museum Collections Sdn. Bhd.

Antara koleksi terbaik yang beliau miliki ialah paddle car pelbagai jenis keluaran tahun 1925 hingga 1980. seperti kereta bomba, keretapi, jeep serta bot yang diperbuat daripada besi dan kayu. Tambahnya lagi paddle car tersebut berjenama Austin, Jaguar, Coachbuit dan Bugatti yang berharga antara RM500 hingga RM5,000. Manakala permainan kanak-kanak daripada tin (tintoys) yang kebanyakannya dari England dan Jepun yang dibeli dengan harga RM50 hingga RM1,500.

‘‘Kesemua barangan itu ada lebih kurang 300,000 koleksi termasuk pelbagai barangan dari jenama Coke,” jelsnya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Tengah Muar, baru-baru ini. Selain barangan permainan, Pak Akob juga mempunyai lebih 200 buah basikal kanak-kanak untuk usia tiga hingga lima tahun yang dipanggil bone shaker yang berharga antara RM1,000 hingga RM3,000 sebuah dan paling berharga beliau mempunya koleksi basikal kanak-kanak keluaran pertama dunia.

Beliau turut memiliki 400 koleksi basikal kanak-kanak keluaran tahun 1900 hingga 1970 jenama Tricycle, Tri-Ang dan Mobo yang berharga antara RM500 hinga RM2,500. ‘‘Saya juga mempunyai koleksi basikal antik bersaiz 18 inci hingga 28inci dari jenama Bsa, Triumph, Sunbeam, Norton, Royal Enfield dan Rudge berharga antara RM800 hingga RM5,000 sebuah,” ujarnya. Pak Akob juga mempunyai tujuh buah basikal Big Wheel atau nama lainnya iaitu Panny-Farthing dan Ordinary keluaran tahun 1880 dan awal tahun 19 dengan harga RM2,500 hingga RM5,000 sebuah.

Menurut Pak Akob, bukan mudah untuk mendapatkan koleksi barangan tersebut yang ada antaranya telah berusia lebih satu abad dan berada dalam keadaan baik serta dijaga dengan rapi. Tambahnya lagi setakat hari ini kesemua koleksi barangan antiknya bernilai RM3.5 juta termasuk pelbagai perabot antik yang kebanyakannya berasal dari negeri Cina, peninggalan kaum peranakan Baba dan Nyonya juga perabot buatan England.

‘‘Melihat kesemua koleksi saya tersusun kemas dan berada dalam keadaan baik saya berasa puas, justeru saya berhasrat untuk membuka sebuah galeri atau muzium yang boleh menempatkan kesemua koleksi yang saya ada untuk tatapan umum,” jelasnya bangga. Pak Akob menambah, dia telah menubuhkan syarikat berkenaan bersama rakan kongsinya Profesor Dr. Roland Ong yang merupakan seorang pengumpul kamera terbesar di Asia dan muzium itu akan bertemakan Historic Photo and Toy Tourism.

Negeri Melaka merupakan tempat yang dianggapnya sesuai untuk membuka muzium berkenaan kerana ia negeri bersejarah dan barangan yang dimilikinya juga mempunya sejarah yang tersendiri. Buat masa ini katanya, sebuah panggung wayang lama di tengah bandaraya Melaka telah dikenal pasti untuk dijadikan muzium dan rundingan dengan pihak kerajaan negeri Melaka sedang dilakukan. ‘‘Saya yakin muzium itu bakal mencatat satu lagi sejarah buat negeri Melaka khasnya, dan Malaysia amnya kerana ia akan menjanjikan kelainan,” ujarnya.

Jemputan Pertandingan Basikal dan Motorsikal Klasik di ADTEC Batu Pahat pada Ahad, 25 Sept. 2011


Salam Aidilfitri  – Untuk makluman semua satu Pertandingan Basikal dan Motorsikal Klasik bersempena Hari Inovasi dan Kreativiti, Jabatan Tenaga Manusia akan diadakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, Johor. Acara ini dijangkakan akan berlangsung pada hari Ahad, 25 September 2011 bermula jam 9:00 pagi – 4:00 petang. Semua peserta yang berminat untuk bertanding diminta untuk mendaftarkan penyertaan selewat-lewatnya pada hari Khamis, 22 September 2011. Penulis difahamkan Pertandingan ini adalah Pertandingan TERBUKA yang bermaksud semua jenis basikal klasik/tua tanpa mengira ukuran dan jenis boleh menyertainya asalkan ianya basikal klasik. Tiada kategori khusus dipertandingkan oleh pihak penganjur. Berikut adalah maklumat penting mengenai acara tersebut.

PERTANDINGAN BASIKAL  DAN MOTORSIKAL KLASIK
Bersempena HARI KREATIVITI DAN INOVASI
JABATAN TENAGA MANUSIA 2011

Syarat- Syarat Penyertaan

1. Pertandingan ini terbuka kepada semua pemilik Basikal dan Motorsikal Klasik yang berada di Malaysia.

2. Pertandingan ini akan di adakan di PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) BATU PAHAT, JOHOR – Sempena Hari Inovasi dan Kreativiti Jabatan Tenaga Manusia.

3. Setiap penyertaan hendaklah didaftarkan mengunakan Borang Pertandingan yang di sediakan samada di hantar melalui Fax, Email atau Melalui Telefon seperti yang tertera dalam borang penyertaan.

4. Setiap peserta boleh menghantar seberapa banyak basikal atau motor dengan syarat pendaftaran di buat mengikut bilangan basikal atau motor yang di sertai. (Satu basikal atau Motor satu pendaftaran).

5. Pendaftaran melalui kelab-kelab sangat digalakan kerana kelab yang menyertai paling banyak penyertaan akan mendapat piala khas iaitu piala penyertaan Kelab paling ramai bagi kategori Basikal Klasik sahaja.

6. Pendaftaran atau yuran penyertaan di kenakan sebanyak RM 1.00 setiap satu penyertaan ( Satu Basikal atau Satu Motor RM 1.00 ) pada hari pendaftaran.

7. Hadiah di sediakan dalam bentuk Piala iaitu tempat Pertama,Kedua dan Ketiga serta Sijil Bagi Kategori Basikal Klasik dan Motor Klasik.

8. Tarikh pertandingan ialah pada 25 September 2011 (Ahad ) mulai jam 9.00 pagi hingga 4 petang.

9. Tarikh tutup Penyertaan pada hari Khamis, 22 September 2011.

10. Semua Borang Pertandingan hendaklah di hantar kepada Urusetia pertandingan Hj Abdul Rahim Bin Md Tahir, PUSAT LATIHAN TEKNOLOGI TINGGI (ADTEC) BATU PAHAT, JOHOR, Km. 8, Jalan Tanjung Laboh 83000 Batu Pahat, Johor atau dengan menelefon : 07-4287733 atau 019-7708439.

11. Pihak penganjur akan melantik juri bagi menilai keunikan Basikal atau motor yang menyertai pertandingan ini dan keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak di layan.

12. Semua peserta yang menyertai pertandingan ini akan di sediakan makan tengahari secara percuma serta sijil penyertaan.

Untuk maklumat lanjut sila terus hubungi Tuan Hj Abdul Rahim Bin Md Tahir di talian 07-4287733 atau 019-7708439 atau email aim8439@yahoo.com atau faks di 07-4285190

Sebagai Pejuang dan Pencinta Basikal Tua Malaysia – Ayuh kita ramai-ramai turun ke Batu Pahat dan menyertai acara yang dianjurkan demi melestarikan warisan basikal tua di Malaysia. Penulis pasti ramai sahabat-sahabat dan kolektor-kolektor akan hadir menyokong acara tersebut. Marilah kita hadir dengan membawa koleksi-koleksi basikal TERBAIK masing-masing untuk sama-sama kita berkongsi pengalaman dan koleksi berharga kepada masyarakat dan komuniti basikal tua di Johor. Menang atau kalah adat pertandingan yang penting PERSAHABATAN dan silaturahim harus kita PERTAHANKAN. Sekian untuk makluman bersama.

Sila klik di pautan di bawah untuk muat turun Borang Pertandingan
Borang Pertandingan

Ikhwan
Basikal Malaya

Berita dari George Town, Penang: Indian-Muslims celebrate culture (kiriman Pak Syed Ahmad Haidrus)


Syed Ahmad Haidrus astride his classic bicycle with the celebration committee members.

Syed Ahmad Haidrus atau Pak Syed (Mamak Penang) dari Pulau Pinang sempat menghantar berita mengenai basikal/gerek tua dari utara kepada penulis pada 24 Julai 2011 bersempena “Indian-Muslim Culture Celebration” yang telah diadakan pada awal Julai yang lalu. Nama Pak Syed yang sangat terkenal di utara dan di kalangan pejuang dan pencinta basikal tua merupakan salah seorang pejuang sejati yang berjuang bersama beberapa sahabat-sahabatnya iaitu Abg. Hamid dan Uncle Wong, mereka ini sering hadir mengikuti aktiviti dan acara kayuhan yang dianjurkan oleh penulis dan sahabat-sahabat di Melaka dan Johor.

Bagi mereka yang mengenalinya, Pak Syed sangat sinonim dengan gaya dan kelainan berpakaiannya yang beridentitikan “Mamak Penang” sering sahaja berjaya mencuri perhatian lensa kamera dan media jika ada event yang besar. Bukan itu sahaja, beliau bersama sahabatnya sanggup mengembara jauh beratus batu, keluar dari negerinya untuk bersama-sama hadir menyokong setiap aktiviti dan acara besar basikal tua yang diadakan di Malaysia dan seorang yang “pemurah” untuk berkongsikan pengalamannya. Ternyata daya juang dan semangat insan unik ini cukup kental dan bertenaga untuk melihat warisan ini terus dipertahankan kepada generasi muda.

Jutaan terima kasih khas buat Pak Syed kerana sudi berkongsikan pengalaman ini khas buat teman-teman basikal tua seluruh tanahair. Semoga berita dari utara ini memberi petanda baik bahawa basikal tua kini mula bangkit dan mendapat perhatian di mana-mana sahaja. Silakanlah membaca berita yang dikirimkan ini….

Ini dia gaya klasik "Mamak Penang" yang paling asli....

Pak Syed bersama peminat cilik gerek tua...bergambar sebagai bukti gerek tua masih diminati dan dihargai di sana...

Pak Syed bersama-sama sahabatnya masih kental dan bersemangat melestarikan gerek tua di utara...

Semangat 1Malaysia yang dibawa bersama basikal tua membuktikan basikal/gerek tua dapat menyatukan bangsa dan negara...

Indian-Muslims celebrate culture

GEORGE TOWN: Come Thursday, the area surrounding Kapitan Keling Mosque in Lebuh Buckingham will be abuzz with activities, starting with the Indian-Muslim Culture Celebration. The celebration is in conjunction with Penang Heritage Day, which is part of George Town Festival 2011.

The Indian-Muslim Culture Celebration, which will be held for three days from Thursday, has various interesting programmes including the Indian-Muslim Museum Portraits of Penang, Heritage Ride — a bicycle ride within the George Town area with riders in traditional costumes, Heritage Drawing and Colouring Contest For Kids, Longest Non-Stop Teh Tarik and Roti Canai Demonstration, a performance by snake charmer Amjad Khan, Indian-Muslim Culture Show and free tasting of traditional Indian-Muslim food.

“These programmes are meant to promote the development of an Indian-Muslim community and culture, whose heritage, prosperity and wellbeing are important to the cultural diversity of the inner city of George Town,” said Kapitan Keling Mosque management committee chairman Meera Mydin Mastam at the announcement of the celebration.

Also present were George Town Festival 2011 programme director Joe Sidek, festival programme contributor Dr. Ooi Cheng Ghee, Indian-Muslim Culture Celebration 2011 programme coordinator Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan and celebration programme assistant-director Mohamed Rizwan Sharbudin.

Meera said the organising committee hoped the celebration would strengthen the role of Indian-Muslim youth as custodian and interpreter of their heritage and historic environment. “The local community and tourists will also gain better knowledge of Indian-Muslim culture and heritage,” he said.

Read more: Indian-Muslims celebrate culture http://www.nst.com.my/nst/articles/pgmuslim2/Article#ixzz1TTeMBtT2

Artikel yang cukup memberi inspirasi “Ichwan Alex : Hidup layaknya bersepeda”


Artikel mengenai Sdr. Alex yang disiarkan oleh Akhbar Suara Pembaruan bertarikh 17 Julai 2011

Siapa yang tidak kenal dengan yang empunya nama Ichwan Alex Setiawan a.k.a Alex? Nama  unik yang penuh characteristic yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang mengenali beliau berasa senang hati. Penulis yang mengenali Sdr. Alex semenjak Februari 2008 melihat beliau sebagai insan yang enthusiastic, humble dan honest. Beliau yang sentiasa menyanjung tinggi ikatan persahabatan (Ichwan yang bermaksud saudara) sanggup berkorban apa sahaja demi mengembirakan sahabatnya. Artikel yang disiarkan oleh Suara Pembaruan menceritakan serba ringkas bagaimana beliau memulakan hobi ini sehinggalah berjaya menjadi seorang yang berjaya memartabatkannya.

Penulis dedikasikan siaran artikel untuk pembaca dan peminat BM sebagai menghargai sumbangan beliau yang telah banyak mengjuvenasi dan menginspirasi corak dan pola pemikiran penulis dalam meneruskan perjuangan basikal tua di Malaysia. Diharapkan artikel ini mampu memberikan sedikit inspirasi buat semua pejuang dan pencinta basikal tua Nusantara. – Basikal Malaya

Kemunculan semula budaya berbasikal mengangkat dan mengiktiraf perjuangan warisan basikal tua di Malaysia


Tajuk penting di New Straits Time yang bertajuk "Bicycling makes a strong comeback" yang memaparkan imej utama basikal tua penuh dramatik, mengiktiraf kepentingan dan sumbangan basikal tua kepada pembaca yang disiarkan semalam (Rabu, 13 Julai 2011).

Di mana-mana sahaja masyarakat di Malaysia heboh memperkatakan mengenai budaya berbasikal terutamanya di negeri Melaka apabila pemimpin No. 1 iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka bersama Exco-exco dan Ketua-ketua Jabatan berbasikal setiap Khamis ke pejabat, wabak berbasikal dikalangan pemimpin negeri dan VVIP  kian menular dengan hebat di Johor, Selangor, dan di seluruh negara. Perjuangan penulis dan sahabat-sahabat Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) ternyata efektif dan telahpun menampakkan hasil dan kesan yang sangat “luar biasa”. Di Johor diberitakan oleh Kelab Basikal Klasik Johor, warisan bernilai (basikal tua) kini mendapat tempat dikalangan pembesar Istana dan pemimpin-pemimpin di sana dan kita tunggu apa yang akan berlaku di sana melalui blog mereka.

NST melaporkan peningkatan pengunaan basikal dan busines industri basikal yang kian menguntungkan. Peningkatan penggunaan basikal di Malaysia kian dirasai manakala basikal tua tetap mendapat tempat yang tinggi di dalam budaya dan taraf sosial masyarakat.

KBTBB yang mewakili komuniti basikal tua melaporkan peningkatan pembabitan dan aktiviti bersama Kerajaan Negeri dan komuniti sepanjang setahun lalu meningkat dua kali ganda.

Bagi penulis bukanlah glamour dan publisiti yang dikejar dan dicari semata-mata …tetapi realitinya basikal tua sendiri dihormati oleh pengamal media di negara ini. Lihat sahaja rancangan di TV dan laporan di akhbar, setiap kali topik mengenai basikal dikeluarkan pasti “basikal tua” akan mendapat penghormatan dan diselitkan di dalam rancangan dan laporan mereka. Semua ini tanggungjawab siapa dan usaha siapa? Pastinya ia adalah usaha bersama pejuang dan peminat basikal tua seluruh Malaysia dan penulis bersama sahabat-sahabat hanya bertindak sebagai agen-agen yang menyebarkannya. Usaha ini mendapat penghormatan di “luar jangkaan” penulis.

The Cycling CM (Photo caption) Front page - The Star siaran Sabtu, 2 Julai 2011 menjadi "fenomena" apabila Ketua Menteri Melaka berbasikal ke pejabat. Liputan dalam akhbar The Star disiarkan ke seluruh negara.

Ringkasnya “fenomena” yang berlaku ini seharusnya membuatkan kita lebih bersemangat dan bersatu hati. Komuniti basikal tua di Malaysia kini dianggarkan sekitar 1000-1500 berdasarkan purata peminat yang penulis dapat rekodkan secara umum. Mungkin angka ini dilihat kecil namun penulis mengharapkan angka ini akan menjadi berganda menjadi 2,000-3,000 peminat dalam tempoh 3 tahun dari sekarang. Semua ini tidak mustahil sekiranya kita berjaya menarik lebih banyak peminat basikal tua dikalangan generasi muda dan veteran. Di Melaka projek perlaksanaan membina laluan basikal dijangka akan siap pada hujung tahun 2011 dan ini sudah pasti merealisasikan harapan dan impian penulis untuk melihat basikal terus lestari di bumi Hang Tuah.

Idea untuk melihat seluruh rakyat di Melaka berbasikal setiap hujung minggu dan menjadikan basikal tua sebagai pengangkutan alternatif  hampir tercapai. Masih banyak lagi idea-idea dan cadangan untuk kita utarakan demi melestarikan warisan basikal tua ini di tempat kediaman masing-masing. Hobi yang dahulunya sekadar koleksi kini sudah ditransformasi menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berguna kepada bangsa dan negara. Semoga basikal tua terus lestari dan terus diminati oleh semua golongan. Itulah magis, signifikan dan uniknya basikal tua yang kita perjuangkan – Basikal Malaya