Kemunculan semula budaya berbasikal mengangkat dan mengiktiraf perjuangan warisan basikal tua di Malaysia


Tajuk penting di New Straits Time yang bertajuk "Bicycling makes a strong comeback" yang memaparkan imej utama basikal tua penuh dramatik, mengiktiraf kepentingan dan sumbangan basikal tua kepada pembaca yang disiarkan semalam (Rabu, 13 Julai 2011).

Di mana-mana sahaja masyarakat di Malaysia heboh memperkatakan mengenai budaya berbasikal terutamanya di negeri Melaka apabila pemimpin No. 1 iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka bersama Exco-exco dan Ketua-ketua Jabatan berbasikal setiap Khamis ke pejabat, wabak berbasikal dikalangan pemimpin negeri dan VVIP  kian menular dengan hebat di Johor, Selangor, dan di seluruh negara. Perjuangan penulis dan sahabat-sahabat Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) ternyata efektif dan telahpun menampakkan hasil dan kesan yang sangat “luar biasa”. Di Johor diberitakan oleh Kelab Basikal Klasik Johor, warisan bernilai (basikal tua) kini mendapat tempat dikalangan pembesar Istana dan pemimpin-pemimpin di sana dan kita tunggu apa yang akan berlaku di sana melalui blog mereka.

NST melaporkan peningkatan pengunaan basikal dan busines industri basikal yang kian menguntungkan. Peningkatan penggunaan basikal di Malaysia kian dirasai manakala basikal tua tetap mendapat tempat yang tinggi di dalam budaya dan taraf sosial masyarakat.

KBTBB yang mewakili komuniti basikal tua melaporkan peningkatan pembabitan dan aktiviti bersama Kerajaan Negeri dan komuniti sepanjang setahun lalu meningkat dua kali ganda.

Bagi penulis bukanlah glamour dan publisiti yang dikejar dan dicari semata-mata …tetapi realitinya basikal tua sendiri dihormati oleh pengamal media di negara ini. Lihat sahaja rancangan di TV dan laporan di akhbar, setiap kali topik mengenai basikal dikeluarkan pasti “basikal tua” akan mendapat penghormatan dan diselitkan di dalam rancangan dan laporan mereka. Semua ini tanggungjawab siapa dan usaha siapa? Pastinya ia adalah usaha bersama pejuang dan peminat basikal tua seluruh Malaysia dan penulis bersama sahabat-sahabat hanya bertindak sebagai agen-agen yang menyebarkannya. Usaha ini mendapat penghormatan di “luar jangkaan” penulis.

The Cycling CM (Photo caption) Front page - The Star siaran Sabtu, 2 Julai 2011 menjadi "fenomena" apabila Ketua Menteri Melaka berbasikal ke pejabat. Liputan dalam akhbar The Star disiarkan ke seluruh negara.

Ringkasnya “fenomena” yang berlaku ini seharusnya membuatkan kita lebih bersemangat dan bersatu hati. Komuniti basikal tua di Malaysia kini dianggarkan sekitar 1000-1500 berdasarkan purata peminat yang penulis dapat rekodkan secara umum. Mungkin angka ini dilihat kecil namun penulis mengharapkan angka ini akan menjadi berganda menjadi 2,000-3,000 peminat dalam tempoh 3 tahun dari sekarang. Semua ini tidak mustahil sekiranya kita berjaya menarik lebih banyak peminat basikal tua dikalangan generasi muda dan veteran. Di Melaka projek perlaksanaan membina laluan basikal dijangka akan siap pada hujung tahun 2011 dan ini sudah pasti merealisasikan harapan dan impian penulis untuk melihat basikal terus lestari di bumi Hang Tuah.

Idea untuk melihat seluruh rakyat di Melaka berbasikal setiap hujung minggu dan menjadikan basikal tua sebagai pengangkutan alternatif  hampir tercapai. Masih banyak lagi idea-idea dan cadangan untuk kita utarakan demi melestarikan warisan basikal tua ini di tempat kediaman masing-masing. Hobi yang dahulunya sekadar koleksi kini sudah ditransformasi menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berguna kepada bangsa dan negara. Semoga basikal tua terus lestari dan terus diminati oleh semua golongan. Itulah magis, signifikan dan uniknya basikal tua yang kita perjuangkan – Basikal Malaya

Advertisements

Kejayaan Acara K2N II bukti semangat serumpun (Malaysia – Indonesia) yang tetap membara!


Peluang seumur hidup berkayuh di negara jiran bersama ribuan ontelis dan tercatat sebagai Kelab basikal tua PERTAMA yang hadir bersama ahli-ahlinya ke Indonesia menjayakan acara bertaraf dunia.

Acara K2N II yang memberikan pengalaman berharga kepada 35 peserta dari Malaysia. 1Malaysia... 1Indonesia... 1Nusantara!

Pada 3-6 Jun 2011 yang lalu tercipta satu lagi sejarah yang paling “memorable” buat penulis dan sahabat-sahabat basikal tua di Malaysia dan Indonesia dengan terlaksananya Acara Kayuhan 2 Negara buat kali yang ke 2. Acara yang berlangsung selama 4 hari 3 malam di Bandung – Jakarta, Indonesia meninggalkan seribu satu kenangan dan sejarah yang tidak mungkin dapat dilupakan buat 35 peserta dari Malaysia yang menyertainya. Mungkin bagi orang lain tiada apa yang istimewanya acara besar seperti ini. Tetapi bagi penulis yang mewakili sebilangan besar pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia ini merupakan satu usaha yang paling berani dan paling besar dalam sejarah basikal tua di Nusantara.

K2N cetuskan semangat 1Malaysia…1Indonesia…1Nusantara
Laungan “1Malaysia…1Indonesia…1Nusantara” menjadi laungan keramat bagi semua peserta yang hadir di Bandung. Berbekalkan semangat yang terus membara ini tiada apa yang mustahil dilakukan oleh kedua-dua komuniti yang berkongsi adat dan budaya. Malahan rata-rata peserta yang hadir tidak merasakan perbezaan yang ketara darisegi bahasa dan cara berpakaian kerana asalnya kita adalah serumpun. Ini terbukti apabila kedua-dua kelab KBTBB dan KOSTI bertemu kembali meneruskan Acara K2N II di Bandung selang setahun demi menunaikan janji masing-masing. Siapa sangka bak kata peserta dari Batu Berendam…”Main besi karat…dapat naik besi terbang…”. Segalanya pasti apabila KBTBB berjaya membawa sebahagian ahlinya terbang ke Indonesia untuk sessi lawatan balas seminggu yang lalu. Penulis pula berasa sangat bertuah kerana acara kali ini ditemani oleh isteri tersayang yang sanggup berkorban masa dan kesihatan demi menyokong perjuangan penulis dan sahabat-sahabat.

Acara K2N II yang dibantu sepenuh komitmen oleh sahabat-sahabat penulis yang sanggup berjuang bermati-matian dari kiri Mr. GB, Mas Iwan, Sdr. Jebat, Sdr. Alex, dan Sdr. Sanim...disokong oleh peserta dari KBAB Sdr. Ramli Hyper.

Penulis bersama isteri tersayang Wawa ditemani oleh "body guard" Taiko Amin (adik sepupu Wawa) Terbang ke bandung demi Acara K2N II

Acara K2N II bukanlah acara biasa-biasa
Acara K2N II bukanlah acara biasa-biasa malahan ia melibatkan nama negara Malaysia dan Indonesia serta nama kerajaan negeri Melaka dan pemerintah di Bandung-Jakarta. Tidak keterlaluan penulis kategorikan Acara K2N II ini merupakan acara bertaraf antarabangsa dan ia merupakan satu-satunya acara yang dapat menghimpunkan peminat-peminat, pencinta dan pejuang basikal tua di dua buah negara dalam satu acara. Belum ada lagi dalam carian dan kajian penulis di laman-laman web yang ada memaparkan acara basikal tua/klasik yang melibatkan 2 negara.

KBTBB mendapat sokongan dari kelab-kelab basikal di Malaysia
Kemunculan Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) 3 tahun yang lalu telah banyak merubah suasana dan atmosfera serta hala tuju (direction) basikal tua tanahair. Semua ini adalah mustahil dapat dilakukan tanpa adanya sokongan padu dari beberapa Kelab basikal tua terkenal seperti Kelab Sepeda Tua Johor Bahru, Kelab Basikal Klasik Muar, Port Swettenham Classic Bicycle, Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang, GETUAS, Kelab Basikal Antik Benut, Pemilik Basikal Tua Chaah-Labis (PECHAL), dan orang perseorangan serta nama-nama individu yang tidak dapat penulis sebutkan di sini.

Bersama 35 peserta K2N II di Gedung Sate di Bandung dalam acara sessi lawatan.

Penghargaan buat KOSTI, PSB Bandung dan KOBA
Setinggi penghargaan khas buat Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang di wakili oleh Pak Zainal, Sdr. Alex, Sekjen Fahmi, Mas Iwan, Mbak Nurul, dan sahabat-sahabat di Indonesia yang menjadi tulang belakang menjayakan Acara K2N II yang penuh gemilang. Selain itu pujian dan penghormatan khas buat Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng-West Java (PSB Bandung) terutamanya kepada Kang Aboy dan Mas Firman yang sentiasa memastikan segala aktiviti dan perancangan berjalan mengikut jadual. Pengurusan Acara K2N II yang berlangsung selama 4 hari 3 malam sangat-sangat sempurna (perfect) dan penulis sendiri sangat-sangat berpuas-hati dengan persiapan dan pengendalian peserta dan acara.

Tahniah buat semua sahabat-sahabat di Bandung. Tidak kurang hebatnya sahabat-sahabat Komunitas Sepeda Ontel Batavia (KOBA) dan kelab-kelab sepeda sekitar Jakarta yang sudi menyambut kehadiran rombongan dari Malaysia di Jakarta yang tampil dengan acara-acara yang penuh kejutan “surprise” yang pastinya tidak mungkin dilupakan seumur hidup. Walaupun cuaca di Jakarta hujan pada sebelah petang namun sahabat-sahabat ontel di sana tetap tidak berganjak dan menunggu rombongan Malaysia sejak pukul 8:00 malam dan setelah menunggu sejak pukul 5:00 petang di Bulatan HI.

Penulis bersama Sekjen KOSTI (kiri) Sdr. Fahmi dan Pengerusi KBTBB (kanan) Sdr. Alias Omar dalam Sidang Akhbar di Bandung.

Penulis ditemubual sewaktu Majlis Perasmian Acara K2N II oleh wartawan-wartawan yang membuat liputan mengenai Acara K2N II di Saung Ujo, Bandung

Menjawap soalan dari Global TV dan TVRI mengenai Acara K2N II selepas acara kayuhan mengelilingi Kota Bandung

K2N II mendukung prinsip persahabatan dan persaudaraan
Pada dasarnya penganjuran dan cetusan idea K2N oleh KBTBB dan KOSTI ini semuanya adalah berprinsipkan persaudaraan dan didasari oleh persahabatan. Banyak soalan-soalan yang penulis terima dari media Indonesia yang bertanyakan apakah motif sebenar Acara K2N II ini? Mudah sahaja jawapannya Acara K2N II adalah acara kayuhan untuk memperkukuh persahabatan dan persaudaraan serumpun. Tiada agenda politik. Tiada kepentingan peribadi. Tiada agenda tersembunyi. Ini adalah acara yang paling jujur dan ikhlas dilakukan untuk melihat pencinta dan pejuang basikal tua kedua-dua negara meraikan pertemuan bersejarah dengan memahami dengan lebih dekat budaya dan cara hidup masing-masing. Acara K2N II diharapkan akan menjadi titik tolak kepada penganjuran acara yang melibatkan lebih banyak negara yang akan menyertainya di masa hadapan.

Meluangkan masa berlibur bersama sahabat-sahabat penulis dari Malaysia dan Indonesia melawat pusat kopi dunia yang termasyur pada tahun 1920-30an.

Fokus kepada acara K2N / K3N pada tahun 2012
Ringkasnya tiada kata yang dapat diungkapkan oleh penulis selama menceburi hobi basikal tua ini apabila melihat basikal tua boleh berjaya ke tahap ini. Tidaklah penulis hiraukan kata-kata atau pandangan-pandangan sinis dan skeptical beberapa individu di luar sana kerana mereka sendiri tahu di manakah letaknya tempat mereka sekarang. Fokus sekarang ialah untuk terus menyambung usaha murni untuk Acara K2N / K3N yang akan digalas oleh kelab-kelab basikal yang lain pula.

Alhamdulillah Kelab Sepeda Tua Johor Bahru telahpun menyahut cabaran untuk membawa acara bertaraf dunia ini dipersembah dan diadakan di negeri Johor kerana penulis secara peribadi yakin orang-orang Johor mampu melakukan “kejutan” untuk peserta-peserta K2N/K3N pada tahun 2012. Kredibiliti dan kemampuan mereka telah pun terbukti melalui Acara Kayuhan Terowong Masa (KTM) awal tahun ini yang boleh diiktiraf sebagai yang terbaik untuk sebuah kelab baru yang masih muda di Malaysia. Manakala KBTBB dan KOSTI akan terus bekerjasama mengembleng tenaga dan usahanya untuk merancang acara-acara yang besar di masa hadapan demi kepentingan komuniti dan ahli-ahlinya.

Nantikan update dan komentar penulis dalam entry seterusnya.

Misi Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 (K2N II) – Malaysia dan Indonesia pada 3 – 6 Jun 2011 di Bandung, Indonesia


Liputan akhbar Utusan Malaysia mengenai K2N Pertama yang berlangsung di Bandaraya Melaka pada 8 Jun 2010 keluaran edisi selatan.

Logo rasmi Acara Kayuhan 2 Negara - Pertama dan Kedua

Acara Kayuhan 2 Negara Kali Ke 2 (K2N II) di antara Malaysia dan Indonesia akan diadakan buat kali kedua di Bandung, Indonesia pada 3-6 Jun 2011. Kurang seminggu lagi acara K2N II akan berlangsung di bumi Indonesia setelah berjaya menyatukan komuniti basikal tua kedua-dua negara pada K2N pertama yang telah diadakan pada 4-6 Jun 2010 di Bandaraya Melaka tahun lalu. Secara konsistennya Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) Melaka telah berjaya meneruskan acara yang penuh gemilang ini bersama Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) dengan dibantu dan disokong oleh Paguyuban Sapedah Baheula Bandung West Java. Pada hari ini Blog Basikal Malaya mengumumkan bahawa Acara K2N II akan berlangsung secara besar-besaran di Indonesia walaupun peserta dari Malaysia dijangkakan akan hadir seramai 40 peserta namun itulah misi berat yang perlu dipikul demi memartabatkan basikal tua di peringkat Antarabangsa.
 
Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun
Bertemakan “Basikal Tua Memperkukuh Persahabatan Serumpun” Acara K2N II merupakan platform penting bagi memperkukuhkan hubungan persahabatan dua komuniti basikal tua dari 2 negara yang berkongsi minat dan hobi yang sama. Di masa hadapan sudah ada cadangan untuk diadakan Acara K3N atau K4N namun itu bukanlah satu impian yang mustahil. Melalui basikal tua kita mampu mencetuskan “fenomena luar biasa” di mana secara realitinya pihak KOSTI memaklumkan bahawa acara K2N II kali ini diiktiraf sebagai acara nasional di Indonesia dan akan menyaksikan ribuan ontelis akan hadir menyokong acara pada kali ini. Semua ini kerana basikal tua…

Kayuhan 2 Negara – Merupakan Acara Nasional/Antarabangsa bagi kedua-dua negara
Tidak keterlaluan penulis katakan acara K2N yang dicetuskan oleh KBTBB dan KOSTI ini merupakan acara basikal tua yang pertama dan terpenting bagi kedua-dua negara. Belum ada dalam sejarah basikal tua dari mana-mana negara di dunia ini diadakan seperti K2N ini. Justeru di Indonesia ini merupakan acara peringkat antarabangsa pertama pernah diadakan yang melibatkan negara luar di sana. Bagi 40 peserta dari Malaysia ini adalah sejarah yang sangat penting dalam perkembangan basikal tua di tanahair dan sekaligus mengukir nama di peringkat antarabangsa. Semuanya itu bermula dari persahabatan…

Promosi dan publisiti meluas dari Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) untuk menjayakan K2N II di Bandung, Indonesia

Maklumat lanjut boleh diperolehi di…
http://sepeda.wordpress.com/2011/05/25/kayuhan-2-negara-2011/ 

KBTBB melalui akhbar rasmi negeri Melaka mempromosikan Acara K2N II kepada umum

Maklumat dan informasi mengenai Acara K2N II sila layari…
http://basikal-melaka.blogspot.com/2011/05/informasi-dan-tentatif-program-4h3m.html

Kehadiran 220 peserta di acara KTM2011 bukti kebangkitan basikal tua dari selatan


220 peserta basikal tua hadir membanjiri Bandar Pontian menjayakan acara Kayuhan Terowong Masa (KTM) 2011

Kehadiran peserta yang ramai pada acara KTM2011 bukti kebangkitan basikal tua dari selatan

Dataran Pontian menjadi saksi kemeriahan KTM 2011 - Majlis Perlepasan Peserta oleh Cik Nurul A.A.D.O Pontian

1 Mei 2011 menjadi tarikh keramat yang penuh sarat dengan memori indah bagi 220 peserta basikal tua yang hadir memeriahkan acara Kayuhan Terowong Masa (KTM) 2011 yang telah berlangsung di Pontian, Johor. Walaupun berita KTM2011 telah terpampang di dada akhbar dan tabloid di seluruh Malaya dan lebih seminggu ianya berlalu, namun kenangan di acara yang paling meriah dan penuh warna-warni dengan pelbagai gelagat masih segar diingatan penulis dan sahabat-sahabat yang hadir. Pastinya ucapan TAHNIAH dan SYABAS harus ditujukan kepada Sdr. Mofti, Sdr. Ajid dan barisan AJK serta dibantu oleh kelab-kelab basikal tua dari selatan seharusnya dipuji dan disanjung tinggi. Kehadiran peserta-peserta dengan busana-busana klasik kali ini dilihat semakin bertambah dan fokus kini bukanlah hanya pada basikal tua sebaliknya penampilan secara keseluruhannya. Inilah perkembangan terbaharu basikal tua di Malaya.

Penulis secara peribadi berasa amat bangga kerana telah muncul sebuah lagi kelab basikal tua yang BERKREDIBILITI, BERWIBAWA dan BERANI menganjurkan acara besar yang telah BERJAYA membuka banyak mata-mata dan telinga-telinga di luar sana. Kejayaan Kelab Basikal Klasik Johor (KBKJ a.k.a. KSTJB) merupakan satu petanda kebangkitan kelab-kelab yang BERWIBAWA dari selatan tanahair. Kini Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) sudah mempunyai rakan strategiknya untuk terus mengembeling usaha dan tenaga untuk mengada dan menganjurkan acara yang lebih besar di masa hadapan. Paling menarik acara bertukar “pin cenderahati” sudah mula popular dikalangan peserta-peserta dan itulah yang membezakan kolektor dan peserta yang sering mengikuti kayuhan yang dianjurkan kelab-kelab basikal di Malaysia mahupun luar negara.

KBTBB selaku kelab pendahulu hadir dengan memperagakan busana klasik Melaka dari era Munsyi Abdullah dan era Portugis

Pak Said dari Penang bersalaman dengan peserta dari Benut sebagai bukti semangat persahabatan yang tinggi

Sdr. Mofti menerima sumbangan sebanyak RM10,000 yang disumbangkan oleh PECHAL untuk mengadakan K3N di Johor tahun hadapan.

Mr. GB yang berjaya menjual barang-barang basikal tua dengan harga paling "munasabah" dan mengaut untung berbilion ringgit tanpa perlu jadi "lintah darat"...modalnya adalah "keikhlasan"...

Pada acara yang berlangsung di Pontian penulis juga ingin menyampaikan rasa hormat dan “salute” penulis kepada 4 orang individu yang sanggup hadir dari jauh ke acara KTM 2011, yang pertama Sdr. Alex dari KOSTI, Indonesia yang sanggup hadir dari seberang, kedua Pak Said dari Penang yang tetap bersemangat tinggi menyokong apa jua acara basikal tua di Malaysia, ketiga Abg Hamid (Bomba) juga dari Penang yang menemani Pak Said dan turut serta dalam acara, dan yang terakhir Mr. GB (Gagah Berani) yang sanggup datang dari Batu Gajah, Perak. Selain dari peserta dari Penang, Perak, Selangor, N. Sembilan, dan Melaka, KBKJ juga mendapat sokongan yang padu dari seluruh kelab-kelab basikal tua yang ada di Johor seperti Muar, Segamat, Labis, Batu Pahat, Kota Tinggi, Benut, Pontian dan sekitar Johor Bahru.

Walaupun kali pertama KBKJ mengadakan acara kayuhan besar namun semua yang dirancang berjalan dengan sempurna tanpa ada sebarang gangguan dengan cuaca mendung dan udara yang nyaman sekali. Penulis dapat melihat kerjasama dan silaturahim antara peserta adalah sangat tinggi tanpa mengira dari kelab mana mereka datang. Kehadiran Penolong Pegawai Daerah Pontian iaitu Cik Nurul Farahdila Binti Jaafar pada acara perasmian dan YM Tunku Dato’ Hassan Ibni Almarhum Tunku Mohd Archbald pada acara penutup membuktikan acara ini mendapat perhatian kerajaan Negeri Johor dan pihak Istana Johor. Tahniah buat semua 220 peserta dan Tahniah sekali lagi buat KBKJ di atas kejayaan KTM 2011 – Basikal Malaya

Big Brother Mofti (BBM) dari KBKJ menyampaikan cendera hati kepada YM. Tunku sewaktu majlis penutup.

Sdr. Alex dari KOSTI sempat menyampaikan cenderahati buat YM Tunku di Dataran Pontian sebagai tanda persahabatan Indonesia dan Malaysia

Sdr. Alex, Penulis, Mofti, dan Ajid mengabadikan kenangan KTM 2011 di Pontian Johor

Ini dia Pak Said dari Penang yang hadir dengan semangat juang yang paling tinggi memeriahkan KTM2011.

Dan…inilah hero-hero sebenar yang berjuang habis-habisan untuk kejayaan KTM 2011. Tahniah KBKJ a.k.a. KSTJB!

 

T-shirt Eksklusif edisi terhad untuk Pejuang dan Pencinta Basikal Tua Malaysia


Pastikan anda memiliki sehelai t-shirt edisi terhad ini. Hanya tinggal 20 helai sahaja - saiz S, M dan L (Hitam dan Putih). Harga RM29.00 sehelai + RM6.00 untuk poslaju.

T-shirt eksklusif edisi terhad khas untuk pejuang dan pencinta basikal tua Malaysia didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu hitam dan putih

Salam Hormat buat semua pencinta basikal tua. Blog Basikal Malaya (BM) bersama Blog Nostalgia Basikal Tua (NBT) telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan rekaan t-shirt eksklusif pertama edisi terhad khas untuk pejuang dan pencinta basikal tua di Malaysia. Objektif utama penghasilan t-shirt ini adalah untuk mempromosikan hobi dan warisan basikal tua kepada masyarakat dan generasi muda disamping membantu golongan yang memerlukan bantuan. Disamping itu t-shirt ini sangat sesuai untuk dijadikan hadiah dan cenderahati eksklusif yang tidak mungkin diperolehi/dijual di mana-mana termasuk Mudah.com, eBay, pasar karat, dan sebagainya. T-shirt eksklusif ini dijual dengan harga RM29.00 (tambahan RM6.00 untuk poslaju).

Berkonsepkan Road-sign dan ikon basikal tua rekaan ini lebih menyerlah dengan latar-belakang T-Shirt berwarna putih

Idea dan konsep asal rekaan t-shirt ini telah diadaptasi berdasarkan road-sign (tanda lalu lintas) dan ikon basikal tua telah diolah ringkas (simple) untuk dijadikan subjek dan fokus utama dalam rekaan t-shirt ini. Walaupun subjeknya adalah “basikal tua” namun rekaletak dan ruang yang dihasilkan bercirikan konsep moden retro. Simboliknya ialah walaupun ini hobi “basikal tua” tetapi pemiliknya adalah generasi intelektual yang berjiwa muda dan sofistikated. Gabungan warna hitam kuning telah digabungkan untuk memberikan kesan patriotik dan keberanian tinggi merujuk kepada semangat kental “Harimau Malaya”. Kepada yang berminat bolehlah membuat pesanan awal melalui email ikhwanizam@gmail.com atau menghubungi penulis di talian 019 606 5575 atau Sdr. Sanim (NBT) 012 316 1430

Sebahagian dari hasil jualan T-Shirt ini akan disumbangkan kepada Sdr. Amran Jantan yang menghidapi penyakit kencing manis (diabetis) yang kronik

Jualan Amal T-shirt eksklusif “Basikal Tua” untuk membantu Sdr. Amran Jantan dan Keluarganya (50% keuntungan akan disumbangkan kepada beliau)
Untuk makluman, tujuan jualan t-shirt ini bukanlah bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya 50% (lima puluh peratus) hasil keuntungan jualan akan disumbangkan kepada Sdr. Amran bin Jantan sebagai tanggungjawab sosial (social responsibility) untuk membantu beliau yang menderita akibat penyakit kencing manis (diabetis). Sdr. Amran yang berusia 42 tahun dari Batu Berendam, Melaka terpaksa menanggung 3 orang anak yang masih bersekolah iaitu yang berumur 13, 12 dan 7 tahun.

Beliau yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan terpaksa menahan derita setelah ditinggalkan isterinya dan kini terpaksa pula menangung tanggungjawab menjaga anak-anak dan beban kewangan persekolahan mereka. Walaupun menerima sumbangan dari pihak kerajaan dan Baitulmal namun itu tidak cukup untuk menampung kos hidup dan penyakit yang dialaminya. Justeru itu marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan dengan membeli sambil beramal agar kita dapat memberi sedikit sumbangan kewangan kepada Sdr. Amran.

Ini masanya untuk membuktikan “basikal tua” Malaysia bukan hanya melestarikan warisan dan nostalgia silam tetapi dapat membantu golongan yang memerlukan. Silalah hubungi penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sekiranya berminat untuk membeli sambil beramal. Jadilah antara 100 orang yang “bertuah” memiliki t-shirt eksklusif ini. Stok amatlah TERHAD. First come first serve basis Hanya tinggal 20  10 helai sahaja lagi – Saiz S, M, dan L sahaja (Hitam/ Putih). Jangan sampai menyesal apabila melihat kawan-kawan anda memilikinya Hubungi saya (Ikhwan) di 019-606 5575. – Basikal Malaya

Basikal tua muncul di TV9 dalam rancangan NLKO (LIVE) di Sri Pentas


KBTBB dan PSCB bergabung menjayakan segmen "Basikal Tua" dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9

KBTBB dan PSCB bergabung menjayakan segmen "Basikal Tua" dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9

Satu penghormatan...Siapa sangka "Basikal Tua" akhirnya dijemput ke Sri Pentas, TV9

Pada Sabtu 5 Mac 2011 yang lalu, terukir satu lagi lakaran sejarah buat semua peminat dan pencinta basikal tua di Malaysia apabila “basikal tua” muncul secara LIVE (bersiaran langsung) di TV9. Penulis bersama sahabat-sahabat basikal tua dari Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB), Port Swettenham Classic Bicycle  (PSCB), Mr. Karu mewakili Kelab Sepeda Tua Johor Bahru (KSTJB), dan Mr. GB dari Batu Gajah, Perak – hadir dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) untuk memeriahkan segmen “Nostalgia: Sudirman Dalam Kenangan” di Sri Pentas, Bandar Utama. Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa “basikal tua” dijemput ke Sri Pentas? Jawapannya ialah kerana sebuah lagu yang penuh cerita dan nostalgia yang bertajuk Hidup Sederhana (Basikal Tua) yang telah dicipta oleh Allahyarham Sudirman Hj. Arshad 31 tahun yang lalu (1980).

Lirik : Hidup Sederhana (Basikal Tua) dari Album Anak Muda (1980)
Riang hatiku badan bertuah. Punya teman yang comel dan manja. Berjanji akan selalu bersama. Menemani ku setiap masa. Aku hidup serba sederhana. Tiada harta tiada rupa. Hanya yang ada budi bahasa. Harta sekadar basikal tua. Orang biasa basikal tua. Orang biasa basikal tua. Walau ke mana ia meminta. Ku bawa dengan hati yang bangga. Senang melihat ia ketawa. Duduk di palang basikal tua. Aaaa Aaaa Aaaa Aaaa. Biar pun hidup aku begini. Berbasikal setiap hari. Namun hatiku riang selalu. Tiada hutang datang mengganggu. Angan-angan ku disuatu masa. Basikal kan ku tukar kereta. Tapi kekasihku tidak setuju. Mungkinkah dia rasa cemburu. Orang biasa basikal tua. Aaaa Aaaa Aaaa Aaaa….- Nyanyian & Ciptaan Sudirman Hj. Arshad.

Walaupun sudah hampir 20 tahun Allahyarham Sudirman Hj. Arshad pergi meninggalkan kita namun dek kerana keunikan dan kesyahduan lagu-lagu dendangan beliau yang berunsur patriotik, nasihat, cinta dan  kedesaan, kita masih mengingati Allahyarham sehingga hari ini. Ternyata Allahyarham seorang penyanyi dan penghibur berwawasan, berjiwa rakyat dan penuh dengan semangat patriotisme. Buktinya, lagu “Hidup Sederhana (Basikal Tua)” yang diciptanya didendangkan dengan tempo kontemporari dan moden telah memberikan kesan luar biasa dan  mengangkat martabat “basikal tua” untuk terus dikenang dan dihargai sehingga ke hari ini.

Justeru itu, kehadiran “basikal tua” di Sri Pentas secara tidak langsung menjadi bukti dan saksi betapa hebatnya wawasan dan karismatik  Allahyarham Sudirman Hj. Arshad yang pernah merangkul gelaran  penyanyi No. 1 Asia ini. Penulis pula mengadaptasikan keberanian Allahyarham di dalam membuat kelainan dan pembaharuan kepada hobi “basikal tua” ini. Pernah penulis menasihatkan sahabat-sahabat basikal tua KBTBB (Kelab Basikal Tua Batu Berendam) Melaka “Walaupun kita mengayuh basikal tua namun cara pemikiran dan tindakan kita harus berani, moden dan berwawasan”.. dan Alhamdulillah kini KBTBB masih bergerak aktif melestarikan basikal tua di Malaysia.

Secara peribadinya pada pandangan penulis, generasi muda harus mengembleng tenaga dan usaha membawa “basikal tua” ini lebih maju ke hadapan. Kita harus lebih berani melakukan kelainan dan sanggup berubah serta berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit. Siapa kata hobi “basikal tua” adalah hobi yang sia-sia? Lihat sahajalah kepuasan dan keriangan yang terpancar dalam setiap wajah karektor “basikal tua” yang hadir untuk rancangan NLKO di TV9 ini. Kesemua peserta “basikal tua” yang hadir melahir dan menzahirkan rasa puas hati mereka kerana dapat memberikan sumbangan ke arah memajukan hobi ini (basikal tua) agar terus diminati sepanjang zaman.

Sebelum berpisah, penulis akhiri penulisan kali ini dengan beberapa pertanyaan… ke manakah perginya  “hero-hero” dan “munsyi-munsyi” terhebat basikal tua yang dahulunya hebat “berkokok” ? Apa sudah jadi dan di manakah “janji-janji” dan “wawasan mengunung” mereka itu? Siapakah yang sebenarnya sekarang yang telah berjaya dan tersungkur? Fikir-fikirkanlah sejenak…bak kata  pepatah “Terlajak perahu boleh diundur….terlajak kata…  kelab hancur – reputasi binasa” 🙂  pasti ramai yang sudah mengetahui jawapannya – Basikal Malaya (*budak setahun jagung yang baru nak merangkak*)

Sdr. Abu Talib pengacara NLKO turut serta mempamerkan aksi mengayuh basikal tua

Pengacara kecik molek Syarifah Nur juga tidak melepaskan peluang mencuba mengayuh basikal tua

Penulis dan Sdr. Sanim (NBT) menjadi "penasihat" dan mengetuai perarakan "basikal tua" di Sri Pentas

Membuat ulasan spontan bersama pengacara mengenai acara "pertandingan basikal lambat"

Di lokasi set pengambaran Nasi Lemak Kopi O yang santai dan relax...

Sdr. Sanim (NBT), Syarifah Nur, Adik Ayu Izzati, Sdr. Abu Talib dan penulis

Pose istimewa Syarifah Nur bersama Adik Ayu Izzati untuk tatapan semua pengunjung blog Basikal Malaya

Kunjungan ke Flea Market, Amcorp Mall mengimbau nostalgia silam


Pelbagai aneka barangan antik/jadul yang dijual di Flea Market, Amcorp Mall

Beberapa buah lampu karbait untuk basikal tua untuk jamuan mata sahaja...

Salam hormat buat semua sahabat BM. Pada hari Ahad yang lalu penulis dan Sdr. Sanim (Nostalgia Basikal Tua) sempat berkunjung ke pasar lambak/karat atau lebih dikenali sebagai Flea Market, Amcorp Mall yang terletak di No. 18 Jalan Barat, 46050 Petaling Jaya, Selangor untuk menjejak dan melihat barang-barang lama/jadul/antik. Flea Market, Amcorp Mall mula beroperasi sejak 1998 setiap hari Sabtu dan Ahad ini mengumpulkan puluhan peniaga-peniaga yang datang menjual pelbagai barangan tersebut.

Di sinilah penulis belajar dan mengenali dunia antik/jadul bersama-sama rakan-rakan. Kali pertama penulis menjejakkan kaki ke sini ialah pada tahun 2001 setelah 3 tahun ianya beroperasi. Masih teringat lagi kenangan dan nostalgia sewaktu menemui pelbagai jenis tin toys yang menjadi buruan penulis pada ketika itu. Harga sebuah tin toys di situ pada waktu itu sekitar RM8 – RM60 bergantung pada jenis dan buatannya. Selain itu pada tahun 2001 terdapat banyak barangan antik seperti botol, tin toys, signboard, porceline (pinggan mangkuk), pelita, rekod lama, jam tangan, jam dinding, dan pelbagai barangan dijual dengan harga yang sangat murah.

Enamle signboard cembung yang dijual pada harga RM7,000...murahkan?

Ada juga sahabat dari negara jiran datang mencari rezeki berniaga di Amcorp Mall

Berbekalkan RM100 ketika itu macam-macam yang boleh di bawa pulang. Tetapi setelah 10 tahun semuanya telah berubah. Tidak keterlaluan penulis katakan kebanyakkan barang yang dijual di Flea Market, Amcorp Mall tidak banyak berubah. Hanya yang berubah ialah harga yang ditawarkan. Kalau dahulu sebuah tin toys kereta buatan China dijual pada harga RM8 sekarang harganya melambung menjadi RM30 – RM50 begitu juga dengan signboard. Kalau dahulu signboard yang paling mahal pun harganya di bawah RM1000 sekarang ada yang mencecah RM7,000. Memang gila!.

Fenomena harga melambung ini adalah masalah sejagat bukan sahaja tertumpu pada sesuatu hobi tetapi semua hobi mengalami peningkatan/kenaikan harga yang mendadak kerana permintaannya yang tinggi dan sumbernya yang terhad. Ringkasnya lagi “rare” maksudnya lagi mahal…lagi cun hantarannya pun faham-faham sajalahkan. Bagi yang ada akal dan kepala otak ni kena gunakanlah sebaiknya. Penulis mendisiplinkan diri untuk membeli barangan yang betul-betul bernilai dan kondisinya pula masih baik dengan harga yang masuk akal.

Lampu Karbait Lucas Silverking yang ditawarkan dengan harga RM650...Sdr Sanim ketawa dalam hati kerana kat rumah dia ada 2 biji dalam kotak (NOS)

Untuk makluman speedometer Smiths...Sdr. Sanim dah berjaya selamatkan. Kalau datang sini tak payah carik lagi 🙂

Ada juga dikalangan peniaga-peniaga ni merasakan pembeli ni bodoh dan tak tahu menilai barang. Mereka silap! Akibatnya tulah yang kita boleh tengok barang mereka masih dipamerkan di atas meja atau berhabuk dikedai jadi hiasan kerana tiada yang sanggup mengeluarkan wang untuk membelinya. Kunjungan penulis kali ini bersama Sdr. Sanim banyak mengimbau kembali kenangan masing-masing sewaktu mencari barang-barang antik di sini. Walaupun senario pada 2011 jauh berbeza dengan tahun 2001 namun Flea Market, Amcorp Mall masih bertahan dan relaven menjadi pusat berkumpul/pertemuan peminat-peminat antik untuk mencari apa yang mereka hajati…pokoknya bawa saja uwang berjuta semuanya bisa dimiliki di sini.

Pada paparan kali ini penulis sempat merakamkan beberapa foto-foto menarik untuk dikongsikan kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan ke Amcorp Mall. Kepada yang berminat nak ke sini bolehlah menaiki pengangkutan awam iaitu dengan menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) dan berhenti di Stesen Taman Jaya kemudian berjalan kaki selama hanya beberapa minit sahaja. ..nak senang drive jer… Selamat menjamu mata – Basikal Malaya