Raleigh Roadster Nottingham 1913 (ukuran frame 28″) kondisi asli


Salam hormat buat semua pengunjung blog BM.
Di Malaysia, ukuran 28″ pada basikal tua seringkali merujuk kepada ukuran tayar tetapi istilah sebenarnya ukuran 28″ bagi kolektor dan peminat basikal seluruh dunia ianya merujuk kepada ukuran tinggi frame. Kebiasaannya basikal tua jantan/lelaki/gents jenis basikal kargo/roadster ukurannya adalah dari 22″, 24″, 26″ dan 28″. Secara umumnya basikal tua yang seringkali kita temui di Asia Tenggara dan di negara kita ialah dari ukuran 22″ dan 24″ kerana ia mengikut purata ketinggian pemiliknya manakala untuk ukuran tinggi 26″ dan 28″ adalah sangat jarang sekali ditemui. Disebabkan ukuran frame yang tinggi selalunya basikal ukuran 26″ dan 28″ ini dimiliki oleh orang-orang Inggeris/Eropah dan India/Punjabi/Pakistan yang datang ke Asia Tenggara. Untuk mengayuh basikal ukuran tinggi ini ketinggian seseorang itu haruslah mempunyai ketinggian melebihi 5′ 7″ ke atas.

Basikal Raleigh Gents Roadster ukuran 28" untuk lelaki tinggi melebihi 5'7" ke atas.

Baru-baru ini penulis telah menemui sebuah basikal 28″ jenis Raleigh Roadster yang dipercayai telah dikeluarkan pada tahun 1913. Melalui kajian penulis di laman blog Sheldon Brown (http://www.sheldonbrown.com/) iaitu seorang pakar rujukan basikal klasik Inggeris bertaraf dunia, basikal Raleigh ukuran 28” ini dipercayai telah dikeluarkan oleh syarikat Raleigh pada lewat tahun 1913 berdasarkan nombor pendaftaran (registration number) pada framenya iaitu 47xxxx (6 digit) yang dijual pada harga £5.19.6. Basikal ini menggunakan 3 speed (Tricoaster) iaitu trigger pistol dan rim tayar buatan khas Sturmey Archer Roadster Nottingham.

Speed Trigger pistol atau Tricoaster buatan Sturmey Archer disamping handle bar dan sistem brek dalam yang unik

Untuk kelajuan - 3 Speed buatan Strurmey Archer Nottingham digunakan syarikat Raleigh pada keluaran basikalnya

Tempat lampu berbentuk R (Raleigh) dan besi brek depan halus

Pastinya keunikan basikal Raleigh ukuran 28″ terletak pada ketinggian framenya. Bagi menguatkan dakwaan bahawa basikal ini keluaran 1913 (keluaran tua) lihat saja pada transfer merk yang ada pada frame dan peti rantainya. Selain daripada itu crank yang digunakan juga belum lagi menggunakan crank logo burung disamping pedalnya yang masih terukir tulisan Raleigh yang condong di tengah-tengah. Rantainya juga masih tertera tulisan Raleigh disamping memiliki handle bar dengan sistem brek dalam berbeza dengan sistem brek biasa yang besinya di luar. Di harapkan penerangan ringkas penulis ini dapat memberikan sedikit manfaat dan info berguna buat semua peminat basikal Raleigh di dalam memburu koleksi-koleksi yang unik dan berharga.

Penulis memohon maaf seandainya apa yang dipaparkan ini ada yang terkurang dan berharap kita semua dapat berkongsi ilmu untuk terus melestarikan hobi ini. Sesungguhnya kita saling melengkapi dan perlu-memerlukan. ..ibarat kita mengayuh basikal, semuanya harus seimbang untuk kita terus bergerak ke hadapan dan sampai ke destinasi tujuan. Semoga paparan ini berguna buat semua – Basikal Malaya (BM)

Brooks B28 buatan Great Britain spring pintal dan beg Brooks di palang

Ini padel champion untuk basikal yang betul-betul tua dan klasik, lihat saja tulisan Raleigh di tengah itu.

Jangan tak caya...rantai pun Raleigh tau...

Saksikan beberapa foto-foto menarik mengenai Raleigh Roadster ukuran frame 28″.

Advertisements

Basikal Malaya akan ke Jakarta menyertai KSI (Kongres Sepeda Indonesia) pada 16-18 Julai 2010


Poster KSI (Kongres Sepeda Indonesia 2010) yang mempromosikan acara terbesar dan terhebat untuk tahun 2010

Penulis mewakili Basikal Malaya (BM) dan Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB) akan menyertai Kongres Sepeda Indonesia yang akan berlangsung pada 16hb sehingga 18hb Julai 2010. Sebagai menyokong usaha Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) yang dibarisi oleh sahabat-sahabat yang telah hadir untuk Kayuhan 2 Negara (K2N) seperti Pak Dimas, Fahmi, Alex, Pak Chandra dan ramai lagi. Tidak sampai hati rasanya bagi penulis untuk menolak undangan menyertai KSI 2010 yang bakal berlangsung dengan penuh meriah. Penulis difahamkan acara KSI adalah acara yang terbesar pernah diadakan di Indonesia dengan menyajikan pelbagai acara hebat yang menarik dan unik selama 2 hari ia berlangsung. 

Prof Andyt juga akan menjadi Presenter untuk Klinik Sepeda pada KSI 2010

Kehadiran penulis ke KSI ialah untuk menimba pengalaman dan pengetahuan serta mahu belajar dari sahabat-sahabat basikal tua di sana untuk mengendali dan menjayakan acara yang lebih besar di peringkat nasional/antarabangsa. Penulis terpanggil untuk hadir menyaksikan perhimpunan 50,000 (lima puluh ribu) basikal di jalan raya berkayuh beramai-ramai dan bayangkan berapa banyak basikal tua pula akan hadir dengan pelbagai ragam dan pakaian unik. Selain itu acara KSI akan mempamerkan himpunan basikal-basikal yang benar-benar antik dan klasik serta unik dan pastinya penulis akan berpeluang meneliti dan dapat melihat sendiri basikal-basikal tersebut secara “live” (langsung).

Basikal tendem yang dikenali sebagai "Twin-Bike" juga akan dipamerkan

Twin-bike antara berpuluh basikal unik yang akan mengambil bahagian di KSI 2010

Justeru itu…nantikan update dan kemaskini blog Basikal Malaya sejurus penulis kembali ke tanahair membawa bahan-bahan paparan khas buat semua peminat-peminat basikal tua di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai KSI silalah ke blog Wiwinaked http://sepeda.wordpress.com/ – Basikal Malaya.

Bertemu “otai basikal” Ameng di Gunung Semanggol demi K2N


Penulis akhirnya bertemu Uncle Ameng "bomoh basikal" dari Gunung Semanggol, Perak

Penulis memberikan penerangan mengenai Acara K2N dan jemputan khas kepada Uncle Ameng

Cuti hujung minggu pada Sabtu & Ahad, 17hb & 18hb April 2010 dua minggu yang lalu penulis dan isteri sempat meluangkan masa bertemu Uncle Ameng dari Gunung Semanggol di kediamannya sewaktu bercuti dan menyampaikan jemputan K2N di Taiping, Perak. Bagi penulis, Uncle Ameng adalah antara nama besar dari utara yang “senior” dan “otai” di dalam hobi basikal tua di Malaysia kerana sangat arif dan pakar serta berpengalaman mengenai basikal tua di Malaysia. Uncle Ameng juga digelar “bomoh basikal” dan “Ameng Paku Belanda”  ternyata dikenali ramai peminat-peminat basikal tua dari utara. Beliau yang hidup menyara keluarganya dengan membuka kedai basikal sejak berumur 12 tahun membuktikan semangat dan jiwanya terhadap basikal tua masih kental dan membara. Penulis dapat merasakan bahang dan aura pengalaman beliau yang terpancar melalui setiap tutur kata dan bahasa beliau mengenai subjek yang diperkatakannya.

Penulis menyampaikan Cenderahati dan jemputan dari KBTBB kepada Uncle Ameng di kediamannya

Isteri penulis (Anne Acasia) bergambar bersama Uncle Ameng dan sangat tertarik dengan budi bahasa beliau

Memang benarlah kenyataan yang basikal tua tidak akan melunturkan semangat pencintanya. Uncle Ameng membuktikan semangat cintanya terhadap basikal tua …dan ironinya beliau masih “berjiwa muda” dan begitu entusiastik membawa penulis kembali menyelami nostalgia dan kenangannya mengenai basikal tua. Beliau yang meminati basikal “Penny Farthing” dan pelbagai basikal yang unik sempat menceritakan pelbagai perkara kepada penulis mengenai perjalanan hidup dan pahit manisnya menceburi bidang ini. Pasti sesiapa pun yang mendengar luahannya akan terkesan dan terinspirasi dengan bual bicaranya yang ceria dan mesra. Penulis sempat juga melontarkan beberapa idea dan pandangan kepada Uncle Ameng untuk bersama-sama berkongsikan pengetahuan dan pengalaman bukan sahaja buat beliau tetapi sahabat-sahabat yang lain.

Deretan frame basikal yang berjenama MG di dalam kedai Uncle Ameng semuanya NOS!

Berkongsikan pengalaman dan pengetahuan beliau mengenai "Penny Farthing"

Uncle Ameng masih menyimpan pelbagai jenis dan ukuran basikal tua sebagai koleksi peribadi

Sekalung penghargaan buat otai Taiping iaitu Cikgu Rusli kerana membantu mempertemukan penulis dengan Uncle Ameng… walaupun tidak dapat bertemu beliau (Cikgu Rusli) kerana beliau berada di Kuala Lumpur pada waktu itu, penulis dapat merasakan kehadiran penulis dan isteri disambut baik sahabat-sahabat di Taiping. Penulis sempat juga menghulurkan jemputan K2N buat Kelab Basikal Klasik Taiping  untuk menjemput Cikgu Rusli dan anak-anak buahnya turun ke Melaka. Selain itu penulis juga sempat bertemu Cikgu Zaidan iaitu Pengerusi Kelab Basikal Klasik Bonggol Pasir dan Ustaz Shariman dari Kelab Basikal Klasik Batu Gajah untuk turut bersama-sama hadir memeriah acara K2N yang bakal berlangsung pada 5 & 6 Jun nanti.

Gambar nostalgia klasik Uncle Ameng bersama isteri tersayangnya...

Penulis dan isteri sempat di bawa belanja makan tengahari di kedai makan oleh Uncle Ameng

Pemberian seorang sahabat basikal tua. Orang berbudi, kita berbahasa...orang memberi, kita merasa.

Insyaallah jika diizinkan Allah…Basikal Malaya akan kembali ke Taiping untuk bersama-sama bergabung dalam “projek kayuhan” seterusnya. Penulis dan isteri telahpun mengenal-pasti lokasi dan “route” (laluan) yang sesuai sewaktu 2 hari bercuti di sana. Niat dan  perancangan awal telahpun penulis usulkan kepada Cikgu Zaidan dan En. Hamdan (Pengerusi Belia – Taiping) mengenai rancangan yang bakal mencipta 1 lagi sejarah basikal tua di Taiping sebelum berakhirnya tahun 2010. Semoga silaturahim dan persahabatan yang tulus ikhlas akan membuahkan hasil dan memberi sinar harapan buat basikal tua di Malaysia di masa hadapan. – BM

Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) pencetus kebangkitan semula basikal tua di Malaysia


"Foto Caption" yang menghiasi ruangan utama akhbar Kosmo pada keluaran hari Isnin 15hb Februari 2010 yang boleh dilihat seluruh negara di muka surat 3.

Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai AKP2 pada keluaran Edisi Tengahnya yang bertarikh 16 Februari 2010 (Isnin) di muka surat 23 di ruangan Utusan Kota.

Akhbar Berita Harian juga tidak ketinggalan menyiarkan liputan mengenai AKP2 pada keluaran akhbarnya bertarikh 17hb Februari 2010 di ruangan Sentral di muka surat 2.

Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) 2010 anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB) yang telah berlangsung di Putrajaya pada Ahad, 14 Februari 2010 yang lalu – Ternyata cukup signifikan dan penuh simbolik bagi penulis dan isteri. Secara peribadi penulis melihat ianya sebagai 1 acara yang memberi petanda/signal yang positif bahawa komuniti basikal tua di Malaysia sudah mula bangkit dengan nafas baharu. Bagaikan tiupan simfoni melodi yang harmoni, peserta AKP2 yang datang dari 4 buah negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor, dan Perak bersatu dengan nada yang sama untuk mengalunkan misi dan matlamat mereka untuk terus berjuang melestarikan basikal tua di negara tercinta.

Berbekalkan semangat keberanian untuk berubah dan bersilaturahim, mereka hadir dengan rela hati memakai pakaian ala-ala 50-60an bersama basikal tua demi untuk mengembalikan nostalgia klasik di Putrajaya dengan menyertai AKP2. Mungkin ada yang tersenyum sinis dan tidak kurang juga ada yang sinikal apabila melihat gelagat 84 peserta berkumpul di Dataran Putrajaya berpakaian klasik tetapi itulah bukti cintanya mereka kepada basikal tua. Penulis dapat merasakan tiupan angin perubahan dan pembaharuan basikal tua di Malaysia sudah mula dapat dirasakan. Mungkin terlalu awal bagi penulis untuk meramalkan apakah yang akan berlaku kepada masa depan basikal tua menjelang kembalinya Acara Kayuhan Putrajaya Ke-3 pada tahun hadapan? Pastinya detik sejarah itu akan berulang kembali dengan tercetusnya idea Acara Kayuhan Putrajaya yang seterusnya.

84 peserta yang bersemangat waja bersiap sedia untuk memulakan Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 di hadapan Pejabat Perdana Menteri

Rombongan peserta bergerak dari Dataran Putra menuju ke Istana Keadilan tepat jam 2:45 petang

Penulis bersama-sama AJK KBTBB bertindak mengawasi penjalanan peserta dan menjadi juru pandu (marshall)

Di ruangan ini penulis ingin berkongsikan pengamatan dan analisis serta pengalaman sewaktu menjadi pengelola dan sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa (Ketua Projek) AKP2 pada 14hb Februari yang lalu khas untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat dan sesiapa yang membaca blog BM. Untuk itu selamat membaca dan fikir-fikirkan apa yang bakal penulis nyatakan…

Acara Kayuhan Putrajaya (AKP) – Idea spontan yang berani bermula di kedai kopi
Menurut Sdr. Jebat cetusan idea untuk merencana acara kayuhan di Putrajaya adalah idea yang datang sewaktu bersembang-sembang di kedai kopi sewaktu bertemu dengan sahabat-sahabat basikal tua di Batu Berendam pada penghujung 2008. Penulis yang baru mengenali Sdr. Jebat pada pertengahan tahun 2008 sangat terkejut apabila di jemput untuk menyertai Acara Kayuhan Putrajaya bersempena cuti Tahun Baru Cina pada tahun 2009 kerana menyangkakan ianya hanyalah gurauan. Tetapi sebenarnya cetusan idea dan impian dari kedai kopi itulah membawa KBTBB ke tahap yang ada pada hari ini. Bermula dari situ penulis telah jatuh hati dengan keberanian yang ditunjukkan KBTBB kerana ternyata mereka inginkan kelainan dan berani mencuba sesuatu yang baru. Apa yang penulis dapat perhatikan ialah KBTBB bukanlah jaguh kampung yang hanya melakukan aktiviti di sekitar Melaka tetapi telah berjaya membawa ahli-ahlinya keluar dari kepompong dan berkayuh ke Putrajaya.

AKP2 – Menarik minat penyertaan 84 peserta dari 4 negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor dan Perak
Berbekalkan kejayaan penganjuran Acara Kayuhan Putrajaya Pertama pada 2009 yang disertai kurang 30 peserta, KBTBB terus merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun tersebut dan telah muncul sebagai Kelab Basikal Tua yang bergerak paling aktif di Malaysia. Ironinya, Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 pada tahun ini (2010) pula penulis dapat melihat kematangan dan profesionalisme KBTBB untuk merealisasikan AKP2 sebagai acara tahunan di dalam kalendar aktiviti mereka. Kali ini seramai 84 peserta dari 4 buah negeri telah diwakili KBTBB, Rock 7, PECHAL, PSCB, KSTJB dan beberapa individu telah hadir ke AKP2, mereka telah mengejutkan penulis sewaktu sessi pendaftaran peserta kerana tidak menyangka sambutannya adalah diluar jangkaan. Walaupun acara ini bukanlah acara yang besar namun penyertaan pada AKP2 ini memberikan petanda baharu bahawa hobi basikal tua sebenarnya masih bernyawa dan lestari walaupun sudah ada komuniti dan kelab basikal tua yang tidak lagi aktif atau telah dibubarkan. Ternyata penganjuran AKP2 mempunyai aura tersendiri dan penulis berharap “magik” yang sama akan berlaku di tahun 2010 seperti yang dinikmati di tahun 2009.

Pengorbanan dan Keberanian luar biasa 84 peserta di AKP2
Tidak ramai pencinta basikal tua sanggup berkayuh sejauh 52 km semata-mata ingin menyertai acara kayuhan tetapi itulah yang dilakukan oleh Sdr. Fahmi, Sdr. Huzairi, Sdr. Saugi dan Sdr. Iwan yang memulakan kayuhan basikal tua bermula jam 6:50 pagi dari Sijangkang menuju ke Putrajaya. Mereka mengambil masa 3 jam untuk sampai ke Dataran, Putra semata-mata mahu membuktikkan kemampuan basikal tua kepada ahli-ahli Rock7 dan sahabat-sahabat yang hadir. Sdr. Karu yang mewakili KSTJB pula bertolak seawal jam 4:30 pagi dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur juga kerana AKP2. Tidak kurang hebatnya Pemilik Basikal Cha’ah – Labis (PECHAL) yang diwakili Abg Hamdan sekeluarga bersama Wak Tumirin sekeluarga, mereka bertolak seawal pagi jam 6 untuk ke Putrajaya. KBTBB yang hadir 1 bas bersama 2 lori juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai persiapan membawa sejumlah 40 orang peserta. Manakala Sdr. Along sekeluarga dari Port Klang yang kini mengelarkan gengnya sebagai Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB) telah hadir bersama geng-geng Rock7 sebelum bermulanya acara AKP2. Paling mengkagumkan kebanyakkan yang hadir kali ini membawa ahli keluarga masing-masing bersama untuk menemani mereka. Siapa kata hobi ini untuk peminatnya sahaja? di AKP2 penulis melihat ikatan kekeluargaan juga bertambah erat apabila peserta berkayuh bersama ahli keluarga masing-masing sebagai contoh Sdr. Hamdam, Sdr. Along, dan ramai lagi membawa ahli keluarga mereka berkayuh bersama. Tidak dilupakan pengorbanan Sdr. Sanim (NBT) yang telah sanggup terbang pulang dari Sabah semata-mata kerana ingin turut serta bersama di AKP2. Lebih penting daripada itu 84 peserta diuji dengan cabaran cuaca panas terik/kering 35 darjah selsius dengan memulakan acara kayuhan tepat jam 2:45 petang bagi menamatkan misi AKP2 sejauh 15km, bagi penulis…itulah pengorbanan dan keberainan yang paling luar biasa di AKP2!

Komuniti basikal tua mula berani mengekspresi diri
Penulis ingin memuji keberanian beberapa individu dan kelab kerana telah berani berubah dan berjaya keluar dari kepompong mereka untuk mencari kelainan. Komuniti basikal tua kini sudah berani menunjuk dan membuktikan bahawa hobi basikal tua kini bukanlah hobi yang statik dan hanya bersifat sebagai objek/subjek koleksi semata-mata. Kalau mengikut lumrah penciptaannya, basikal tua dicipta untuk dikayuh dan tidak hanya menjadi subjek kajian/simpanan yang akhirnya akan hilang bersama pemiliknya tanpa dikongsi. Walaupun kod/tema etika berpakaian masih baru diperkenalkan namun ada rasionalnya mengapa basikal tua itu harus ditampilkan bersama kod/tema pakaian klasik. Bagi penulis ianya sangat mudah, masyarakat kita sebenarnya lebih tertarik untuk melihat sesuatu yang unik, asli dan antik, justeru penampilan klasik bersama basikal tua dapat mengembali kenangan dan sejarah basikal tua secara terus/langsung. AKP2 menyaksikan pesertanya tampil bergaya dengan pakaian ala-ala 50-60an dan ternyata telah berjaya memukau pihak Media dan jurukamera untuk terus merakamkan pelbagai aksi dari pelbagai sudut pandang. Bagi yang kali pertama melihat pastinya mereka akan terus “curious” dan secara tidak langsung akan cuba untuk mengetahui tentang basikal tua.

Menemui “Formula” membentuk komuniti basikal tua yang sihat
Penulis hampir menemui formula untuk membentuk komuniti basikal tua yang sihat setelah menyertai beberapa acara kayuhan bersama KBTBB dan menyertai acara besar basikal tua di Indonesia. Formulanya ialah mewujudkan “KEHARMONIAN” di dalam kelab masing-masing. Apabila wujudkan keharmonian di situ pastinya akan wujud keamanan/perdamaian. Maksud Komuniti basikal tua yang sihat bagi penulis ialah sentiasa meletakkan kepentingan majoriti ahli-ahlinya mengatasi kepentingan individu. Individu yang menjadi komponen komuniti pula seharusnya berfikiran terbuka, rasional, matang, jujur/ikhlas dan meletakkan ego mereka itu bertempat. Pastinya yang muda menghormati yang tua dan yang tua juga seharusnya menghormati yang muda (seperti kehendak hukum alam yang saling perlu-memerlukan). Begitu jugalah di dalam melestarikan hobi basikal tua ini, kita sebenarnya saling perlu-memerlukan antara satu dengan yang lain. Tetapi cabarannya, bagaimana kita ingin mewujudkan KEHARMONIAN itu sekiranya kita tidak turut partisipasi (turut-serta) menyokong apa yang dilakukan untuk melestarikan hobi ini? Lebih parah lagi kalau nada dan alunan yang dimainkan pula tidak sehaluan…maka kekal lah hobi ini seperti yang telah berlaku sebelumnya. Statik dan tidak berkembang.

Basikal Tua di Malaysia memerlukan “Ejen Perubahan”
Pada pandangan penulis, kewujudan Kelab-kelab Basikal Tua yang aktif seperti KBTBB, GETUAS, KSTJB, dan sebagainya diperlukan sebagai “Ajen Perubahan” di dalam komuniti basikal tua. Menurut pendapat intelektual “Agen Perubahan” seharus mempunyai kelayakan yang sesuai, berpengalaman, dan kreatif, mempunyai kebolehan menyertai pelbagai situasi dan menggunakan empirisismerasional untuk menyelesaikan pelbagai masalah organisasi/komuniti. Faktor kelayakan seperti pengetahuan, pengalaman, nilai dan sikap “Agen Perubahan” itu sendiri akan mempengaruhi tanggapan dan cara mereka berinteraksi dengan ahli-ahli organisasi/komuniti. Kelayakan paling penting yang tidak boleh diketepikan oleh “Agen Perubahan” ialah kepercayaan dan kredibiliti yang membolehkan mereka mempengaruhi dan memujuk ahli-ahli komuniti menyertai mereka. Sudah tiba masanya kita memerlukan lebih banyak kelab-kelab dan kumpulan-kumpulan kecil yang ada di Malaysia sebagai “Ejen Perubahan” yang bertindak merancang dan memberi idea-idea baharu untuk diketengah dan digabungkan menjadi aktiviti/acara yang menyatukan komuniti basikal tua yang ada dengan lebih berkesan. Mungkin idea mengabungkan semua komuniti di bawah 1 bumbung terlalu awal tanpa mewujudkan terlebih dahulu lebih ramai/banyak “Agen Perubahan” seperti yang penulis maksudkan.

Kejayaan penganjuran AKP2 merupakan “passport” penting untuk ke peringkat seterusnya
Walaupun Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 telah berjaya dilaksanakan namun untuk terus “sustain” (mengekalkan) track record, KBTBB seharusnya menggandakan usaha mereka untuk terus konsistan melestarikan basikal tua di Malaysia dengan lebih aktif dan progresif. Kejayaan bermakna ini kini bukan sahaja untuk KBTBB tetapi perlu dikongsi bersama Rock 7, PECHAL, PSCB, dan KSTJB dan kesemua 84 peserta yang telah bersama-sama menjayakannya. Masih banyak lagi halangan yang perlu di lalui dan di hadapi sepanjang tahun 2010. Sewajarnya keyakinan dan kredibiliti yang diperolehi hasil daripada kejayaan AKP2 perlu digunakan sebagai “passport” penting untuk ke peringkat seterusnya. Semoga kerjasama dan silaturahim yang terbina di AKP2 akan dapat diperkukuh dan dikekalkan untuk bertemu di acara dan aktiviti yang seterusnya.

Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan penghargaan khas buat semua pihak Media iaitu Kosmo, Utusan, Berita Harian, Metro, dan New Strait Times. Jurugambar profesional iaitu En. Ariffin & kawan-kawan dan En. ShaifulR yang sudi merakamkan aktiviti AKP2 pada 14hb Februari yang lalu. Tidak lupa penghargaan khas buat Mr. GB, Mr. Karu, dan Sdr. Halim serta 84 peserta yang telah berkayuh dan semua yang terlibat menjayakan AKP2 2010. Kita doakan agar basikal tua di Malaysia terus hidup dan terus lestari. Hidoplah Basikal Tua di Bumi Malaya Merdeka! – BM

Pengalaman paling berharga di BLO 2010 bersama 2,000 pencinta sepeda tua Indonesia


Satu penghormatan buat Basikal Malaya (penulis) untuk menyatakan rasa bertuah dan berterima kasih di hadapan ribuan ontelis Indonesia

Wawa satu-satunya peserta wanita (ontelista) dari Malaysia yang turut serta memeriahkan acara BLO 2010

Penulis menyerahkan cenderamata dari Malaysia sebagai tanda persahabatan khas buat Bapak Walikota Jakarta Selatan

Walaupun acara Bandoeng Lautan Ontel (BLO) 2010 telah berlalu seminggu yang lalu namun memori indah, pengalaman, dan kesan acara BLO kepada penulis dan isteri masih segar diingatan. Memang benar kata orang “Tak kenal maka tak cinta/sayang”. Selama 7 hari mengutip pengalaman berada di Indonesia, kini yang tinggal hanyalah foto-foto dan catatan pengalaman serta memori indah untuk ditatapi dan dikongsikan bersama sahabat setia Basikal Malaya. Hingga detik ini kami berdua masih rindukan sahabat-sahabat di Jakarta terutamanya Pak Chandra, Bunda Sas, Alex, Iwan, Fahmi, Nurul, Yuli, Rya, Bian & A’ie. Tidak lupa buat Mama (ibu Pak Chandra) yang sentiasa tersenyum apabila bersua kami di rumahnya. Ikuti pengalaman penulis dan isteri pada paparan kali ini.  

Semuanya kerana gilakan Basikal Tua
Semua itu adalah kerana gilakan BASIKAL TUA (sepeda ontel). Kerana hobi basikal tua kami berpeluang mengenal lebih dekat budaya negara jiran kita Indonesia. Kerana basikal tua kami mempunyai ramai sahabat dan saudara. Kerana basikal tua 2 negara (Malaysia dan Indonesia) bersatu dan bersama-sama dalam 1 acara basikal. Penulis sememangnya tidak pernah termimpi dan terfikir bahawa hobi basikal tua dapat membawa kami berdua sejauh ini. Sebaliknya penulis telah menemui dan menyedari bahawa basikal tua (sepeda ontel) mempunyai elemen-elemen magic, unique, nostalgic, mysterious, humanity, universal, diversify, honesty dan curiosity. Itulah pengertian basikal tua pada kaca mata dan pemahaman penulis. BLO 2010 menyaksikan kegilaan pesertanya yang datang dari segenap pelusuk daerah dari Utara ke Selatan – Timur ke Barat Indonesia. Paling gila ialah ada peserta yang datang ke dari luar kota dan daerah mengayuh beratus-ratus batu untuk sampai ke Bandung semata-mata untuk menyertai acara BLO 2010.   

BLO 2010 acara untuk mengekspresikan diri dan identiti
BLO 2010 telah menjadi platform penting kepada penulis untuk bersilaturahim dan mengenali ramai tokoh-tokoh basikal tua dari seluruh pelusuk daerah di Indonesia. Mereka hadir dengan 1 Misi & Matlamat iaitu untuk menjayakan acara kayuhan BLO 2010. Penulis dapat perhatikan pertemuan antara ontelis Indonesia pada acara besar BLO 2010 digunakan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan tidak hanya bercerita tentang sejarah dan kehebatan basikal masing-masing tetapi lebih kepada silaturahim. Rata-rata yang datang hanya untuk berkayuh dan mengikuti acara yang telah dirancang oleh pihak penganjur. Mereka datang dengan pakaian (uniform) yang paling unik dan menyesuaikannya dengan identiti diri masing-masing. Paling penting mereka itu harus “gila” dan kelihatan seperti orang “bocor”. Bagi penulis acara besar seperti BLO 2010 adalah tempat yang paling sesuai untuk mengekspresikan diri dan memperkenalkan identiti komuniti basikal tua mengikut keunikan daerah masing-masing.   

Uniform Polis Diraja Malaysia dan “Dress” putih klasik ke acara BLO 2010
Penulis pula hadir dengan pakaian (uniform) Polis Diraja Malaysia yang penulis temui di dalam kotak kayu milik datuk Wawa yang telah tersimpan hampir 40 tahun. Itu yang mahal sebab dapat percuma. Alhamdulillah uniform tersebut ditemui dalam keadaan yang benar-benar asli (authentic) dengan material khaki yang masih elok dan kukuh. Dilengkapi dengan pelbagai lencana dan butang serta selempang biru penulis meyakinkan diri untuk memakainya pada acara BLO 2010. Bagi melengkapkan penampilan, Pak Chandra meminjamkan penulis aksesori tali pinggang bersama pistol supaya lebih kelihatan lebih realistik. Manakala pakaian Wawa, “dress” polos putih klasik yang dipakainya diperolehi daripada salah sebuah butik terkemuka di Kuala Lumpur. Potongan “dress” yang sederhana dengan material 100% cotton bercirikan rekabentuk Inggeris telah menjadi pilihan untuk dipakai pada BLO 2010. Wawa yang kelihatan ringkas dan selesa mengenakan “dress” putihnya ternyata kelihatan anggun dan sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera di BLO 2010. Alhamdulillah kod etika pakaian kami nampak “blend” dengan semua peserta yang hadir, paling penting pakaian yang dipakai itu tidak nampak “jelek”.   

Acara kayuhan di sekitar Bandung benar-benar seperti Lautan Ontel (Basikal)
Penulis ingin sekali lagi merakamkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada pihak penganjur BLO 2010 terutamanya kepada semua Panatia BLO 2010 dari Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng – West java kerana berjaya menguruskan lebih 2,000 peserta mengelilingi Bandung melalui Jalan Gatot Subroto, Jalan Asia Afrika, Jalan Naripan, Jalan Sumbawa, Jalan Aceh, Jalan LLRE Martadinata dan Jalan Laswi. Ini kali kedua kami mengikuti acara besar ontel di Indonesia dan ternyata BLO 2010 merupakan acara terbesar yang pernah kami sertai setakat ini. Bayangkan 2,000 buah basikal tua membanjiri jalan-jalan tersebut dan pastinya kordinasi pemandu arah serta “marshall” lalulintas memainkan peranan penting untuk melancarkan perjalanan kayuhan dan trafik kenderaan. Sepanjang perjalanan Wawa sering “diusik” dengan panggilan “Mano” (Manohara) dan ada yang memanggilnya “Angela”. Sdr. Alex pula kali pertama membawa anak kecilnya Rya berkayuh bersamanya diiringi isterinya Yuli. Walaupun jalan di sekitar bandung sedikit berbukit dan terganggu dengan laluan keretapi namun para peserta begitu santai dan gembira sekali berkayuh. Acara yang bermula jam 9.00 berakhir jam 11.00 pagi di tempat bermula iaitu di Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api di Jalan Laswi.  

Menjadi perwakilan dari Malaysia dan tumpuan Media
Setibanya di Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api di Jalan Laswi peserta dihiburkan dengan persembahan kreatif dan tradisional yang dikenali sebagai “sisingaan” dari Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng. Penulis sangat asyik dengan persembahan tersebut dan tidak dapat menahan diri untuk turut serta berjoget bersama ratusan ontelis dilapangan pentas utama. Sedang asyik menikmati persembahan, penulis diminta oleh Sek Jen KOSTI iaitu Sdr. Fahmi untuk mewakili Malaysia berucap di atas pentas utama selepas ucapan dari Walikota Jakarta Selatan, wakil Walikota Bandung dan Ketua Badan Narkotika Provinsi. Alhamdulillah penulis sempat menyampaikan beberapa mesej penting kepada ribuan ontelis yang hadir supaya meneruskan perjuangan melestarikan basikal tua dan bersama-sama bersatu seluruh Nusantara berbasikal tua untuk mengurangkan pemanasan global. Manakala Wawa rupa-rupanya telah dikerumuni oleh Stesen-stesen TV dan pihak Media untuk menemu-bualnya (interview) mengenai pengalamannya menyertai acara BLO 2010. Penulis sempat menyampaikan cenderamata khas buat semua VVIP yang hadir di pentas utama sebagai tanda persahabatan. Memang benar kata Mas Iwan kepada kami, “Kamu berdua akan jadi seleberiti nanti, bro”. Tetapi itu bukanlah tujuan sebenar kami ke BLO 2010 sebaliknya ialah untuk bersilaturahim dan memperkukuhkan hubungan ke dua negara.  

Mencontohi semangat kental dan setia kawan ontelis Indonesia
Sesuatu yang paling menyentuh jiwa penulis ialah melihat semangat kental yang ditunjukkan oleh ontelis Indonesia samada dikalangan peserta yang hadir dan juga Panatia (Ahli Jawatan Kuasa) acara BLO 2010. Peserta yang datang dari luar Bandung ada yang datang menaiki lori (truck), bas, kereta (mobil) dan kereta api (kereta) dari seluruh pelusuk Indonesia beratus-ratus batu menyokong acara basikal tua. Seperti yang penulis ceritakan, bagi yang kurang berkemampuan mereka hadir mengayuh basikal beratus-ratus batu jauhnya dikhabarkan ada seorang peserta meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan. Panatianya pula bersengkang mata dan mengerah tenaga untuk memastikan acara BLO 2010 berjalan lancar seperti yang direncanakan. Memang ternyata semangat setia kawan mereka memperlihatkan acara mereka tersusun dan mengikut program. KOSTI pula bertindak memantau acara BLO 2010 dengan menyalurkan khidmat nasihat pengurusan acara kepada Panatia yang terbabit. Sehari sebelum acara BLO 2010, Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api pula mula dipenuhi ramai ontelis yang menumpang tidur walaupun keadaan di situ kurang selesa. Bagi penjual barang-barang basikal pula ada yang tidur dilapangan terbuka dan ada yang digigit pacat. Itu semua tidak mematahkan semangat mereka dan ternyata itulah bukti semangat kental mereka. Ternyata masih banyak perkara yang perlu kita contohi dari sahabat-sahabat kita di Indonesia. 

Kemuncak acara BLO 2010
Sebelum berakhirnya acara BLO 2010 peserta yang hadir dihiburkan dengan persembahan nyayian di pentas utama dengan lagu-lagu dangdut dan lagu popular dari Malaysia seperti lagu Datuk Siti Nurhaliza. Ternyata ontelis Indonesia masih ada energi dan energetik apabila mendengar lagu-lagu yang dinyayikan dengan menari beramai-ramai di hadapan pentas utama. Sedang penulis berbual-bual bersama sahabat-sahabat ontel tiba-tiba kedengaran nama Wawa disebut naik ke atas pentas. “Ikhwan, Wawa sudah ada di atas pentas. Mereka minta Wawa nyayikan 1 lagu…” kata Alex. “Biar betul bro, Wawa tak pernah menyanyi tau!” kata penulis. Dari jauh penulis mendengar ontelis berteriak “Malaysia! Malaysia! Malaysia!”, akhirnya Wawa terpaksa menyanyikan sebuah lagu dangdut yang bertajuk “Yang Sedang-sedang”. Mujurlah ada back-up singer iaitu Bunda Sas dan penyanyi utama di atas pentas. Wawa sempat berkata kepada ontelis yang ada “Kalau lepas ini hujan…kamu jangan salahkan aku yaa”. Alhamdulillah persembahan Wawa sangat disenangi dan kelihatan semua ontelis bergoyang dan menari mengikut rentak muzik. Acara diakhiri dengan cabutan bertuah dan penyampaian cenderamata kepada semua wakil komuniti basikal tua. Paling best tidak lama selepas selesai acara penutup BLO 2010, hujan turun dengan lebat!.

SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT 165 FOTO TERPILIH SEWAKTU ACARA BLO 2010
Khas buat pembaca dan pengunjung Blog Basikal Malaya


Bahang BLO 2010 masih hangat di Malaysia


Ribuan ontelis Nusantara berkumpul di Bandung untuk acara BLO 2010

Penulis (di hadapan) bersama-sama sahabat-sahabat (Pak Chandra & Iwan) hadir memeriahkan acara BLO 2010 - Sumber foto dari Marry Titing

Wawa berada di tengah-tengah lautan basikal tua yang sedang mula bergerak memulakan acara kayuhan

Liputan acara BLO 2010 mendapat liputan meluas. Akhbar Kompas juga tidak ketinggalan merakamkan acara BLO 2010 pada keluaran 1hb Februari (Isnin) yang lalu.

Acara Bandoeng Laoetan Onthel 2010 yang ke-5 anjuran Paguyuban Sapedah Baheula – West Java di Bandung, Indonesia yang berlangsung pada 31hb Januari yang lalu merupakan salah satu acara basikal tua terbesar pernah diadakan di negara jiran kita Indonesia. Acara besar yang paling meriah dan sungguh hebat ini merupakan acara sulung terbesar sebagai pembuka tirai acara basikal (sepeda) tua pada tahun 2010 bersempena sambutan Ulang Tahun ke-200 Kota Bandung. Acara Bandoeng Laoetan Onthel (BLO) 2010 telah berjaya menyatu dan mengumpulkan lebih 2,000 ontelis dari seluruh pelusuk daerah Indonesia untuk hadir bersama-sama sebagai 1 komuniti basikal (sepeda) tua yang kental menyokong dan melestarikan basikal tua di tanahair mereka. Penulis dan isteri yang baru pulang ke Kuala Lumpur pada hari Rabu malam yang lalu masih lagi dapat merasakan kehangatan dan bahang dari penganjuran acara tersebut sehingga ke hari ini. 

Demi cinta kepada basikal (sepeda) tua, Penulis dan isteri (Wawa) mewakili Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) dan Basikal Malaya telah terbang ke Jakarta pada 28hb Januari yang lalu untuk hadir bersama-sama untuk menyertai acara BLO 2010. Kehadiran kami di lapangan terbang Soekarno Hatta telah disambut oleh Sdr. Alex sekeluarga dan Puan Nurul (Isteri Sdr. Iwan Hatta) bersama anak lelakinya Bian. Kami telah di bawa menginap ke rumah Pak Chandra dan Bunda Sas yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Jakarta iaitu di daerah Kuningan. Ternyata kehadiran kami berdua disambut dengan hati yang terbuka dan diterima sebagai tetamu istimewa Pak Chandra sekeluarga. 

Foto bersama sahabat-sahabat penulis. Dari kiri, Wong Cilik, Yuli & Rya, Alex, penulis, Pak Chandra, Bunda Sas, Iwan, Nurul dan Wawa di hadapan tempat penginapan di Bandung

Gandingan dua karektor unik iaitu Pak Soekarno dan Bung Hatta yang sering mewarnai acara-acara basikal tua di Indonesia

Pak Chandra yang penulis kenali hanya melalui foto-fotonya di blog Wiwinaked merupakan peminat basikal tua yang sering memakai pakaian Presiden Soekarno dan pasti akan bergandingan dengan Sdr. Iwan Hatta yang berpakaian seperti Bung Hatta. Gandingan dua karektor unik ini sering menjadi tumpuan pihak media dan sesiapa yang melihat mereka ketika berlangsungnya acara-acara kayuhan di Indonesia. Manakala Sdr. Iwan dan Nurul serta Bian penulis kenali mereka sejak tahun 2008 sewaktu kali pertama berkayuh ke Kota Lama Jakarta, dan yang terbaharu penulis temui mereka ketika lawatan mereka sekeluarga ke Malaysia pada 30hb Disember 2009 yang lalu di Kuala Lumpur. 

Ternyata kunjungan penulis dan isteri ke Indonesia kali ini telah disusun-rapi jadual dan programnya. Setiap hari kami sudah ada program yang perlu dilakukan termasuklah jadual makan dan minum. Pada tulisan kali ini penulis ingin memfokuskan mengenai acara BLO 2010 yang masih hangat diperkatakan di seluruh Indonesia dan Insyaallah akan menceritakan pengalaman sewaktu berkayuh di Bogor bersama Pak Is dan ahli-ahli kelab sepedanya pada 29hb Januari 2010 yang lalu. Pastinya penulis akan menceritakan lebih banyak pengalaman berbasikal (bersepeda) apabila bertemu rakan-rakan basikal tua pada 14hb Februari ini nanti di Putrajaya. Pastikan anda tidak ketinggalan berkayuh bersama penulis dan isteri. 

Kembali mengenai acara Bandoeng Laoetan Onthel (BLO) 2010. Penulis ringkaskan sebagai acara BLO 2010. Pada Sabtu, 30hb Januari 2010 iaitu sehari sebelum acara BLO 2010 penulis dan isteri menuju ke Bandung bersama Sdr. Alex, Sdr. Iwan, Yuli, Nurul, Bian, Rya tepat jam 12:30 tengahari dari Jakarta menaiki kereta (mobil) dan kami selamat tiba di Bandung jam 2:30 petang. Setibanya di Bandung kami dipandu arah oleh panatia (pengurus) acara untuk ke tempat berlangsungnya acara iaitu di di Pejabat (kantor) PUSDIKLAT Kereta api di Jalan Laswi. Semasa di dalam kenderaan, Sdr. Alex sempat mengusik penulis “Bro… kamu pasti berdebar-debar kan?” katanya. Penulis menjawab “Alah aku rasa biasa jer bro…” tapi dalam hati terdetik juga rasa ragu, takut-takut kehadiran kami berdua ini tidak disenangi oleh komuniti basikal tua di Indonesia. 

Sahabat lama penulis Sdr. Fahmi yang merupakan Sek Jen KOSTI yang sentiasa bekerja keras memastikan basikal tua di Indonesia terus lestari

Penulis bertemu Pak Is dari Bogor di acara BLO 2010 sambil ditemani Pak Chandra, Bunda Sas dan Nurul

Alhamdulillah…apabila menjejakkan kaki keluar dari kenderaan, wajah pertama yang penulis lihat ialah Sdr. Fahmi yang merupakan orang kuat KOSTI yang membantu melancarkan acara BLO 2010. Sdr. Fahmi yang kali terakhir penulis temui pada tahun 2008 sewaktu berkayuh di Jakarta kini merupakan Sek Jen KOSTI (Setiausaha Agung) yang sentiasa bekerja keras mengerakkan pelbagai aktiviti basikal tua seluruh Indonesia melalui KOSTI (Komunitas Sepeda Tua Indonesia). Penulis sempat meluangkan masa berbual bersama Sdr. Fahmi untuk mendapatkan pelbagai info mengenai acara BLO 2010. Penulis difahamkan bahawa acara rasmi BLO 2010 telahpun bermula pada jam 3:00 petang tersebut dengan pelbagai acara kesenian, hiburan, talkshow dan sebagainya. 

Kehadiran penulis dan isteri diperkenalkan oleh sahabat-sahabat KOSTI kepada ramai perwakilan Kelab-kelab basikal (sepeda) tua yang telah sampai di di Pejabat (kantor) PUSDIKLAT Kereta api seawal pagi lagi di sana. Kesempatan bertemu ramai perwakilan digunakan sebaiknya untuk mempromosikan KBTBB, Negeri Melaka, dan Malaysia. Ternyata dengan semangat setia-kawan (brotherhood) demi basikal (sepeda) tua membuktikan tiada halangan untuk kita bersama-sama bertukar-tukar pandangan malahan kehadiran kami berdua amat-amat dialu-alukan dan diterima dengan sebaiknya. Penulis berasa lega dan gembira kerana semua perwakilan yang penulis temui sangat teruja dan mesra menerima kehadiran kami berdua di acara BLO 2010

Bergambar bersama sahabat-sahabat basikal tua di hadapan Pusat Informasi KOSTI

Kehadiran Wawa di BLO 2010 mewakili negeri Melaka (KBTBB) dan Malaysia sentiasa disenangi oleh semua ontelis dan ontelista Indonesia

Penulis dan isteri juga berasa amat kagum dengan persediaan dan pengurusan acara untuk BLO 2010 di mana kalau di Malaysia acara-acara besar seperti ini diuruskan oleh pelbagai agensi Kerajaan dan Swasta tetapi di Bandung ianya diuruskan sendiri oleh Komuniti basikal tua dan disokong oleh beberapa syarikat seperti Gazelle, Syarikat Kereta api PERSERO, C59 (pembuat t-shirt), disamping KOSTI, Badan Narkotika Provinsi dan sebagainya. Penulis sempat mengirimkan SMS kepada Sdr. Sanim (NBT) yang berbunyi “Kalau kat Malaysia kalau kita kumpul 1 Malaysia punya Kelab Basikal pun belum tentu boleh buat mcm kat sini bro!”. Sdr. Sanim membalas dengan menulis “Apa taknya, kalau kat sini yang banyak cakap ramailah, yang buat kerja 1-2 orang jer. Mimpi jerlah bro”. 

Walau apapun rintangannya, tiada yang mustahil dilakukan. Penulis dan isteri yakin bahawa kita di Malaysia juga mampu untuk mengadakan acara-acara besar kalau dirancang teliti dan kalau kita sentiasa bersatu hati untuk mengejar impian. Bagi penulis banyak perkara yang harus kita pelajari dan kita contohi. Paling asas ialah semangat. Kekuatan yang ada pada Komuniti basikal di Indonesia ialah semangat kental mereka mengatasi pelbagai kesukaran dan halangan. Kita di sini dianugerahkan limpahan sumber darisegi infrastruktur prasarana terbaik dan sumber kewangan disamping sokongan dari pelbagai agensi Kerajaan dan pihak swasta tetapi sejauh manakah kita telah cuba memanipulasi sumber-sumber tersebut untuk mengadakan acara-acara basikal tua di Malaysia? 

Penulis tidak melepaskan peluang mencari barang-barang basikal tua yang paling "rare" untuk koleksi peribadi

Pada acara BLO 2010 lebih 20 peniaga menjual pelbagai barangan basikal tua. Dari part yang kecil sehingga ke sebuah basikal yang complete

Namun paling penting bagi penulis ialah mencari "sahabat" basikal tua lebih penting daripada mencari "barang". Nilai persahabatan itu lebih tinggi nilainya. Penulis bersama Sdr. Ricky bertukar idea dan pengalaman

Pada acara BLO 2010 pesertanya ada yang sanggup berkayuh beratus kilometer beramai-ramai kerana kekurangan dana untuk menyewa kenderaan. Sebagai contoh ada yang berkayuh dari Jakarta ke Bandung. Mereka mengunakan sumber yang terbatas dengan sebaiknya untuk hadir ke acara dan sanggup tidur di tempat berlangsungnya acara walaupun kurang selesa. Mereka hadir kerana mahu bersilaturahim dan menjayakan acara yang dirancang. Setiap aktiviti yang disusun dan dilakukan akan menjadi tumpuan peserta termasuklah di dalam dewan dan di luar lapangan terbuka. Penulis juga sempat meninjau jual-jualan spare-part basikal tua yang ada di sekitar tempat acara. Tenyata masih banyak barang-barang yang boleh diperolehi seperti crank, rantai, pum, padel, saddle, handle-bar, rim, aksesori dan sebagainya yang masih asli buatan England. Pelbagai spare-part dari jenama-jenama basikal seperti Phillips, BSA, Hercules, Rudge, Humber, Raleigh, Rambler, dan sebagainya terhidang untuk dibeli, hanya sediakan dana yang mencukupi untuk dipinang dan terus dibawa pulang. 

Bagi sesetengah peserta, acara besar seperti ini digunakan untuk mencari pelbagai barang-barang basikal dan ada yang mencari koleksi basikal tua yang paling rare (sukar) ditemui dengan harga yang amat berpatutan. Tetapi bagi penulis ada agenda besar yang perlu diterjemahkan dengan jelas iaitu hubungan silaturahim 2 negara antara Indonesia dan Malaysia yang seharus dipereratkan dengan jalinan kerjasama dan sokongan 2 hala untuk melestarikan basikal tua ke seluruh Nusantara termasuk Malaysia. Penulis berasa amat bangga apabila diberi kesempatan untuk berucap di hadapan ribuan yang hadir untuk menyatakan mesej penting iaitu agar komuniti basikal tua di Nusantara boleh bersatu demi basikal tua tanpa mengenal batas sempadan negara. 

Pada paparan bahagian kedua penulis akan memfokuskan khusus mengenai acara kayuhan BLO 2010 dan kesan faedah daripada acara tersebut untuk kita bawa bahangnya ke Malaysia untuk manfaat dan faedah bersama. Pastikan anda kembali untuk mengikuti paparan seterusnya – Basikal Malaya

Penemuan rim basikal 28″ garisan merah dan hitam (NOS) yang unik


Dunlop, BGH Lion dan Double Axe yang berjaya temui

Dunlop, BGH Lion dan Double Axe yang berjaya temui

Salam Ceria dan Sejahtera buat semua sahabat setia Basikal Malaya.
Bagai hilang kemarau setahun oleh hujan sehari rasanya apabila terlihat rim-rim yang masih disimpan oleh pemilik kedai basikal lama yang ditemui penulis pada hujung minggu yang lalu. Penulis yang dihubungi “tauke” kedai basikal yang terletak di lokasi “rahsia” ini meminta penulis datang ke kedainya dengan segera kerana menemui banyak rim-rim lama yang dahulu disimpan bapanya. Penulis tanpa membuang masa terus memandu ke lokasi berkenaan. Setibanya di sana penulis tidak menyangka pemilik kedai telah menemui rim lama jenis Dunlop garisan merah dan hitam serta rim Dunlop biasa ukuran 28″ stok lama yang masih belum digunakan – NOS (New Old Stock). 

Sebahagian penemuan rim line merah dan hitam

Sebahagian penemuan rim line merah dan hitam

Penulis ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana tidak menyangka akan menemui rim tersebut. Tauke bertanya kepada penulis “Encik…saya ada lagi ini macam punye rim…tapi bukan Dunlop tapi lain punya…mau kaaa?!”. Penulis menjawab “Rim apa ada….Tauke?!”. “Nanti aaaa…waa angkat kasi tunjuk sama luu…” jawab Tauke. Dipendekkan cerita… Tauke ke belakang stor lalu membawa keluar beberapa rim lama yang mempunyai garisan merah dan hitam di tengah-tengah. “Aduhhh…apek nie memang dahsyat!” kata penulis dalam hati setelah melihat beberapa pasang rim lama yang dikeluarkan dari simpanannya iaitu rim BGH Lion dan Double Axe disamping 2 jenis rim Dunlop ukuran 28″ (NOS).Setelah selesai negosiasi harga dengan Tauke kedai basikal, penulis bersetuju untuk membeli beberapa rim daripadanya bagi tujuan koleksi peribadi yang disimpan untuk tatapan generasi akan datang. Secara peribadi, penulis sebenarnya telah terpukau dengan kilauan dan keunikkan logo syarikat yang ditempa pada rim tersebut. Sebelum beredar pulang, Tauke kedai basikal tua tersebut menyatakan masih ada beberapa rim lama dari jenis lain yang masih lagi disimpan dan akan mencarinya untuk penulis pada kunjungan akan datang. 

Cop timbul BGH Lion yang unik dan mempersona

Cop timbul BGH Lion yang unik dan mempersona

Cop timbul "cap dua kapak" - Double Axe

Cop timbul "cap dua kapak" - Double Axe

Rim Dunlop garisan merah dan hitam

Rim Dunlop garisan merah dan hitam

Jesteru itu melalui paparan kali ini penulis ingin berkongsikan beberapa foto/gambar rim yang telah penulis temui hujung minggu lalu untuk dijadikan rujukkan dan perkongsian maklumat/info. Sehingga kini penulis masih lagi membuat kajian dan mendapatkan pelbagai info mengenai rim-rim tersebut. Sekiranya ada sahabat-sahabat yang mengetahui mengenai jenis-jenis rim yang dipaparkan, penulis mohon agar ianya dikongsikan bersama untuk rujukkan di masa hadapan.

Maklumat terkini-BGH Lion adalah sebuah syarikat basikal yang pernah beroperasi di Klang, Selangor pada zaman British di Tanah Melayu. Menurut maklumat seorang saksi – dahulu memang ada basikal jenis BGH Lion dan Double Axe di Tanah Melayu. Apa pula pendapat dan pandangan anda?