Kemunculan basikal antik Penny Farthing & Plectocycle (Tricycle) di Malaysia. Original atau reproduction?


Cerita mengenai kemunculan koleksi En. Lim yang mempunyai 2 buah basikal yang "rare" dan tertua menarik perhatian peminat-peminat basikal tua di Malaysia. Rencana tersebut disiarkan pada hari Ahad 4 Julai 2010 oleh akhbar Berita Minggu.

Salam Sejahtera buat semua sahabat-sahabat blog BM.
Penulis sebenarnya masih berdukacita dengan pemergian Nenda (Hjh. Alipah Bidin) yang penulis sayangi dan cintai pada 27hb Jun 2010 yang lalu. Lama juga penulis meninggalkan blog BM kerana masih belum mendapat “mood” untuk menulis kerana masih terkenangkan Nenda. Kunjungan ke Batu Berendam untuk mencari ketenangan dan bertemu sahabat-sahabat di KBTBB pada Ahad lalu rupa-rupanya ada cerita yang mahu dikongsikan mereka.

Penulis diminta membaca akhbar Berita Minggu pada hari Ahad 4 Julai 2010…penulis tersenyum dalam hati kerana sangat-sangat mengenali Mr. Lim & Irene (isterinya). Mereka berdua bukanlah pasangan yang asing dalam dunia antik kerana mereka menjual pelbagai barangan antik untuk menyara hidup mereka sekeluarga. Mr. Lim dan isterinya sering kelihatan di Amcorp Mall setiap Ahad menjual barang-barang antik di Flea Market.

Terkejut juga melihat foto Mr. Lim menaiki basikal Plectocycle (tricycle) kerana selama mengenalinya tidak pernah pula dia menceritakan minat dan hobinya kepada basikal antik. Menurut rencana di akhbar, beliau telah mula mengumpul sejak tahun 1973. Timbul satu pertanyaan di dalam kepala penulis…kalau benar Mr. Lim mengumpul sejak 1973 kenapa baru sekarang beliau menampilkan koleksinya?

Sedangkan hobi basikal tua hanya bermula sekitar tahun 1990an di Malaysia. Pastinya kemunculan 2 buah basikal ini memberikan pelbagai reaksi dan tanda tanya kepada ramai peminat basikal tua di Malaysia kerana dalam tempoh hampir 30 tahun basikal ini telah “disembunyikan” dan anehnya baru minggu lepas nama Mr. Lim disebut sebagai pemilik dan kolektor basikal tua. Penulis diajukan soalan samada koleksi basikal itu original atau reproduksi? Jawapannya…penulis hanya tersenyum dan diskusi mengenai koleksi Mr. Lim terhenti di situ.

Penulis mohon maaf kerana tidak mahu dianggap “skeptikal” dan “prejudis”…berdasarkan ilmu penulis yang rendah, tidak berpengetahuan, memiliki koleksi basikal “rojak”, dan baru setahun jagung…penulis serahkan penilaian dan komentar seterusnya kepada pembaca blog BM. Paling penting tujuan kita ialah untuk berkongsi ilmu dan menjadi komuniti yang berpengetahuan berpaksikan kebenaran.

 Ikuti tulisan rencana mengenai paparan yang penulis sajikan buat seluruh peminat dan pembaca yang setia. Sesungguhnya kita dianugerahkan tuhan akal dan fikiran untuk menilai sesuatu perkara dan mencari konklusinya – Basikal Malaya

 

Nostalgia Penny Farthing
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NostalgiaPennyFarthing/Article

Lim sanggup berhabis demi minat kumpul basikal roda besar

PENNY Farthing bukan nama orang, tetapi basikal roda besar yang pernah popular ketika zaman kolonial. Dicipta pada 1871 oleh jurutera British, James Starley, basikal yang mengambil inspirasi fizikal kuda itu kini menjadi sebahagian koleksi berharga pengumpul dan pencinta antik, Lim Cheng Hoe. Minat terhadap basikal era Victoria itu kata Lim, sudah lama dipupuk iaitu sejak 1973. Namun kerana sukar memperoleh stok baru, dia terpaksa berpuas hati dengan lima buah pengangkutan itu yang kini disimpan di stornya. “Penny Farthing (PF) pertama dibeli di United Kingdom (UK) kira-kira 30 tahun lalu. Pemilik asalnya iaitu seorang profesional pernah menggunakan basikal itu dalam satu persembahan Lord Majors di London pada tahun 1971,”katanya. 
Sejak memiliki basikal unik dengan ketinggian melangkaui kepala itu, kediaman Lim sering dikunjungi kenalan dan individu yang ingin menyaksikan sendiri rekaan luar biasa kenderaan antik itu. Malah, Lim berkata, dia pernah disapa orang lalu-lalang yang mengaku tertarik dengan reka bentuk pelik basikal muncul selepas penciptaan kenderaan kayuh Perancis, Hobbyhorse, Velocipede dan Boneshaker. “Namun, berbanding tiga basikal berkenaan, PF lebih stabil, cekap serta mesra pengguna kerana menawarkan roda getah,” ujarnya mengenai basikal mempunyai sepasang tayar berbeza saiz iaitu bahagian depannya dilengkapi roda dengan ukur lilit 52 inci manakala roda belakang dengan diameter 18 inci.

“Memandangkan basikal itu mengambil sebahagian besar ruang, saya tidak boleh mempamerkannya di tempat letak kereta tetapi perlu memperuntukkan sebuah stor khusus menyimpannya. Selama bertahun di situ, baru-baru ini dikeluarkan dari stor bagi dibersih dan digilap semula. Baru menyerlah estetikanya,” katanya yang mengaku tidak pernah cuba menunggang basikal tayar gergasi itu. “Saya gerun menunggangnya kerana tidak mahir mengimbang badan.
Secara jujur, selama berpuluh tahun memilikinya, saya cuma berani mendorongnya keluar serta masuk stor. Lagipun, basikal ini tidak dicipta dengan tongkat menyebabkan ia sukar diletakkan di sebarang tempat,” tambahnya.

Mengenai harga, Lim memberitahu nilai sebuah basikal dianggarkan boleh mencecah sehingga RM25,000 bergantung rekaan yang tidak mungkin ditemui lagi selain perlu berada dalam keadaan baik. “Dulu, saya memiliki lebih daripada lima buah basikal tetapi ada di antaranya sudah dibeli peminat barangan antik. Dalam sekian banyak, basikal roda tiga (tricycle) Victorian adalah koleksi paling disayangi. Begitupun, saya bersedia melepaskannya jika ada yang sanggup membeli dengan harga RM48,000,” ujarnya merujuk basikal antik roda tiga yang beroperasi dan dikawal pergerakannya dengan tangan itu.
Meskipun membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk basikal roda tiga Victorian, Lim tidak merasa ralat kerana sangat mengagumi struktur luar biasa kenderaan itu selain percaya, ia mampu menjanjikan pulangan lumayan pada masa depan. Biarpun berusia ratusan tahun dan sesetengah orang melabelkan antik sebagai barangan lusuh, Lim tetap tidak setuju jika penjagaannya dibuat sambil lewa sebaliknya pengumpul antik dinasihatkan memberi lebih perhatian terhadap penyelenggaraan serta penjagaan kemasannya.

“Seperkara perlu diingat, antik logam tidak boleh dibiar terdedah dalam cuaca panas dan lembap yang memungkinkannya menjadi karat. Itu sebabnya, saya pastikan semua koleksi basikal antik disimpan dalam rumah. Bagi memastikan keadaan logam sentiasa baik, saya kerap menyapu minyak serta menyemburnya dengan semburan anti karat,” katanya yang turut mengecat baru semua basikal antik berkenaan.

Perkembangan terkini, Lim ligat menemui kelompok pengumpul basikal antik sepertinya untuk saling berkongsi ilmu dan pandangan. Selain berazam menambah bilangan koleksi, dia bersedia menjual basikal antiknya sekiranya ditawarkan harga menarik. “Apa yang penting saya tidak berseorangan meneruskan hobi ini. Menerusi pertukaran maklumat dengan rakan sama minat, saya mampu memperkayakan lagi pengetahuan mengenai antik ini.

“Apapun, sesuatu yang saya belajar mengenai hobi ini ialah ia tidak membenarkan saya berputus asa. Apabila tidak dapat cari atau harga basikal antik ingin dibeli di luar kemampuan, saya tidak putus asa sebaliknya berusaha mencari jalan untuk mendapatkannya. Ini secara tidak langsung membentuk sifat sabar dalam diri,” katanya yang boleh dihubungi melalui email limch007@yahoo.com

Advertisements

Imbasan Majlis Makan Malam dan Perasmian Acara K2N pada 4hb Jun 2010


Simbolik Upacara Perasmian dengan membunyikan loceng basikal sebagai tanda bermulanya Acara K2N di Melaka

Salam Sejahtera dan Salam Rindu buat semua sahabat basikal tua Nusantara.
Pada paparan kali ini penulis ingin membawa imbasan peristiwa penting yang telah berlangsung pada Jumaat 4hb Jun 2010 yang lalu. Paparan ini penulis tujukan khas buat sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan hadir ke Majlis Makan Malam dan Perasmian Acara Kayuhan 2 Negara yang telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka 2 minggu yang lalu. Sementara itu… saksikan dahulu paparan foto-foto menarik yang telah diambil oleh Sdr. Mas Hariadi iaitu Jurugambar Rasmi Acara K2N.

Hari Pertama (Jumaat 4hb Jun 2010)

11:00 pagi
Penulis dan isteri menuju ke LCCT dari Melaka menaiki kereta manakala AJK K2N yang bertugas menyambut rombongan KOSTI menaiki 2 bas persiaran menuju ke sana.

1:30 tengahari
Kira-kira jam 1:30 tengahari, rombongan pertama KOSTI dari Jakarta tiba di LCCT dengan pesawat Air Asia diketuai oleh Mas Iwan manakala Mbak Nurul dan Bian (isteri dan anak Mas Iwan) sudah berada di LCCT menaiki pesawat Garuda yang telah tiba lebih awal dari rombongan pertama. Penulis dan isteri (Wawa) sempat menyambut kedatangan rombongan pertama di LCCT dan terpaksa meninggalkan Wawa untuk menunggu rombongan kedua yang dijangka tiba 1 jam setengah dari rombongan pertama.

3:00 petang
Kira-kira jam 3:00 petang  rombongan pertama KOSTI bertolak menuju ke Melaka dari LCCT menaiki bas persiaran. Penulis terus menuju pulang ke Melaka dari Kuala Lumpur setelah menyelesaikan beberapa urusan penting menaiki kereta. Manakala di LCCT Wawa (isteri penulis) bersama Mr. GB dan Tok Penghulu (Sdr. Midi) menunggu ketibaan rombongan kedua.

4:15 petang
Rombongan kedua KOSTI yang diketuai oleh Sdr. Alex dari Jakarta tiba di LCCT dan mereka telah disambut oleh Wawa, Mr. GB dan Tok Penghulu. Walaupun menghadapi sedikit kesulitan di LCCT akhirnya kesemua ahli-ahli rombongan menaiki bas menuju ke Melaka.

5:15 petang
Rombongan kedua menaiki bas menuju ke Melaka manakala Wawa dan Sdr. ALex terpaksa menunggu 2 peserta yang menghadapi masalah di dalam pusat pemeriksaan Kastam.

5:40 petang
Wawa dan Sdr. Alex bersama 2 peserta KOSTI telah berjaya menyelesaikan sedikit masalah yang dihadapi dan menuju ke Melaka menaiki Taxi Limo dan berjaya memintas rombongan kedua yang menaiki bas. Di Melaka rombongan pertama telah tiba di hotel penginapan dan bersiap-siap untuk ke Majlis Makan Malam.

7:30 petang
Di Quayside, Melaka semua persiapan terakhir telah berjaya dilaksanakan oleh AJK K2N. Manakala rombongan kedua KOSTI pula baru tiba ke hotel dari LCCT dan terpaksa bergegas bersiap untuk ke Quayside.

8:15 malam
Rombongan KOSTI dibawa menaiki beca menuju ke Quayside dari hotel penginapan. Tetamu jemputan dan rombongan KOSTI disambut oleh ahli-ahli KBTBB di hadapan pintu utama.

8:45 malam
Tepat jam 8:45 malam YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka tiba di Quayside, Melaka. Beliau telah disambut oleh barisan AJK K2N dan Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zulkifli Osman.

9:00 malam
Penulis selaku Ketua Projek K2N telah diberi penghormatan untuk menyampaikan Ucapan Alu-aluan mewakili perwakilan Malaysia memulakan Majlis. Dalam ucapan ringkas tersebut penulis sempat mengucapkan selamat datang kepada rombongan KOSTI ke Melaka dan merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, penaja serta semua yang terlibat menjayakan acara K2N. Selain itu penulis sempat juga “membakar” semangat tetamu yang hadir dengan beberapa fakta-fakta menarik.

9:15 malam
Pak Dimas selaku Ketua Umum Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) diberi penghormatan memberikan ucapan balas mewakili rombongan Indonesia pada malam tersebut. Dalam Ucapannya beliau menyatakan sambutan yang diterima KOSTI adalah sangat “luar biasa” dan berharap agar K2N akan mempereratkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

9:30 malam
YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DAR) menyampaikan ucaptama sekaligus merasmikan acara K2N. Antara intipati ucapannya ialah beliau berharap agar acara K2N ini bukanlah acara pertama dan terakhir sebaliknya harus diteruskan di masa hadapan. Selain daripada itu beliau berpesan agar kita harus “happy” kerana hidup ini hanyalah sementara disamping hidup dalam suasana keamanan dan bersatu padu.

9:45 malam
Acara diteruskan dengan Majlis Perasmian oleh YAB Ketua Menteri Melaka (DAR) bersama penulis dan VVIP yang lain membunyikan loceng basikal sebagai simbolik bermulanya acara K2N di Melaka. Selepas itu diikuti pula dengan Majlis penyampaian penghargaan kepada DAR dan pertukaran cenderamata antara KBTBB dengan KOSTI.

10:00 malam
Majlis Makan Malam diceria dan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari Quayside dengan mempersembahkan pelbagai tarian tradisional masyarakat di Malaysia sambil para tetamu menjamu selera dengan masakan menu yang enak.

10:30 malam
YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DAR) meninggalkan acara Majlis Makan Malam kerana harus bergegas menghadiri Majlis Rasmi seterusnya.

10:45 malam
Majlis diteruskan dengan tarian joget dan tetamu yang hadir dijemput berjoget bersama-sama di pentas utama. Ternyata tetamu yang hadir dapat merasai sendiri budaya masing-masing apabila adanya peluang menari dan berjoget bersama-sama.

11:00 malam
Rombongan KOSTI dan tetamu jemputan dijemput menaiki bot (river cruise) untuk menikmati pemandangan di waktu malam Sungai Melaka dan bandaraya Melaka. Pihak penganjur telah menyewa 2 buah bot bagi tujuan tersebut. Pastinya pengalaman menyusuri Sungai Melaka yang diterangi warna-warni lampu disepanjang sungai memberikan kenangan indah bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke Melaka.

11:45 malam
Majlis Bersurai dan Rombongan KOSTI pulang ke hotel ditemani ahli-ahli KBTBB – Maka tamatlah acara hari pertama dengan jayanya.

Acara K2N – Malaysia & Indonesia mencipta kejayaan dan menepati sasaran


Acara K2N menjadi platform penting penyatukan komuniti basikal tua di Malaysia dan Indonesia. Utusan Malaysia menyiarkan liputan acara K2N pada Isnin, 8hb Jun 2010 yang lalu.

Acara Kayuhan 2 Negara (K2N) yang telah berlangsung pada 4 – 6 Jun 2010 telah meninggalkan kesan yang mendalam bagi sebilangan besar peserta-peserta yang telah hadir dari seluruh Malaysia dan Indonesia. Acara yang telah dihadiri lebih 250 peserta itu pastinya telah memberikan 1001 semangat, lembaran, kenangan dan pengalaman baru bagi peserta-pesertanya. K2N telah menjadi platform yang penting mempertemukan 2 komuniti di dalam 1 acara besar yang telah berlangsung di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) hadir dengan lebih 60 peserta gabungan dari pelbagai daerah di Indonesia (Jakarta, Bogor, Palembang, Jogjakarta, Bekasi, Lampung, Cikarang, Makasar, Surabaya, Balik Papan, Depok, Indramayu, Depok, dan sebagainya) pastinya tidak akan dapat melupakan kenangan 3 hari 2 malam berada di Malaysia. Sekretariat K2N bersama KBTBB telah mengaturkan pelbagai program dan sessi lawatan khas buat KOSTI selama tempoh tersebut. Walaupun program yang diatur sangat padat dan memenatkan namun penulis pasti mereka sangat gembira, berpuas hati dan teruja.

Selama 3 hari 2 malam berada di Malaysia, peserta-peserta dari KOSTI telah diraikan dengan Majlis Makan Malam dan Acara Perasmian di Quayside, Melaka pada Jumaat, 4hb Jun 2010. Menariknya pada malam itu peserta-peserta dari KOSTI telah dijemput dari hotel menaiki beca yang dihiasi lampu dan berkonvoi menuju ke Quayside. Majlis Makan Malam tersebut telah dihadiri oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka sekaligus beliau telah merasmikan Acara K2N. Pada malam tersebut tetamu yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan tarian yang unik dan menarik dari negeri Melaka. Selesai makan malam mereka telah di bawa menyusuri Sungai Melaka menaiki bot untuk menikmati keindahan dan pemandangan di waktu malam.

Keesokkannya (Sabtu 5hb Jun 2010) peserta-peserta dari KOSTI telah dibawa mengayuh basikal tua ke Putrajaya mengelilingi tempat-tempat menarik seperti Masjid Putra, Istana Keadilan, Bangunan Perbadanan Putrajaya, Jambatan Seri Wawasan dan sebagainya sejauh 10km dan sessi lawatan ke Kuala Lumpur serta berkesempatan mengunjungi KLCC. Pulang dari sessi lawatan mereka telah diraikan dengan penuh meriah dengan paluan kompang dan bunga api dalam 1 lagi Majlis Makan Malam di Dewan Dun Ayer Keroh, Melaka Baru bersama pewakilan dan wakil-wakil kelab-kelab basikal tua dari seluruh Malaysia. Pertemuan di Melaka Baru telah mengeratkan persahabatan antara komuniti basika tua di Malaysia dan Indonesia melalui acara pertukaran cenderahati.

Tepat jam 11:30 malam peserta-peserta KOSTI dibawa berkonvoi mengayuh basikal dari Dewan Dun Ayer Keroh ke Bandar Melaka untuk sessi Teh Tarik. Konvoi tersebut telah diiringi Polis Trafik Cawangan Melaka Tengah. Acara kayuhan malam tersebut disertai lebih 100 peserta. Peserta-peserta KOSTI telah dijamu Teh Tarik dan roti canai oleh Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zulkifli Osman. Sebelum pukul 1:00 pagi peserta-peserta pulang ke Hotel menaiki basikal tua masing-masing. Sementara di Batu Berendam, lebih 100 peserta dari seluruh negara iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor Baharu dan Muar telah mula tiba untuk acara kemuncak pada keesokan harinya.

Ahad 6hb Jun 2010 merupakan hari penting bagi Sekretariat K2N kerana segala persiapan dan persediaan selama 6 bulan ini akan berakhir dengan acara kemuncak iaitu acara kayuhan beramai-ramai yang bermula di Menara Taming Sari Melaka sejauh 12km. Seawal 6:30 pagi kawasan letak kereta di hadapan Menara Taming Sari telah dipenuhi van dan lori peserta-peserta yang hadir membawa basikal tua masing-masing. Dimaklumkan bahawa peserta dari Klang, Selangor telah bertolak ke Melaka seawal jam 4:00 pagi semata-mata mahu menyertai Acara K2N.

Selain peserta dari Selangor ada juga peserta yang datang dari Labis dan Muar seawal 5:00 menuju ke Melaka. Tepat jam 8:30 pagi tempat letak kereta di hadapan Menara Taming Sari telah dibanjiri lebih 250 basikal tua untuk menunggu kehadiran YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka. Kira-kira jam 9:00 pagi YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam tiba di hadapan Menara dan ketibaan beliau telah disambut dengan tepukan gemuruh dan bunyi loceng basikal yang mengamatkan suasana. YAB Ketua Menteri diserbu dan peserta-peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama beliau.

Dalam ucapan ringkasnya beliau menyatakan “Melawat Melaka bererti Melawat Malaysia” dan secara peribadi beliau sangat-sangat gembira melihat ratusan basikal tua dan berharap agar acara seperti ini dapat diteruskan. Tepat 9:15pagi YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dengan rasminya menyempurnakan acara “flag-off” acara K2N. Turut hadir ialah Penaung KBTBB, Sdr. Zulkifli, penulis (Ketua Projek K2N), Ketua Pemuda UMNO Batu Berendam, Sdr. Ismail, Pengerusi KBTBB Sdr. Alias dan Naib Pengerusi KBTBB iaitu Sdr. Jebat.

Ikuti Laporan Acara Kayuhan 2 Negara pada laporan ke 2 yang akan dipaparkan.

SILA KLIK atau layari http://eventshutter.blogspot.com/ untuk melihat foto-foto menarik yang telah dirakam oleh Jurugambar Rasmi K2N.

Bertemu “otai basikal” Ameng di Gunung Semanggol demi K2N


Penulis akhirnya bertemu Uncle Ameng "bomoh basikal" dari Gunung Semanggol, Perak

Penulis memberikan penerangan mengenai Acara K2N dan jemputan khas kepada Uncle Ameng

Cuti hujung minggu pada Sabtu & Ahad, 17hb & 18hb April 2010 dua minggu yang lalu penulis dan isteri sempat meluangkan masa bertemu Uncle Ameng dari Gunung Semanggol di kediamannya sewaktu bercuti dan menyampaikan jemputan K2N di Taiping, Perak. Bagi penulis, Uncle Ameng adalah antara nama besar dari utara yang “senior” dan “otai” di dalam hobi basikal tua di Malaysia kerana sangat arif dan pakar serta berpengalaman mengenai basikal tua di Malaysia. Uncle Ameng juga digelar “bomoh basikal” dan “Ameng Paku Belanda”  ternyata dikenali ramai peminat-peminat basikal tua dari utara. Beliau yang hidup menyara keluarganya dengan membuka kedai basikal sejak berumur 12 tahun membuktikan semangat dan jiwanya terhadap basikal tua masih kental dan membara. Penulis dapat merasakan bahang dan aura pengalaman beliau yang terpancar melalui setiap tutur kata dan bahasa beliau mengenai subjek yang diperkatakannya.

Penulis menyampaikan Cenderahati dan jemputan dari KBTBB kepada Uncle Ameng di kediamannya

Isteri penulis (Anne Acasia) bergambar bersama Uncle Ameng dan sangat tertarik dengan budi bahasa beliau

Memang benarlah kenyataan yang basikal tua tidak akan melunturkan semangat pencintanya. Uncle Ameng membuktikan semangat cintanya terhadap basikal tua …dan ironinya beliau masih “berjiwa muda” dan begitu entusiastik membawa penulis kembali menyelami nostalgia dan kenangannya mengenai basikal tua. Beliau yang meminati basikal “Penny Farthing” dan pelbagai basikal yang unik sempat menceritakan pelbagai perkara kepada penulis mengenai perjalanan hidup dan pahit manisnya menceburi bidang ini. Pasti sesiapa pun yang mendengar luahannya akan terkesan dan terinspirasi dengan bual bicaranya yang ceria dan mesra. Penulis sempat juga melontarkan beberapa idea dan pandangan kepada Uncle Ameng untuk bersama-sama berkongsikan pengetahuan dan pengalaman bukan sahaja buat beliau tetapi sahabat-sahabat yang lain.

Deretan frame basikal yang berjenama MG di dalam kedai Uncle Ameng semuanya NOS!

Berkongsikan pengalaman dan pengetahuan beliau mengenai "Penny Farthing"

Uncle Ameng masih menyimpan pelbagai jenis dan ukuran basikal tua sebagai koleksi peribadi

Sekalung penghargaan buat otai Taiping iaitu Cikgu Rusli kerana membantu mempertemukan penulis dengan Uncle Ameng… walaupun tidak dapat bertemu beliau (Cikgu Rusli) kerana beliau berada di Kuala Lumpur pada waktu itu, penulis dapat merasakan kehadiran penulis dan isteri disambut baik sahabat-sahabat di Taiping. Penulis sempat juga menghulurkan jemputan K2N buat Kelab Basikal Klasik Taiping  untuk menjemput Cikgu Rusli dan anak-anak buahnya turun ke Melaka. Selain itu penulis juga sempat bertemu Cikgu Zaidan iaitu Pengerusi Kelab Basikal Klasik Bonggol Pasir dan Ustaz Shariman dari Kelab Basikal Klasik Batu Gajah untuk turut bersama-sama hadir memeriah acara K2N yang bakal berlangsung pada 5 & 6 Jun nanti.

Gambar nostalgia klasik Uncle Ameng bersama isteri tersayangnya...

Penulis dan isteri sempat di bawa belanja makan tengahari di kedai makan oleh Uncle Ameng

Pemberian seorang sahabat basikal tua. Orang berbudi, kita berbahasa...orang memberi, kita merasa.

Insyaallah jika diizinkan Allah…Basikal Malaya akan kembali ke Taiping untuk bersama-sama bergabung dalam “projek kayuhan” seterusnya. Penulis dan isteri telahpun mengenal-pasti lokasi dan “route” (laluan) yang sesuai sewaktu 2 hari bercuti di sana. Niat dan  perancangan awal telahpun penulis usulkan kepada Cikgu Zaidan dan En. Hamdan (Pengerusi Belia – Taiping) mengenai rancangan yang bakal mencipta 1 lagi sejarah basikal tua di Taiping sebelum berakhirnya tahun 2010. Semoga silaturahim dan persahabatan yang tulus ikhlas akan membuahkan hasil dan memberi sinar harapan buat basikal tua di Malaysia di masa hadapan. – BM

Basikal kecil ukuran 18″ kini digilai & diburu di Melaka


Griffin 18" berwarna merah dengan peti rantai dan mudgurd berwarna putih

Penulis bersama basikal kecil Griffin ukuran 18" milik Pengerusi KBTBB iaitu Abang Alias

Baru-baru ini penulis sempat turun ke Batu Berendam untuk memastikan persiapan K2N berjalan seperti yang direncanakan. Alhamdulillah persiapan K2N berjalan dengan lancar dan sangat-sangat memuaskan. Walaupun AJK K2N sibuk dengan tugasan masing-masing namun sebilangan ahli-ahli Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) masih terus memburu basikal-basikal tua untuk dijadikan koleksi masing-masing. Terbaharu mereka kini telah beralih arah mencari koleksi-koleksi yang lebih unik dan jarang ditemui. Mungkin kerana “terbakar” melihat beberapa ahli-ahli yang telah berjaya memiliki basikal ukuran kecil ini, maka ramai sahabat-sahabat di KBTBB telah bertekad memburu basikal kecil ini. Hasilnya di Melaka kini sudah ramai yang memiliki basikal kecil ukuran 18″ dan tidak hairanlah kalau ada pertandingan basikal ukuran 18″ (kategori basikal 24″) pula selepas ini. Penulis difahamkan ada 2 buah basikal ukuran 18″ sedang dibangunkan dan lebih 5 buah basikal telahpun berjaya diburu dan menjadi koleksi ahli-ahli KBTBB di Melaka.

Warna merah garang. Biarpun kecil tetapi unik dan sangat sukar ditemui dan diburu setiap peminatnya

Penulis bersama Raleigh Junior ukuran 18" milik Sdr. Rehan

Untuk makluman semua, basikal ukuran 18″ dikategorikan sebagai basikal Junior iaitu basikal khas untuk kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Boleh dikatakan kebanyakan jenama basikal yang popular seperti Raleigh, Hercules, BSA, Phillips, dan sebagainya mengeluarkan basikal bersaiz kecil ini. Apa pun bagi penulis, bukan semua orang di Malaya pada zaman dahulu bertuah untuk memiliki basikal kecil ini kalau bukan keluarganya dari orang-orang yang  “berada” dan berkemampuan. Justeru itu, pada paparan kali ini penulis sajikan 2 buah basikal milik ahli KBTBB iaitu milik Sdr. Rehan yang memiliki Raleigh Junior dan Abang Alias (Pengerusi KBTBB) yang memiliki Griffin Sport khas buat tatapan pengunjung dan peminat setia blog BM. Diharapkan paparan ini memberikan idea dan sedikit pengetahuan berguna bagaimana rupa dan keunikan basikal bersaiz Junior ini.

Acara Kayuhan 2 Negara menjanjikan sejuta harapan


Acara Kayuhan 2 Negara (K2N) antara Malaysia dan Indonesia telah mula dirancang pada penghujung tahun 2009 yang lalu. Idea asal acara K2N ini tercetus apabila wujudnya hubungan persahabatan yang rapat dan akrab di antara sahabat-sahabat basikal tua dari Malaysia dan Indonesia melalui siri-siri kunjungan dan lawatan balas kedua-dua negara. Motif utama acara K2N ini diadakan semata-mata mahu mempereratkan persahabatan dan menyatukan komuniti basikal tua yang ada dengan berkongsi pengalaman dan membuka lembaran baru sejarah basikal tua di Nusantara. Sesuai dengan temanya “Membakar Semangat Baru…Mempererat Persahabatan Serumpun” penulis berpendapat ianya sangat bertepatan dan sangat relevan dengan perkembangan semasa basikal tua di Nusantara. Semuanya itu bermula kerana “magik” basikal tua.

Apa yang dijanjikan pada acara K2N hanyalah sejuta harapan yang mengunung untuk melihat komuniti dan hobi basikal tua ini terus lestari dan menerangi kegelapan bagai obor yang terus menyala untuk generasi akan datang. Walaupun ada semangat yang telah terpadam namun bagi penulis kita semua harus bangkit berjuang dengan semangat baru dan berani melangkah setapak ke hadapan melakukan perubahan. Semuanya itu memerlukan keberanian, kesungguhan, kegigihan, pengorbanan dan usaha keras untuk merealisasikan semua harapan dan impian. Acara ini bukanlah acara kayuhan biasa tetapi acara yang penuh dengan warna-warni dan nostalgia yang sangat bermakna bagi pencinta dan pejuangnya. 

Ada baiknya kita merenung sejenak dan bertanyakan diri sendiri apakah sumbangan dan pengorbanan yang telah kita lakukan demi hobi yang kita cintai ini? Apa yang telah kita lakukan untuknya? Sejauh manakah kita telah berjaya memartabatkannya? Agak menyedihkan dan memilukan apabila ada di antara kita hanya menjadi pengumpul dan pencinta yang bermata tetapi tidak melihat…bertelinga tetapi tidak mendengar…bersuara tetapi tidak berkata…berjasad tetapi tidak bernyawa. Cukupkah kita hanya sekadar menjadi pemerhati dan penonton setia sepanjang hayat? Pilihan kini ditangan anda.

Seramai 55 orang peserta yang mewakili KOSTI telahpun mengesahkan kehadiran mereka menyertai acara K2N dan difahamkan ada lebih 30 orang lagi di dalam “waiting list” pengurusan KOSTI. KBTBB pula sangat optimistik untuk mengumpulkan lebih 150 peserta dari Malaysia untuk menyertai acara K2N di Melaka. Bagi penulis pula tidak mustahil acara K2N ini akan berjaya mengumpulkan sekurang-kurangnya 250 peserta sekali gus bakal mencipta Malaysia Book of Record sebagai acara kayuhan basikal tua terbesar yang pernah diadakan di Malaysia. Persoalannya adakah kita mampu, sanggup dan berani melakukannya?

Usaha yang digembleng sepenuh tenaga oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) bergandingan bersama Komuniti Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) seharusnya disokong oleh semua peminat dan pencinta basikal tua di Malaysia termasuk kelab-kelab basikal, kumpulan, individu dan sesiapa sahaja. KBTBB dan KOSTI yang kedua-duanya terkenal mempunyai kreadibiliti dan track record cemerlang pastinya akan memastikan acara K2N akan berlangsung dengan gilang-gemilang. Acara yang akan diadakan pada 5 & 6 Jun 2010 di negeri Melaka ini disokongan penuh oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan YAB Datuk Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka). Penulis juga berharap akan berlaku suatu “magik” dan kejutan di acara K2N 2010 buat semua yang hadir.

Walaupun acara K2N akan berlangsung kurang 2 bulan dari sekarang namun penulis sudah mula melihat dan merasa bahang kehangatannya dengan terpancarnya keceriaan dan senyuman yang berbunga-bunga pada wajah peserta-peserta acara K2N. Penulis ingin berkongsikan 10 perkara penting yang kita boleh lihat, dengar dan rasa (lalui) dengan acara berbasikal berdasarkan pengalaman dan pengamatan setelah menyertai pelbagai acara di dalam dan di luar negara. Antaranya ialah…

1.   Meluaskan kenalan, persahabatan & persaudaraan
2.   Menambah & berkongsi pengetahuan & pengalaman
3.   Melihat & mengkaji koleksi-koleksi basikal yang unik & pelbagai
4.   Merasai keseronokkan & kegembiraan berkayuh beramai-ramai
5.   Menghayati nostalgia  silam seolah-olah kembali ke zaman silam
6.   Menikmati keindahan alam & destinasi menarik & bersejarah
7.   Mendekati & memahami adat resam, cara hidup, budaya & warisan
8.   Memperoleh ketenangan minda & mengurangkan tekanan (stress)
9.   Memupuk rasa hormat-menghormati, merendah diri & sama taraf 
10. Menjadi insan yang bersemangat, berfikiran terbuka & mencintai alam sekitar

Masanya kini sudah tiba, jalan sudah terbentang luas, gendang sudah dipalu, tangan sudah dihulurkan, dan tetamu sudah dinanti… hanya menunggu kehadiran kita dan pesertanya untuk bersama-sama bersatu dan bergabung dengan semangat baru untuk menjayakan acara K2N yang membawa sejuta harapan. Penulis pasti bagi mereka yang hadir ke acara K2N pasti akan kembali pulang dengan semangat dan jiwa yang baru untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan terbaharu dan terkini untuk memajukan diri dan kelab basikal masing-masing. Kita harus buktikan bahawa kita bukan sekadar jaguh kampung. Penulis mengharapkan akan berlakunya “magik” dan sinar harapan baru terhadap perkembangan basikal tua di Malaysia dan Nusantara.

Dikesempatan ini Basikal Malaya ingin mengalu-alukan kedatangan 55 peserta K2N dari Indonesia sebagai tetamu istimewa dan tetamu Kerajaan Negeri Melaka ke bumi Malaysia iaitu…

  1. Bp.Abdul Rohim – KOBA Jakarta
  2. Bp. Eddy – KOBA Jakarta
  3. Ibu Cori Atmarani – KOBA Jakarta
  4. Bpk Chandra meizir – KOBA Jakarta
  5. Ibu Sastrawati – KOBA Jakarta
  6. Bp. Tomi Tamzid – ONCOM Bogor
  7. Ibu Madiah Amalia – ONCOM Bogor
  8. Bp. Palgunadi – Defoc Depok
  9. Bpk Dimas Kinasih – KOSTI Pusat
  10. Bpk. Bakri Tanjung – POL Lampung / Depok
  11. Ibu Melia Martini – POL Lampung / Depok
  12. Bp. Satori Mapasisi – PEDAL Indramayu
  13. Hanif  Hajjaj Miftah Fathan – PEDAL Indramayu
  14. Ibu Endang Sri Mulyani – Defoc – Depok
  15. Bp. Ary Hariadi – PAKKAR Sidoarjo
  16. Bp. Rendra hernawa – PASAK Kerawang
  17. Ibu. Heni setyowati – PASAK Kerawang.
  18. Bp. Didacus Sumarsidi. A – PODJOK Yogyakarta.
  19. Bp. Abdul Rokhim – POC  Bekasi
  20. Bp. Yudi Armada Diantomo – PAKKAR Sidoarjo
  21. Bp. Achmad Fajri – POC Bekasi
  22. Bp. Joko rinto – Country Tambun
  23. Bp. Muhamad Syafruddin – POCI Cikarang
  24. Bp. Andi Karim Beso – VOC Makassar
  25. Bp. Muchamad Bin Awod – Indramayu
  26. Niko Darmawiguna – Country Tambun
  27. Bp. Ilvan Pribudi – Jakarta
  28. Bp.Andi Sofyan  – OBAMA Balikpapan
  29. Bp. Zul Effendi – POL Lampung
  30. Bp.Asmanu Ali – PAKKAR  Sidoarjo
  31. Bp. Ibnu Ansyari Makkie – WASIAT  – Kal Sel
  32. Bp. Jaya Saputra – WASIAT  – Kal Sel
  33. Bp.Abdul Mukti – SABAN -Kal Sel
  34. Ibu. Mohamad Subhan – SABAN – Kalsel
  35. Bp. Zainal Abidin – KOBA – Jakarta
  36. Bp. Bambang – PAKKAR – Sidoarjo
  37. Bp.Yudha Dwi Laksono – PAKKAR  – Sidoarjo
  38. Bp.Trisno Suwito – PAKKAR Sidoarjo
  39. Bp. David P Hutajulu –  Jakarta
  40. Ibu Farida Angraeni –  Jakarta
  41. Bp. Supinal Anwar – WASIAT  Kalsel
  42. Bp. Suriansyah – WASIAT  Kalsel
  43. Fakhmi Khaerul Rizal – PEDAL Indramayu
  44. Bp.Helmi Setiawan – PEDAL Indramayu
  45. Bp. Achmad Basuki – HAYAMAS Kediri
  46. Bp.Basuki Eko Margono – HAYAMAS Kediri
  47. Bp.Sugeng Riyanto – HAYAMAS kediri
  48. Bp.Edi Santoso – HAYAMAS Kediri
  49. Bp. Nurul Fauzan Sukri – PODJOK Yogyakarta
  50. Bp.Haka Sariputta Tjong – KOBA Jakarta
  51. Sdr. Ichwan Alex Setiawan
  52. Sdr. Iwan Ikabara
  53. Sdr. Fahmi Saimima
  54. Puan Nurul
  55. Adik Biyan (anak Puan Nurul)

Tahniah kepada 55 peserta dari KOSTI… kerana telah menjadi wakil dari Indonesia dan kami di sini ingin mengucapkan “Selamat Datang” ke Malaysia dan ke negeri Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Kedatangan kalian ke sini sangat-sangat dinanti dan dialu-alukan.

Kepada sahabat-sahabat dari Malaysia… pastikan kita hadir…dengarkan kata hati…
Pertimbangkan keputusan anda…lihat dengan mata hati…
Yakinkan diri…

Jumpa anda di sana!

Ikhwan
Basikal Malaya
8hb April 2010

Basikal Roadster 18″ (Cap Ayam Jantan) keluaran B.G.H Trading Co. Limited


Frame 18" Roadster (Cap Ayam Jantan) yang ditemui pada Mac 2010 di dalam keadaan asal

Merk lambang "Ayam Jantan" Roadster - B.G.H. Trading Co. Limited

Simbol/lambang cap/cop “Ayam Jantan” sememangnya sangat-sangat sinonim dengan masyarakat Melayu semenjak 300 tahun yang lalu. Basikal cap/cop “Ayam Jantan” yang penulis temui pada awal bulan Mac 2010 ternyata membuktikan pengaruh dan kesannya amat tinggi kepada budaya masyarakat di Malaya sehingga ianya dijadikan merk (lambang) pada basikal. Bagi pengumpul dan pencinta barang lama/antik pastinya motif, corak, cap/cop dan bentuk “Ayam Jantan” mudah ditemui pada seterika lama, lukisan batik, mata wang lama, kacip sirih, hulu keris, pinggan / mangkuk, papan iklan lama, cemeni (cermin) pelita, dan setidak-tidaknya tabung berbentuk ayam. Ini terbukti apabila syarikat pengedar import Ban Guan Hin (B.G.H.) yang ditubuhkan pada 1952 menggunakan cap/cop “Ayam Jantan” pada keluaran basikalnya untuk dipasarkan di Malaya dan Singapura pada era 1950 – 1960an

Inilah hasilnya Roadster (NOS) ukuran frame 18" yang berjaya dibangunkan

Berdasarkan kajian penulis, penemuan basikal cap/cop “Ayam Jantan” menggunakan label (transfer merk) Roadster pada basikal tua bersaiz kecil (junior) ini amat jarang (langka/rare) ditemui di Malaya. Ditambahkan dengan keunikan ukuran frame 18″ tinggi (tayar bersaiz 24″) yang dikeluarkan/diperbuat oleh Roadster menjadikan basikal ini antara koleksi yang istimewa bagi penulis. Penulis yakin bahawa basikal ini telah diimport terus oleh B.G.H. dari England pada zaman kolonial (British) untuk pasaran di Tanah Melayu sebelum Merdeka. Berdasarkan penemuan beberapa spare-part Roadster ukuran frame 22″ (tayar bersaiz 28″)  di tempat yang sama, penulis yakin bahawa basikal yang diimport B.G.H. ini didatangkan dengan pelbagai ukuran saiz dan pelbagai jenis.

Roadster dari Malaya yang sangat langka (jarang) ditemui di Tanah Melayu

Kesimpulannya, sebagai pengumpul dan pencinta basikal tua, diharapkan penemuan basikal bersaiz kecil ini dapat mengimbau kembali sejarah silam disamping mengetahui kaitan pengaruh budaya tempatan terhadap keunikan simbol/lambang “Ayam Jantan”. Ternyata simbol/lambang tersebut telah mempengaruhi dan meninggalkan kesan signifikan kepada penghasilan kenderaan terawal ini di Tanah Melayu. Basikal tua bersaiz kecil ini penulis ibaratkan sebagai “time capsule” dan “fosil” paling berharga yang bakal merungkai pelbagai persoalan dan sejarah silamnya.  Untuk makluman, Syarikat B.G.H. masih wujud sehingga ke hari ini masih beroperasi di Klang, Selangor tetapi tidak lagi meneruskan perniagaan mengimport basikal dan pelbagai kenderaan. Untuk itu penulis biarkan ia sebagai salah satu koleksi yang penuh dengan “quriousity” (pelbagai tanda-tanya) untuk tatapan dan kajian generasi akan datang – Basikal Malaya.