Pengalaman berharga di KSI 2010 hari ke-2 : Part III


Iklan Klinik Sepeda Fongers dan Simplex bersama Prof. Andyt seperti yang di war-warkan di laman blog Wiwinaked pada acara di KSI

Salam Ramadhan dan Salam Aidilfitri buat semua sahabat BM,
Terlebih dahulu penulis ingin memohon maaf kerana terpaksa mengabaikan blog BM buat sementara waktu demi memenuhi tuntutan dan tugasan di pejabat disamping berehat untuk beramal di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Lebih dua bulan Kongress Sepeda Indonesia (KSI 2010) berlangsung namun penulis masih terasa kesan dan pengalaman sewaktu menghadirinya pada bulan Julai yang lalu. Manakan tidak, ramai sahabat-sahabat yang penulis temui sewaktu di KSI masih mengirimkan berita dan berkongsi pengalaman melalui FB (Facebook) penulis.

Pada bahagian terakhir hari ke-2 part ke III ini penulis ingin berkongsikan sedikit pengalaman menghadiri Klinik Sepeda sewaktu di KSI. Salah satu sebab utama mengapa penulis terbang ke Jakarta menyertai KSI ialah untuk menghadiri dan menyertai Klinik Sepeda seperti yang telah diwar-warkan di blog sahabat penulis iaitu di Wiwinaked (Wira-wiri). Ternyata kepakaran prof. Andyt di dalam mengupas dan mempersembahkan pengalaman serta penyelidikannya di dalam 2 jenama terkenal ini sememangnya sukar dipertikaikan. Bagi penulis beliau layak diiktiraf sebagai “ahli” atau “munshi” di dalam jenama Fongers dan Simplex dan kajiannya terhadap basikal tua bagi penulis bertaraf dunia.

Prof. Andyt begitu energatik berkongsikan pengalaman dan pengetahuannya di dalam memperincikan basikal jenis Fongers dan Simplex kepada penonton

Melalui Klinik Sepeda ini, Prof. Andyt berjaya membawa penonton dan peserta mengenali sejarah awal penciptaan basikal tua ini yang pada awalnya telah diadaptasikan daripada basikal ciptaan Inggeris iaitu dari jenama Sunbeam. Seperti yang kita sedia maklum basikal terbaik dunia seperti Sunbeam dijadikan rujukan untuk penghasilan dan merevolusi semula ciptaan kebanyakan basikal buatan Holland (Belanda). Jadi kepada pemilik-pemilik Sunbeam yang ada di Malaysia seharusnya kita menjaga khazanah berharga ini sebagai bahan rujukan terpenting suatu hari nanti.

Prof. Andyt menunjukkan ukuran sebenar frame basikal itu diukur dan menerangkan kedudukan no. siri pada frame

Pada pengamatan dan pemerhatian penulis, Prof. Andyt bukan sahaja memiliki pengetahuan yang luas melalui penyelidikan dan kajiannya tetapi memiliki kemahiran mengenali usia dan buatan Fongers dan Simplex yang asli dengan mudah melalui no. siri dan ukuran frame serta komponen. Selain daripada itu beliau juga mampu mengenali basikal tua yang telah direstorasi atau diubah komponennya disamping mengutarakan hujahan dan penerangan terperinci mengenai dua jenama yang dikajinya.

Penulis sempat mengabadikan kenangan dan tanda persahabatan dengan Prof. Andyt dengan berfoto di hadapan pentas utama.

Walaupun hanya sering melihat komentar Prof. Andyt di Wiwinaked dan bertemu di ruangan blog namun pertemuan empat mata bersama beliau di KSI sangat bermakna bagi penulis. Pertemuan kami bagaikan sudah lama mengenali satu dengan yang lain, begitulah uniknya persahabatan basikal tua dari dua negara yang berkongsi satu hobi yang unik.

Di sebelah petangnya, penulis sempat meluangkan masa untuk mendengar "talk-show: touring bike" mengenai perkongsian pengalaman sahabat-sahabat basikal mengembara di seluruh Indonesia menaiki basikal

Disebelah petang hari kedua, penulis sempat menyertai “talk-show” mengenai “touring-bike” bersama sahabat-sahabat yang pernah melalui pengalaman mengembara mengunakan basikal menjelajah bumi Indonesia sejauh beribu-ribu batu. Ada juga peserta yang mengembara ke luar negara untuk merasai pengalaman unik mengembara mengayuh basikal kerana cinta mendalam mereka kepada basikal. Penulis sempat mengutip sedikit pengalaman dan tips berguna untuk dikongsikan kepada sesiapa yang berminat untuk melakukan aktiviti kembara mengayuh basikal mereka di masa hadapan. Penulis akan kembali menyambung laporan KSI untuk bahagian terakhir iaitu hari ketiga selepas Aidilfitri nanti dengan pelbagai foto dan pengalaman menarik. Untuk itu penulis tinggalkan blog BM dan paparan ini sebagai bahan bacaan menjelang lebaran buat semua – Basikal Malaya

One Response

  1. ade x sebarang maklumat tentang basikal hopper…maklumat tentang sejarah ringkas, negara dibuat, jenis(saiz, jantan, betina dll), tahun pengeluaran, logo..

Leave a comment