Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) pencetus kebangkitan semula basikal tua di Malaysia


"Foto Caption" yang menghiasi ruangan utama akhbar Kosmo pada keluaran hari Isnin 15hb Februari 2010 yang boleh dilihat seluruh negara di muka surat 3.

Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai AKP2 pada keluaran Edisi Tengahnya yang bertarikh 16 Februari 2010 (Isnin) di muka surat 23 di ruangan Utusan Kota.

Akhbar Berita Harian juga tidak ketinggalan menyiarkan liputan mengenai AKP2 pada keluaran akhbarnya bertarikh 17hb Februari 2010 di ruangan Sentral di muka surat 2.

Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 (AKP2) 2010 anjuran Kelab Basikal Tua Batu Berendam, Melaka (KBTBB) yang telah berlangsung di Putrajaya pada Ahad, 14 Februari 2010 yang lalu – Ternyata cukup signifikan dan penuh simbolik bagi penulis dan isteri. Secara peribadi penulis melihat ianya sebagai 1 acara yang memberi petanda/signal yang positif bahawa komuniti basikal tua di Malaysia sudah mula bangkit dengan nafas baharu. Bagaikan tiupan simfoni melodi yang harmoni, peserta AKP2 yang datang dari 4 buah negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor, dan Perak bersatu dengan nada yang sama untuk mengalunkan misi dan matlamat mereka untuk terus berjuang melestarikan basikal tua di negara tercinta.

Berbekalkan semangat keberanian untuk berubah dan bersilaturahim, mereka hadir dengan rela hati memakai pakaian ala-ala 50-60an bersama basikal tua demi untuk mengembalikan nostalgia klasik di Putrajaya dengan menyertai AKP2. Mungkin ada yang tersenyum sinis dan tidak kurang juga ada yang sinikal apabila melihat gelagat 84 peserta berkumpul di Dataran Putrajaya berpakaian klasik tetapi itulah bukti cintanya mereka kepada basikal tua. Penulis dapat merasakan tiupan angin perubahan dan pembaharuan basikal tua di Malaysia sudah mula dapat dirasakan. Mungkin terlalu awal bagi penulis untuk meramalkan apakah yang akan berlaku kepada masa depan basikal tua menjelang kembalinya Acara Kayuhan Putrajaya Ke-3 pada tahun hadapan? Pastinya detik sejarah itu akan berulang kembali dengan tercetusnya idea Acara Kayuhan Putrajaya yang seterusnya.

84 peserta yang bersemangat waja bersiap sedia untuk memulakan Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 di hadapan Pejabat Perdana Menteri

Rombongan peserta bergerak dari Dataran Putra menuju ke Istana Keadilan tepat jam 2:45 petang

Penulis bersama-sama AJK KBTBB bertindak mengawasi penjalanan peserta dan menjadi juru pandu (marshall)

Di ruangan ini penulis ingin berkongsikan pengamatan dan analisis serta pengalaman sewaktu menjadi pengelola dan sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa (Ketua Projek) AKP2 pada 14hb Februari yang lalu khas untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat dan sesiapa yang membaca blog BM. Untuk itu selamat membaca dan fikir-fikirkan apa yang bakal penulis nyatakan…

Acara Kayuhan Putrajaya (AKP) – Idea spontan yang berani bermula di kedai kopi
Menurut Sdr. Jebat cetusan idea untuk merencana acara kayuhan di Putrajaya adalah idea yang datang sewaktu bersembang-sembang di kedai kopi sewaktu bertemu dengan sahabat-sahabat basikal tua di Batu Berendam pada penghujung 2008. Penulis yang baru mengenali Sdr. Jebat pada pertengahan tahun 2008 sangat terkejut apabila di jemput untuk menyertai Acara Kayuhan Putrajaya bersempena cuti Tahun Baru Cina pada tahun 2009 kerana menyangkakan ianya hanyalah gurauan. Tetapi sebenarnya cetusan idea dan impian dari kedai kopi itulah membawa KBTBB ke tahap yang ada pada hari ini. Bermula dari situ penulis telah jatuh hati dengan keberanian yang ditunjukkan KBTBB kerana ternyata mereka inginkan kelainan dan berani mencuba sesuatu yang baru. Apa yang penulis dapat perhatikan ialah KBTBB bukanlah jaguh kampung yang hanya melakukan aktiviti di sekitar Melaka tetapi telah berjaya membawa ahli-ahlinya keluar dari kepompong dan berkayuh ke Putrajaya.

AKP2 – Menarik minat penyertaan 84 peserta dari 4 negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor dan Perak
Berbekalkan kejayaan penganjuran Acara Kayuhan Putrajaya Pertama pada 2009 yang disertai kurang 30 peserta, KBTBB terus merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun tersebut dan telah muncul sebagai Kelab Basikal Tua yang bergerak paling aktif di Malaysia. Ironinya, Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 pada tahun ini (2010) pula penulis dapat melihat kematangan dan profesionalisme KBTBB untuk merealisasikan AKP2 sebagai acara tahunan di dalam kalendar aktiviti mereka. Kali ini seramai 84 peserta dari 4 buah negeri telah diwakili KBTBB, Rock 7, PECHAL, PSCB, KSTJB dan beberapa individu telah hadir ke AKP2, mereka telah mengejutkan penulis sewaktu sessi pendaftaran peserta kerana tidak menyangka sambutannya adalah diluar jangkaan. Walaupun acara ini bukanlah acara yang besar namun penyertaan pada AKP2 ini memberikan petanda baharu bahawa hobi basikal tua sebenarnya masih bernyawa dan lestari walaupun sudah ada komuniti dan kelab basikal tua yang tidak lagi aktif atau telah dibubarkan. Ternyata penganjuran AKP2 mempunyai aura tersendiri dan penulis berharap “magik” yang sama akan berlaku di tahun 2010 seperti yang dinikmati di tahun 2009.

Pengorbanan dan Keberanian luar biasa 84 peserta di AKP2
Tidak ramai pencinta basikal tua sanggup berkayuh sejauh 52 km semata-mata ingin menyertai acara kayuhan tetapi itulah yang dilakukan oleh Sdr. Fahmi, Sdr. Huzairi, Sdr. Saugi dan Sdr. Iwan yang memulakan kayuhan basikal tua bermula jam 6:50 pagi dari Sijangkang menuju ke Putrajaya. Mereka mengambil masa 3 jam untuk sampai ke Dataran, Putra semata-mata mahu membuktikkan kemampuan basikal tua kepada ahli-ahli Rock7 dan sahabat-sahabat yang hadir. Sdr. Karu yang mewakili KSTJB pula bertolak seawal jam 4:30 pagi dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur juga kerana AKP2. Tidak kurang hebatnya Pemilik Basikal Cha’ah – Labis (PECHAL) yang diwakili Abg Hamdan sekeluarga bersama Wak Tumirin sekeluarga, mereka bertolak seawal pagi jam 6 untuk ke Putrajaya. KBTBB yang hadir 1 bas bersama 2 lori juga tidak kurang hebatnya dengan pelbagai persiapan membawa sejumlah 40 orang peserta. Manakala Sdr. Along sekeluarga dari Port Klang yang kini mengelarkan gengnya sebagai Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB) telah hadir bersama geng-geng Rock7 sebelum bermulanya acara AKP2. Paling mengkagumkan kebanyakkan yang hadir kali ini membawa ahli keluarga masing-masing bersama untuk menemani mereka. Siapa kata hobi ini untuk peminatnya sahaja? di AKP2 penulis melihat ikatan kekeluargaan juga bertambah erat apabila peserta berkayuh bersama ahli keluarga masing-masing sebagai contoh Sdr. Hamdam, Sdr. Along, dan ramai lagi membawa ahli keluarga mereka berkayuh bersama. Tidak dilupakan pengorbanan Sdr. Sanim (NBT) yang telah sanggup terbang pulang dari Sabah semata-mata kerana ingin turut serta bersama di AKP2. Lebih penting daripada itu 84 peserta diuji dengan cabaran cuaca panas terik/kering 35 darjah selsius dengan memulakan acara kayuhan tepat jam 2:45 petang bagi menamatkan misi AKP2 sejauh 15km, bagi penulis…itulah pengorbanan dan keberainan yang paling luar biasa di AKP2!

Komuniti basikal tua mula berani mengekspresi diri
Penulis ingin memuji keberanian beberapa individu dan kelab kerana telah berani berubah dan berjaya keluar dari kepompong mereka untuk mencari kelainan. Komuniti basikal tua kini sudah berani menunjuk dan membuktikan bahawa hobi basikal tua kini bukanlah hobi yang statik dan hanya bersifat sebagai objek/subjek koleksi semata-mata. Kalau mengikut lumrah penciptaannya, basikal tua dicipta untuk dikayuh dan tidak hanya menjadi subjek kajian/simpanan yang akhirnya akan hilang bersama pemiliknya tanpa dikongsi. Walaupun kod/tema etika berpakaian masih baru diperkenalkan namun ada rasionalnya mengapa basikal tua itu harus ditampilkan bersama kod/tema pakaian klasik. Bagi penulis ianya sangat mudah, masyarakat kita sebenarnya lebih tertarik untuk melihat sesuatu yang unik, asli dan antik, justeru penampilan klasik bersama basikal tua dapat mengembali kenangan dan sejarah basikal tua secara terus/langsung. AKP2 menyaksikan pesertanya tampil bergaya dengan pakaian ala-ala 50-60an dan ternyata telah berjaya memukau pihak Media dan jurukamera untuk terus merakamkan pelbagai aksi dari pelbagai sudut pandang. Bagi yang kali pertama melihat pastinya mereka akan terus “curious” dan secara tidak langsung akan cuba untuk mengetahui tentang basikal tua.

Menemui “Formula” membentuk komuniti basikal tua yang sihat
Penulis hampir menemui formula untuk membentuk komuniti basikal tua yang sihat setelah menyertai beberapa acara kayuhan bersama KBTBB dan menyertai acara besar basikal tua di Indonesia. Formulanya ialah mewujudkan “KEHARMONIAN” di dalam kelab masing-masing. Apabila wujudkan keharmonian di situ pastinya akan wujud keamanan/perdamaian. Maksud Komuniti basikal tua yang sihat bagi penulis ialah sentiasa meletakkan kepentingan majoriti ahli-ahlinya mengatasi kepentingan individu. Individu yang menjadi komponen komuniti pula seharusnya berfikiran terbuka, rasional, matang, jujur/ikhlas dan meletakkan ego mereka itu bertempat. Pastinya yang muda menghormati yang tua dan yang tua juga seharusnya menghormati yang muda (seperti kehendak hukum alam yang saling perlu-memerlukan). Begitu jugalah di dalam melestarikan hobi basikal tua ini, kita sebenarnya saling perlu-memerlukan antara satu dengan yang lain. Tetapi cabarannya, bagaimana kita ingin mewujudkan KEHARMONIAN itu sekiranya kita tidak turut partisipasi (turut-serta) menyokong apa yang dilakukan untuk melestarikan hobi ini? Lebih parah lagi kalau nada dan alunan yang dimainkan pula tidak sehaluan…maka kekal lah hobi ini seperti yang telah berlaku sebelumnya. Statik dan tidak berkembang.

Basikal Tua di Malaysia memerlukan “Ejen Perubahan”
Pada pandangan penulis, kewujudan Kelab-kelab Basikal Tua yang aktif seperti KBTBB, GETUAS, KSTJB, dan sebagainya diperlukan sebagai “Ajen Perubahan” di dalam komuniti basikal tua. Menurut pendapat intelektual “Agen Perubahan” seharus mempunyai kelayakan yang sesuai, berpengalaman, dan kreatif, mempunyai kebolehan menyertai pelbagai situasi dan menggunakan empirisismerasional untuk menyelesaikan pelbagai masalah organisasi/komuniti. Faktor kelayakan seperti pengetahuan, pengalaman, nilai dan sikap “Agen Perubahan” itu sendiri akan mempengaruhi tanggapan dan cara mereka berinteraksi dengan ahli-ahli organisasi/komuniti. Kelayakan paling penting yang tidak boleh diketepikan oleh “Agen Perubahan” ialah kepercayaan dan kredibiliti yang membolehkan mereka mempengaruhi dan memujuk ahli-ahli komuniti menyertai mereka. Sudah tiba masanya kita memerlukan lebih banyak kelab-kelab dan kumpulan-kumpulan kecil yang ada di Malaysia sebagai “Ejen Perubahan” yang bertindak merancang dan memberi idea-idea baharu untuk diketengah dan digabungkan menjadi aktiviti/acara yang menyatukan komuniti basikal tua yang ada dengan lebih berkesan. Mungkin idea mengabungkan semua komuniti di bawah 1 bumbung terlalu awal tanpa mewujudkan terlebih dahulu lebih ramai/banyak “Agen Perubahan” seperti yang penulis maksudkan.

Kejayaan penganjuran AKP2 merupakan “passport” penting untuk ke peringkat seterusnya
Walaupun Acara Kayuhan Putrajaya Ke-2 telah berjaya dilaksanakan namun untuk terus “sustain” (mengekalkan) track record, KBTBB seharusnya menggandakan usaha mereka untuk terus konsistan melestarikan basikal tua di Malaysia dengan lebih aktif dan progresif. Kejayaan bermakna ini kini bukan sahaja untuk KBTBB tetapi perlu dikongsi bersama Rock 7, PECHAL, PSCB, dan KSTJB dan kesemua 84 peserta yang telah bersama-sama menjayakannya. Masih banyak lagi halangan yang perlu di lalui dan di hadapi sepanjang tahun 2010. Sewajarnya keyakinan dan kredibiliti yang diperolehi hasil daripada kejayaan AKP2 perlu digunakan sebagai “passport” penting untuk ke peringkat seterusnya. Semoga kerjasama dan silaturahim yang terbina di AKP2 akan dapat diperkukuh dan dikekalkan untuk bertemu di acara dan aktiviti yang seterusnya.

Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan penghargaan khas buat semua pihak Media iaitu Kosmo, Utusan, Berita Harian, Metro, dan New Strait Times. Jurugambar profesional iaitu En. Ariffin & kawan-kawan dan En. ShaifulR yang sudi merakamkan aktiviti AKP2 pada 14hb Februari yang lalu. Tidak lupa penghargaan khas buat Mr. GB, Mr. Karu, dan Sdr. Halim serta 84 peserta yang telah berkayuh dan semua yang terlibat menjayakan AKP2 2010. Kita doakan agar basikal tua di Malaysia terus hidup dan terus lestari. Hidoplah Basikal Tua di Bumi Malaya Merdeka! – BM

7 Responses

  1. mantap…..😀

  2. Tahniah.. Makin matang rencana kami bersua di Putrajaya.. Indonesia Oldbike community will come…

  3. Sepeda tua bisa……sampai jumpa pada kayuhan 2 negara

  4. Wong Cilik,
    Terima kasih bro. Jemput datang nanti ke Malaysia…aku bawa kamu pusing2 Putrajaya dan KLCC (Twin Tower).

    Kang Sekjen,
    Alhamdulillah..dari hari ke hari basikal tua semakin diminati di Malaysia. Kami nanti kehadiran sahabat2 dari Indonesia Jun nanti🙂

    Alex,
    Betul…basikal tua boleh…orang tua boleh…orang muda pun boleh…itulah laungan keramat di Putrajaya tempoh hari bro. 84 yang hadir memang bersemangat tinggi bro.

  5. Nah ini dia betul yang diceritakan penulis bahawa per ontelan / kayuhan bisa saja disertai dengan pernik pernik sepeda maupun baju si pengayuh yang senantiasa serasi dengan model kayuhan jaman dulu…semangat basikal tua….Hidoplah Basikal Tua di Bumi Malaya Merdeka!

  6. Semoga Nostalgia Basikal Tua terus bersinar di hati sanubari setiap pemiliknya yang pernah merasai zaman kegemilangannya. Tahniah BM dan buat semua yang menyertai dan akan menyertai program yang sihat seperti ini.

    Lestarikan Nostalgia Warisan Silam.

  7. selamat dan sukses acaranya salam kenal dari podjok jogja

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: