Pengalaman paling berharga di BLO 2010 bersama 2,000 pencinta sepeda tua Indonesia


Satu penghormatan buat Basikal Malaya (penulis) untuk menyatakan rasa bertuah dan berterima kasih di hadapan ribuan ontelis Indonesia

Wawa satu-satunya peserta wanita (ontelista) dari Malaysia yang turut serta memeriahkan acara BLO 2010

Penulis menyerahkan cenderamata dari Malaysia sebagai tanda persahabatan khas buat Bapak Walikota Jakarta Selatan

Walaupun acara Bandoeng Lautan Ontel (BLO) 2010 telah berlalu seminggu yang lalu namun memori indah, pengalaman, dan kesan acara BLO kepada penulis dan isteri masih segar diingatan. Memang benar kata orang “Tak kenal maka tak cinta/sayang”. Selama 7 hari mengutip pengalaman berada di Indonesia, kini yang tinggal hanyalah foto-foto dan catatan pengalaman serta memori indah untuk ditatapi dan dikongsikan bersama sahabat setia Basikal Malaya. Hingga detik ini kami berdua masih rindukan sahabat-sahabat di Jakarta terutamanya Pak Chandra, Bunda Sas, Alex, Iwan, Fahmi, Nurul, Yuli, Rya, Bian & A’ie. Tidak lupa buat Mama (ibu Pak Chandra) yang sentiasa tersenyum apabila bersua kami di rumahnya. Ikuti pengalaman penulis dan isteri pada paparan kali ini.  

Semuanya kerana gilakan Basikal Tua
Semua itu adalah kerana gilakan BASIKAL TUA (sepeda ontel). Kerana hobi basikal tua kami berpeluang mengenal lebih dekat budaya negara jiran kita Indonesia. Kerana basikal tua kami mempunyai ramai sahabat dan saudara. Kerana basikal tua 2 negara (Malaysia dan Indonesia) bersatu dan bersama-sama dalam 1 acara basikal. Penulis sememangnya tidak pernah termimpi dan terfikir bahawa hobi basikal tua dapat membawa kami berdua sejauh ini. Sebaliknya penulis telah menemui dan menyedari bahawa basikal tua (sepeda ontel) mempunyai elemen-elemen magic, unique, nostalgic, mysterious, humanity, universal, diversify, honesty dan curiosity. Itulah pengertian basikal tua pada kaca mata dan pemahaman penulis. BLO 2010 menyaksikan kegilaan pesertanya yang datang dari segenap pelusuk daerah dari Utara ke Selatan – Timur ke Barat Indonesia. Paling gila ialah ada peserta yang datang ke dari luar kota dan daerah mengayuh beratus-ratus batu untuk sampai ke Bandung semata-mata untuk menyertai acara BLO 2010.   

BLO 2010 acara untuk mengekspresikan diri dan identiti
BLO 2010 telah menjadi platform penting kepada penulis untuk bersilaturahim dan mengenali ramai tokoh-tokoh basikal tua dari seluruh pelusuk daerah di Indonesia. Mereka hadir dengan 1 Misi & Matlamat iaitu untuk menjayakan acara kayuhan BLO 2010. Penulis dapat perhatikan pertemuan antara ontelis Indonesia pada acara besar BLO 2010 digunakan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan tidak hanya bercerita tentang sejarah dan kehebatan basikal masing-masing tetapi lebih kepada silaturahim. Rata-rata yang datang hanya untuk berkayuh dan mengikuti acara yang telah dirancang oleh pihak penganjur. Mereka datang dengan pakaian (uniform) yang paling unik dan menyesuaikannya dengan identiti diri masing-masing. Paling penting mereka itu harus “gila” dan kelihatan seperti orang “bocor”. Bagi penulis acara besar seperti BLO 2010 adalah tempat yang paling sesuai untuk mengekspresikan diri dan memperkenalkan identiti komuniti basikal tua mengikut keunikan daerah masing-masing.   

Uniform Polis Diraja Malaysia dan “Dress” putih klasik ke acara BLO 2010
Penulis pula hadir dengan pakaian (uniform) Polis Diraja Malaysia yang penulis temui di dalam kotak kayu milik datuk Wawa yang telah tersimpan hampir 40 tahun. Itu yang mahal sebab dapat percuma. Alhamdulillah uniform tersebut ditemui dalam keadaan yang benar-benar asli (authentic) dengan material khaki yang masih elok dan kukuh. Dilengkapi dengan pelbagai lencana dan butang serta selempang biru penulis meyakinkan diri untuk memakainya pada acara BLO 2010. Bagi melengkapkan penampilan, Pak Chandra meminjamkan penulis aksesori tali pinggang bersama pistol supaya lebih kelihatan lebih realistik. Manakala pakaian Wawa, “dress” polos putih klasik yang dipakainya diperolehi daripada salah sebuah butik terkemuka di Kuala Lumpur. Potongan “dress” yang sederhana dengan material 100% cotton bercirikan rekabentuk Inggeris telah menjadi pilihan untuk dipakai pada BLO 2010. Wawa yang kelihatan ringkas dan selesa mengenakan “dress” putihnya ternyata kelihatan anggun dan sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera di BLO 2010. Alhamdulillah kod etika pakaian kami nampak “blend” dengan semua peserta yang hadir, paling penting pakaian yang dipakai itu tidak nampak “jelek”.   

Acara kayuhan di sekitar Bandung benar-benar seperti Lautan Ontel (Basikal)
Penulis ingin sekali lagi merakamkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada pihak penganjur BLO 2010 terutamanya kepada semua Panatia BLO 2010 dari Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng – West java kerana berjaya menguruskan lebih 2,000 peserta mengelilingi Bandung melalui Jalan Gatot Subroto, Jalan Asia Afrika, Jalan Naripan, Jalan Sumbawa, Jalan Aceh, Jalan LLRE Martadinata dan Jalan Laswi. Ini kali kedua kami mengikuti acara besar ontel di Indonesia dan ternyata BLO 2010 merupakan acara terbesar yang pernah kami sertai setakat ini. Bayangkan 2,000 buah basikal tua membanjiri jalan-jalan tersebut dan pastinya kordinasi pemandu arah serta “marshall” lalulintas memainkan peranan penting untuk melancarkan perjalanan kayuhan dan trafik kenderaan. Sepanjang perjalanan Wawa sering “diusik” dengan panggilan “Mano” (Manohara) dan ada yang memanggilnya “Angela”. Sdr. Alex pula kali pertama membawa anak kecilnya Rya berkayuh bersamanya diiringi isterinya Yuli. Walaupun jalan di sekitar bandung sedikit berbukit dan terganggu dengan laluan keretapi namun para peserta begitu santai dan gembira sekali berkayuh. Acara yang bermula jam 9.00 berakhir jam 11.00 pagi di tempat bermula iaitu di Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api di Jalan Laswi.  

Menjadi perwakilan dari Malaysia dan tumpuan Media
Setibanya di Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api di Jalan Laswi peserta dihiburkan dengan persembahan kreatif dan tradisional yang dikenali sebagai “sisingaan” dari Paguyuban Sapedah Baheula Bandoeng. Penulis sangat asyik dengan persembahan tersebut dan tidak dapat menahan diri untuk turut serta berjoget bersama ratusan ontelis dilapangan pentas utama. Sedang asyik menikmati persembahan, penulis diminta oleh Sek Jen KOSTI iaitu Sdr. Fahmi untuk mewakili Malaysia berucap di atas pentas utama selepas ucapan dari Walikota Jakarta Selatan, wakil Walikota Bandung dan Ketua Badan Narkotika Provinsi. Alhamdulillah penulis sempat menyampaikan beberapa mesej penting kepada ribuan ontelis yang hadir supaya meneruskan perjuangan melestarikan basikal tua dan bersama-sama bersatu seluruh Nusantara berbasikal tua untuk mengurangkan pemanasan global. Manakala Wawa rupa-rupanya telah dikerumuni oleh Stesen-stesen TV dan pihak Media untuk menemu-bualnya (interview) mengenai pengalamannya menyertai acara BLO 2010. Penulis sempat menyampaikan cenderamata khas buat semua VVIP yang hadir di pentas utama sebagai tanda persahabatan. Memang benar kata Mas Iwan kepada kami, “Kamu berdua akan jadi seleberiti nanti, bro”. Tetapi itu bukanlah tujuan sebenar kami ke BLO 2010 sebaliknya ialah untuk bersilaturahim dan memperkukuhkan hubungan ke dua negara.  

Mencontohi semangat kental dan setia kawan ontelis Indonesia
Sesuatu yang paling menyentuh jiwa penulis ialah melihat semangat kental yang ditunjukkan oleh ontelis Indonesia samada dikalangan peserta yang hadir dan juga Panatia (Ahli Jawatan Kuasa) acara BLO 2010. Peserta yang datang dari luar Bandung ada yang datang menaiki lori (truck), bas, kereta (mobil) dan kereta api (kereta) dari seluruh pelusuk Indonesia beratus-ratus batu menyokong acara basikal tua. Seperti yang penulis ceritakan, bagi yang kurang berkemampuan mereka hadir mengayuh basikal beratus-ratus batu jauhnya dikhabarkan ada seorang peserta meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan. Panatianya pula bersengkang mata dan mengerah tenaga untuk memastikan acara BLO 2010 berjalan lancar seperti yang direncanakan. Memang ternyata semangat setia kawan mereka memperlihatkan acara mereka tersusun dan mengikut program. KOSTI pula bertindak memantau acara BLO 2010 dengan menyalurkan khidmat nasihat pengurusan acara kepada Panatia yang terbabit. Sehari sebelum acara BLO 2010, Ibu Pejabat (Kantor) PUSDIKLAT Kereta Api pula mula dipenuhi ramai ontelis yang menumpang tidur walaupun keadaan di situ kurang selesa. Bagi penjual barang-barang basikal pula ada yang tidur dilapangan terbuka dan ada yang digigit pacat. Itu semua tidak mematahkan semangat mereka dan ternyata itulah bukti semangat kental mereka. Ternyata masih banyak perkara yang perlu kita contohi dari sahabat-sahabat kita di Indonesia. 

Kemuncak acara BLO 2010
Sebelum berakhirnya acara BLO 2010 peserta yang hadir dihiburkan dengan persembahan nyayian di pentas utama dengan lagu-lagu dangdut dan lagu popular dari Malaysia seperti lagu Datuk Siti Nurhaliza. Ternyata ontelis Indonesia masih ada energi dan energetik apabila mendengar lagu-lagu yang dinyayikan dengan menari beramai-ramai di hadapan pentas utama. Sedang penulis berbual-bual bersama sahabat-sahabat ontel tiba-tiba kedengaran nama Wawa disebut naik ke atas pentas. “Ikhwan, Wawa sudah ada di atas pentas. Mereka minta Wawa nyayikan 1 lagu…” kata Alex. “Biar betul bro, Wawa tak pernah menyanyi tau!” kata penulis. Dari jauh penulis mendengar ontelis berteriak “Malaysia! Malaysia! Malaysia!”, akhirnya Wawa terpaksa menyanyikan sebuah lagu dangdut yang bertajuk “Yang Sedang-sedang”. Mujurlah ada back-up singer iaitu Bunda Sas dan penyanyi utama di atas pentas. Wawa sempat berkata kepada ontelis yang ada “Kalau lepas ini hujan…kamu jangan salahkan aku yaa”. Alhamdulillah persembahan Wawa sangat disenangi dan kelihatan semua ontelis bergoyang dan menari mengikut rentak muzik. Acara diakhiri dengan cabutan bertuah dan penyampaian cenderamata kepada semua wakil komuniti basikal tua. Paling best tidak lama selepas selesai acara penutup BLO 2010, hujan turun dengan lebat!.

SILA KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT 165 FOTO TERPILIH SEWAKTU ACARA BLO 2010
Khas buat pembaca dan pengunjung Blog Basikal Malaya


12 Responses

  1. Hanya satu kata bro…AKCHOYYYYYYY…..

  2. Asyik juga lihat gambar gambar yang ditayangkan penulis..memang acara Ontel ini tidak ada habisnya…kita semua senang dengan kedatangan abang Ikhwan dan kakak Azwa mewakili KBTBB. Maju dan kayuh terus basikal tua antara dua negara.

  3. “Teruk benar Kak Ros…betul..betul..betul…” (versi Upin & Ipin) Thanks for joining BLO 2010, May God bless you, brother!

  4. Salam sejahtera buat semua peminat Basikal Tua!!

    Sebagai salah seorang peminat hobi ini Wawa sentiasa sangat teruja untuk terus bersama-sama Ikhwan membangun dan terus memulihara hobi yang unik ini. Memang benar kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Cinta yang pada awalnya terhadap barang-barang antik akhirnya ya telah menemukan kami berdua kepada hobi yang sangat istimewa dan sihat ini. Terima Kasih Wawa ucapkan buat semua Onthelis/onthelista yang menyambut kehadiran kami dengan tangan terbuka dan keikhlasan. Terima kasih yang tak terhingga buat sahabat yang sentiasa bersama-sama kami iaitu Alex sekeluarga, Mas Iwan/nurul Sekeluarga, Pak Chandra/Bunda Sas Sekeluarga dan tidak dilupakan Fahmi, Mega, Pak Edi dan rakan-rakan yang lain. budi baik kalian tidak akan Wawa lupakan dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

    Pengalaman yang kami lalui dan alami semasa berada di sana adalah sesuatu yang sangat berharga. Buat suamiku ikhwan semoga terus bersemangat dalam melestarikan hobi ini.

  5. Perkenalkan saya HELMI dari ontelis PKMB MAJALAYA KAB. BANDUNG. Mudah2an acara teresebut dapat terulang kembali…kami sangat berharap Basikal Malaya untuk datang kembali ke Indonesia khususnya BANDUNG.

  6. Alex,
    Terima kasih atas kebaikkan kamu sekeluarga bro. Kunjungan ke Jakarta yang paling memorable bagi kami berdua. Memang achoooooyyy !

    Pak Chandra,
    Kami juga amat senang dan bertuah dapat bersilaturahim dan mengenali Pak Chandra sekeluarga. Walaupun baru kenal, kita sudah bagaikan 1 keluarga dan layanan yang diberikan adalah yang terbaik. Terlalu banyak perkara baru yang kami pelajari. Kami sangat-sangat terhutang budi kepada bapak, Bunda Sas dan Mama selama kami di rumah bapak. Insyaallah saya akan buat yang terbaik untuk membangun dan memajukan basikal tua di Malaysia.

    Lintang Kumukus,
    Memang ramai yang meminati Upin & Ipin di Indonesia ya? Insyaallah Basikal Malaya akan kembali ke Indonesia untuk acara ontel yang akan datang. Acara BLO 2010 sememangnya mantap & sukses. Kami senang sekali turut serta & akan datang kembali ke Bandung pada BLO 2011. Terima kasih kerana mengunjungi blog Basikal Malaya.

    Anne (isteriku),
    Perjuangan ini akan tetap diteruskan selagi terdaya. Terima kasih atas sokongan Anne.

    Helmi (PKMB Majalaya),
    Salam perkenalan juga dari kami di blog Basikal Malaya (Ikhwan & Wawa). Insyaallah jika diizin dan dipermudahkan kami akan kembali ke Bandung untuk menyertai acara di sana. Kami juga akan pastikan akan hadir untuk acara BLO 2011 pula. Semoga silaturahim antara ontelis Indonesia & Malaysia terus erat dan terus kukuh.

  7. Masih awak inggat untuk bertanya kepada abang Ikhwan…siapa kah gerangan yang menjanyikan lagu ini…..ternyata…

    Pertama kali
    Aku bahagia
    Kau menerima diri ini
    Insan biasa
    Punya kelemahan
    Dalam menempuhi
    Cabaran
    Aku juga tak mengharapkan
    Intan permata
    Kemewahan
    Cinta yang murni
    Keikhlasan hati
    Semoga berkekalan
    Kasih kita

    Maju terus persepedahan / Basikal antara dua negara Indonesia & malaysia…Semangat

  8. Jempol tuk penulis, bagus sekali liputannya,
    kami tunggu Ontelis Basikal Malaya di Napak Tilas Karawang-Bekasi pada tanggal 20-21 Febrari 2010.
    di Karawang-Bekasi – Indonesia.
    Salam Hangat !

  9. Terimakasih tak terhingga Kami ucapkan atas kehadiran Sdr. Ikhwan beserta Istri ( Wawa ) dari KBTBB Malaysia yg telah turut serta hadir di acara BLO, hatur nuhun juga buat Bang Chandra Meizir serta Bang Alex yg telah menemani tamu kita dari Malaysia….terbukti bahwa dengan Onthel kita bisa bersilaturahmi antara Indonesia dengan negeri Jiran Malaysia, Alhamdulillah dengan rasa persaudaraan serta kekompakkan yg kuat kita bisa mewujudkan Temu Onthelis Nasional & Malaysia dengan Thema Bandoeng Laoetan Onthel 2010……Kita pernah dan kan selalu Bersama…..Jayalah Onthelis Nasional & Malaysia….
    Salam,-

  10. Topixcontry,
    Terima kasih atas sokongan anda. Dukacita saya tidak dapat hadir pada acara Kerawang-Begasi kerana punya urusan kerja sehingga bulan April. Semoga kita bisa ketemu di acara yang akan datang. Saya pasti akan kembali bersama-sama menyokong acara ontel di Indonesia.

    Kang Aboy,
    Terima kasih kembali Kang Abong. Kami juga berasa teramat bangga dan senang hati dengan layanan sewaktu di acara BLO 2010. Saya sanggat2 kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh peserta. Tidak lupa buat barisan Panatia yang bekerja keras tanpa pengenal lelah memastikan kelancaran acara BLO 2010.

    Insyaallah kalau tiada halangan saya akan kembali bersama rombongan ke BLO 2011 sekiranya acara tersebut diadakan. Kami mendukung tinggi semangat setia-kawan dan persahabatan yang telah dibuktikan antara ontelis Malaysia & Indonesia. Semoga kita semua bisa bersatu dan aman kerana sepeda ontel! Hidup sepeda ontel Nusantara!

  11. @ abang Mykyocera (Ikhwan), iya anak2ku seeenang betul dengan Upin dan Ipin, teruk benar! Salam buat Jarjit, Ihsan, fizhi, mail bin Ismail, meymey so original, saya juga suka! BLO saaangat berkesan, banyak senang ha,,ha,,ha

    Wassalam.

  12. Saya Bangga dan terharu atas tulisan dan gambar ditayangkan semoga bpk Ikhwan dan Ibu wawa diberikan kesehatan selalu dan salam dari Ontgelis Serang banten.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: