Kecil-kecil Cili Padi – Adik Ayu Izzati bersama KBTBB berkayuh di Melaka


Salam Sejahtera dan Salam Keamanan buat semua sahabat-sahabat BM. 
Pada 17hb Oktober yang lalu penulis telah membawa adik Ayu Izzati ke Batu Berendam untuk menghadiri acara Majlis Rumah Terbuka di sana. Pada sebelah petangnya pula telah diadakan acara kayuhan beramai-ramai menuju ke Bandar Melaka. Hasrat Ayu untuk berkayuh basikal bersama KBTBB telah lama diluahkan oleh si kecil ini kepada penulis. Boleh dikatakan semenjak memiliki basikal Winner Juniornya Ayu sering kali bertanyakan kepada penulis “Bila nak kayuh basikal nie daddy?…Ayu nak ikut kayuh dengan kawan-kawan daddy…” tambahnya. Sejak kecil Ayu yang memanggil penulis sebagai “daddy” dan isteri (Wawa) sebagai “mummy” adalah anak buah perempuan yang paling rapat dengan kami berdua.

Ayu Izzati - 7 tahun - gembira berkayuh bersama rombongan KBTBB menuju ke Melaka

Ayu Izzati - 7 tahun - gembira berkayuh bersama rombongan KBTBB menuju ke Melaka

Walaupun baru berusia 7 tahun, Ayu amat teruja apabila melihat deretan basikal tua di Batu Berendam dan tidak sabar-sabar untuk memulakan kayuhan bersama-sama rakan-rakan KBTBB. “Pukul berapa nak kayuh nie daddy?” tanya Ayu kepada penulis. “Pukul 6:30 kita kayuh…yee” jawab penulis yang sibuk melayan tetamu pada hari tersebut. Kehadiran Ayu bersama basikal kecilnya sememangnya menjadi perhatian para tetamu dan juga kanak-kanak kecil di sana. “Mana lah aku nak cari basikal macam nie? Anak aku tanya …kenapa Ayah tak belikan basikal kecil macam Ayu punya tuuu…” kata Chegu Shaari kepada penulis. Penulis tersenyum sambil menjawab “Pelan-pelan cari bro…Insyaallah boleh dapat” tambah penulis untuk meyakinkan Chegu Shaari.

Bagi penulis kesediaan dan kesudian ahli-ahli KBTBB memberikan peluang kepada Ayu untuk berkayuh bersama merupakan satu penghormatan dan pengalaman paling berharga bagi si kecil yang baru mengenal dunia luar ini. Penulis pasti tidak ramai di antara kita berpeluang dan merasai pengalaman berkayuh di Bandar Melaka sambil menikmati kecantikan dan keindahan bandar Melaka bersama KBTBB. Untuk rekod adik Ayu Izzati adalah peserta paling kecil dan termuda pernah berkayuh basikal bersama KBTBB dan berjaya berkayuh sejauh 20km. Ternyata memang benarlah si kecil ini “kecil-kecil cili padi” kerana kemampuannya setaraf kemampuan orang dewasa!

Ayu bersama basikalnya bergambar bersama-sama ahli-ahli KBTBB sebelum berkayuh

Ayu bersama basikalnya bergambar bersama-sama ahli-ahli KBTBB sebelum berkayuh

 Tepat jam 6:30 petang semua ahli-ahli KBTBB dan sahabat-sahabat dari Perak yang diketuai Mr. GB & Selangor diketuai oleh Sdr. Along – bersiap sedia untuk memulakan kayuhan menuju ke Bandar Melaka. Seramai 22 peserta menyertai kayuhan “pemanas badan” yang bermula di Batu Berendam, Melaka mengiringi adik Ayu Izzati dengan memastikan keselamatannya ditahap maksimum. Pergerakkan dan kayuhan adik Ayu Izzati sentiasa diawasi oleh sahabat-sahabat KBTBB iaitu Pak Hassan, Along Pomen dan Wawa serta penulis bertindak mengawasi dan memberikan arahan lalulintas kepada Ayu dan rombongan. Kayuhan kali ini dikoordinasi dan diketuai oleh Sdr. Jebat yang pakar mengenai laluan dan trafik di Bandar Melaka.

Walaupun kayuhan kali ini sedikit perlahan namun dengan kayuhan penuh semangat si kecil ini berjaya membuatkan ramai sahabat-sahabat KBTBB kagum dengan ketahanan dan kekuatan mental adik Ayu Izzati. Dua faktor utama yang menyebabkan ramai yang kagum, pertama saiz basikal 20″ dengan saiz tayar yang kecil dan kedua tenaga dan kekuatan fizikal yang perlu digunakan oleh Ayu untuk mengayuh basikal kecil seiring dengan basikal-basikal ukuran tayar 26″ & 28″. Penulis melihat sendiri bagaimana Ayu perlu mengayuh lebih pantas sehingga 2-3 kali ganda  kayuhan untuk mengejar dan bergerak seiring dengan basikal rombongan KBTBB mujurlah kami telah bersiap-sedia membawa bekalan air yang mencukupi untuk Ayu menambah tenaganya.

Rombongan KBTBB sentiasa mengawasi dan menjaga keselamatan semua peserta termasuk Ayu

Rombongan KBTBB sentiasa mengawasi dan menjaga keselamatan semua peserta termasuk Adik Ayu Izzati

Rombongan KBTBB tiba di Bandar Melaka tepat jam 7:10 malam dan berehat di hadapan Bangunan Merah melihat matahari terbenam sambil mempamerkan koleksi basikal tua masing-masing untuk ditatap oleh pelancong asing yang lalu-lalang di situ. Masa yang ada digunakan untuk bersembang sambil bertukar-tukar pendapat dikalangan ahli-ahli dan sahabat-sahabat dari Perak dan Selangor. Ayu pula sibuk bergurau dan bersembang dengan Adik Mira (anak perempuan Sdr. Along) yang menjadi teman barunya. Adik Mira juga seperti Ayu, kali pertama berkayuh bersama KBTBB. Setelah selesai sembahyang Maghrib di surau berhampiran rombongan berkayuh menunju A Famosa.

Setibanya di Kota A Famosa hari sudah pun gelap, walaubagaimanapun itu tidak menjadi penghalang untuk terus berkayuh kerana Bandar Melaka diterangi dengan lampu berwarna-warni dan lampu jalan yang terang benderang. Sebagai langkah keselamatan semua peserta melengkapkan diri dengan menghidupkan lampu bateri refektor bagi mudah dilihat  kenderaan pada waktu malam. Hampir 30 minit di A Famosa kami diundang oleh Sdr. Hairi (Kelvin) pemilik Restoran Apple Burger yang memiliki 2 buah basikal BSA (NOS/MINT) yang pernah menjuarai Pertandingan di Melaka dan Penang untuk singgah minum di restorannya. Selesai minum dan berehat rombongan KBTBB  bergerak pulang…Alhamdulillah rombongan selamat tiba jam 9:30 ke Batu Berendam malam dan makan malam kami telah disediakan oleh pemilik kedai Kak Dilla.

Berehat sebentar sambil minum di Restoran Apple Burger milik Sdr. Hairi (Kelvin) BSA Lipat

Berehat sebentar sambil minum di Restoran Apple Burger milik Sdr. Hairi (Kelvin) yang memiliki BSA Lipat

Penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat KBTBB dan semua yang mengikuti kayuhan pada 17hb yang lalu kerana sudi menerima kehadiran adik Ayu Izzati untuk turut serta berkayuh. Penulis dapat melihat keberanian dan keyakinan diri di dalam jiwa anak kecil ini apabila diberi kebebasan mengenal dan mengayuh basikal tua bersama-sama KBTBB. Kesan pengalaman & pengetahuan yang ditinggalkan amatlah mendalam. Ibu adik Ayu Izzati berkata “Ayu…tak habis-habis bercerita pasal basikal tua dan apa yang dilaluinya sewaktu di Melaka….tiap-tiap hari…”. Bagi penulis cara pembelajaran paling berkesan bagi si kecil ini adalah melalui visual (melihat), audio (mendengar) dan kinestetik (aktiviti), ketiga-tiganya dilalui dan dialami sendiri oleh Ayu untuk belajar mengenal dan mendekati basikal tua.

Ayu meminta penulis menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada Mr. GB kerana menghadiahkan beg kecil, Sdr. Taufik kerana menghadiahkan “spanar” dan atuk-atuk dan uncle-unle yang baik-baik kerana mengajar Ayu mengayuh basikal dengan cara yang betul. Memang benarlah tagline yang digunakan KBTBB iaitu “Basikal Tua…Warisan Generasi Muda” dan penulis amat-amat yakin kepada “end-game” atau misi utama KBTBB untuk memartabatkan basikal tua ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya untuk menarik lebih ramai penyertaan generasi muda. Progres dan kemajuan yang ditunjukkan KBTBB benar-benar menyakinkan banyak pihak di dalam dan di luar Negeri Melaka. Insyaallah selagi mana khidmat Basikal Malaya (penulis) diperlukan, penulis akan berganding bahu bersama-sama KBTBB untuk menajamkan (sharpen) misi dan membentuk (shaping) generasi muda yang cintakan warisan bangsa – basikal tua. Semoga lebih ramai anak-anak muda menyertai dan melestarikan basikal tua di bumi Malaya – BM

3 Responses

  1. waaaaaa…… semangat besar punya….adik ayu kita nie.GB harap adik dapat berkayuh jauh lagi dan cuba pecah rekod kanak2 pertama kayuh jauh di melaysia nie……. Cantik beg basikal adik ayu tu…jaga elok2 tau beg tu……. GB bangga dan terharu OOOooo… bila melihat adik ayu berjiwa dan bersemangat besar……ia adalah satu kebebasan serta kepuasan bagi adik ayu…. semoga selepas nie adik ayu dapat join kayuhan lagi……

  2. Mr. GB,
    Insyaallah kalau ada masa dan kayuhan yang besar adik Ayu akan turut serta mungkin pada acara di Putrajaya nanti….tungguuuu. Ayu ucap terima kasih kat hang kerana hadiahkan dia beg kulit. Dia suka sangat…dan saya pasti dia kan jaga sebaik mungkin.

    Kalau pada tahun 50an dulu…perkara2 mcm nie biasalah…kayuh keliling kampung, bandar, atau Malaya naik basikal walaupin bawak $1 sebab zaman tu majoriti orang bergerak naik basikal….sekarang nie selepas 50 tahun… mana ada org nak kayuh basikal keliling bandar atau Malaysia naiki basikal tua…kan? Paling best kita berjaya menghidupkan nostalgia basikal tua ini di Bandar Melaka yang terkenal dengan peninggalan sejarah awal tamadun & kegemilangan Melayu.

    Alhamdulillah masyarakat dan peminat2 basikal tua dah bijak menilai dan menghargai hobi ini…ianya bukanlah hobi suka-suka atau syok sendiri tetapi mendapat perhatian dan sokongan semua pihak …kalau kanak-kanak sekecil Ayu pun boleh menghargai basikal tua, apatah lagi anak-anak muda dan golongan berumur. Bagi saya….itu yg lebih patut dibanggakan🙂

  3. Assalamualaikum, Saya nak beli beg basikal kulit ke, tak kulit pun ok jelah. Lagi nak beli basikal tua railegh lingkungan harga rm 300 lah. asal boleh naik kira ok la. yang lain aku repay sendiri .sapa ade tel 0196195593 . t kasih

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: