Simboliknya persahabatan antara 2 negara di Majlis Makan Malam ke-2 di Batu Berendam, Melaka


Memang benar bidalan Inggeris yang berbunyi A picture is worth a thousand words. Bagi penulis itulah hakikatnya apabila melihat rakaman foto-foto di Malam Majlis Makan Malam ke-2 K2N di Batu Berendam pada hari ke-2 K2N iaitu Sabtu, 5hb Jun 2010 yang lalu. Majlis makan malam tersebut pastinya memberi 1001 kenangan yang tidak akan dapat dilupakan seumur hidup kepada seluruh komuniti basikal tua dari Malaysia dan Indonesia yang hadir semata-mata kerana cinta dan memperjuangkan hobi yang sama. Mereka hadir dan berada di pentas yang sama membuktikan “harga” dan “nilai” persahabatan antara mereka adalah tulin dan luhur serta ikhlas. Di Majlis tersebut peserta-peserta mengambil peluang beramah-mesra sambil bertukar-tukar cenderamata dan menyampaikan hadiah penghargaan.

Selesai Majlis Makan Malam tersebut, rombongan KOSTI telah di bawa bersiar-siar sambil minum teh tarik di Bandaraya Melaka sebelum pulang ke hotel mengayuh basikal sejauh 10km. Untuk itu, penulis tidak mahu mengulas lanjut… kerana foto-foto yang dipaparkan akan menceritakan segala-galanya… memang terbukti K2N telahpun berjaya “Membakar Semangat Baru…Mempererat Persahabatan Serumpun” – BM

KOSTI komuniti pertama dari luar negara berkayuh di Putrajaya kerana K2N


Acara Pelepasan "flag-off" oleh Penaung KBTBB dan Wakil Ahli Parlimen Bukit Katil

Pada hari kedua iaitu pada Sabtu 5hb Jun 2010, Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) telah di bawa ke Putrajaya untuk merasai pengalaman berkayuh basikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Rombongan KOSTI telah bertolak dari Melaka seawal 7:30 pagi telah tiba di Putrajaya sekitar jam 9:30 pagi untuk mengikuti program sessi lawatan yang telah dirancang oleh AJK K2N. Acara pelepasan “flag-off” rombongan KOSTI telah disempurnakan oleh Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zulkifli Osman dengan diiringi oleh Sdr. Mansor dan Sdr. Roslan yang menjadi Wakil Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka. Acara pelepasan tersebut telah dilakukan di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Peluang berkayuh di Putrajaya adalah suatu pengalaman yang berharga

KOSTI yang hadir demi Kayuhan 2 Negara di Melaka telah berpeluang merasai pengalaman paling berharga berkayuh di Putrajaya setelah mendapat keizinan dan kebenaran dari Perbadanan Putrajaya. Untuk rekod dan catatan sejarah – KOSTI merupakan komuniti basikal tua PERTAMA diberi peluang dan kebenaran berkayuh dan melawati tempat-tempat menarik di Putrajaya. Penulis selaku Ketua Projek K2N sempat membawa dan mengetuai rombongan KOSTI singgah ke Istana Kehakiman, Bangunan Perbadanan Putrajaya, Jambatan Seri wawasan dan Masjid Putra.

Walaupun masa agak terbatas namun sessi lawatan ini memberikan peluang paling berharga dan manis buat semua peserta. Penulis sempat membawa rombongan berkayuh sejauh 8km sebelum menamatkan acara kayuhan tepat jam 12:00 tengahari. Selesai sessi bersama Media, rombongan KOSTI menyambung sessi lawatan kedua ke KLCC dan Kuala Lumpur manakala penulis pula bergegas pulang ke Melaka untuk persiapan Makan Malam ke-2 di Batu Berendam yang dihadiri oleh semua wakil-wakil basikal tua dari seluruh Malaysia dan KOSTI.

Imbasan Majlis Makan Malam dan Perasmian Acara K2N pada 4hb Jun 2010


Simbolik Upacara Perasmian dengan membunyikan loceng basikal sebagai tanda bermulanya Acara K2N di Melaka

Salam Sejahtera dan Salam Rindu buat semua sahabat basikal tua Nusantara.
Pada paparan kali ini penulis ingin membawa imbasan peristiwa penting yang telah berlangsung pada Jumaat 4hb Jun 2010 yang lalu. Paparan ini penulis tujukan khas buat sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan hadir ke Majlis Makan Malam dan Perasmian Acara Kayuhan 2 Negara yang telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka 2 minggu yang lalu. Sementara itu… saksikan dahulu paparan foto-foto menarik yang telah diambil oleh Sdr. Mas Hariadi iaitu Jurugambar Rasmi Acara K2N.

Hari Pertama (Jumaat 4hb Jun 2010)

11:00 pagi
Penulis dan isteri menuju ke LCCT dari Melaka menaiki kereta manakala AJK K2N yang bertugas menyambut rombongan KOSTI menaiki 2 bas persiaran menuju ke sana.

1:30 tengahari
Kira-kira jam 1:30 tengahari, rombongan pertama KOSTI dari Jakarta tiba di LCCT dengan pesawat Air Asia diketuai oleh Mas Iwan manakala Mbak Nurul dan Bian (isteri dan anak Mas Iwan) sudah berada di LCCT menaiki pesawat Garuda yang telah tiba lebih awal dari rombongan pertama. Penulis dan isteri (Wawa) sempat menyambut kedatangan rombongan pertama di LCCT dan terpaksa meninggalkan Wawa untuk menunggu rombongan kedua yang dijangka tiba 1 jam setengah dari rombongan pertama.

3:00 petang
Kira-kira jam 3:00 petang  rombongan pertama KOSTI bertolak menuju ke Melaka dari LCCT menaiki bas persiaran. Penulis terus menuju pulang ke Melaka dari Kuala Lumpur setelah menyelesaikan beberapa urusan penting menaiki kereta. Manakala di LCCT Wawa (isteri penulis) bersama Mr. GB dan Tok Penghulu (Sdr. Midi) menunggu ketibaan rombongan kedua.

4:15 petang
Rombongan kedua KOSTI yang diketuai oleh Sdr. Alex dari Jakarta tiba di LCCT dan mereka telah disambut oleh Wawa, Mr. GB dan Tok Penghulu. Walaupun menghadapi sedikit kesulitan di LCCT akhirnya kesemua ahli-ahli rombongan menaiki bas menuju ke Melaka.

5:15 petang
Rombongan kedua menaiki bas menuju ke Melaka manakala Wawa dan Sdr. ALex terpaksa menunggu 2 peserta yang menghadapi masalah di dalam pusat pemeriksaan Kastam.

5:40 petang
Wawa dan Sdr. Alex bersama 2 peserta KOSTI telah berjaya menyelesaikan sedikit masalah yang dihadapi dan menuju ke Melaka menaiki Taxi Limo dan berjaya memintas rombongan kedua yang menaiki bas. Di Melaka rombongan pertama telah tiba di hotel penginapan dan bersiap-siap untuk ke Majlis Makan Malam.

7:30 petang
Di Quayside, Melaka semua persiapan terakhir telah berjaya dilaksanakan oleh AJK K2N. Manakala rombongan kedua KOSTI pula baru tiba ke hotel dari LCCT dan terpaksa bergegas bersiap untuk ke Quayside.

8:15 malam
Rombongan KOSTI dibawa menaiki beca menuju ke Quayside dari hotel penginapan. Tetamu jemputan dan rombongan KOSTI disambut oleh ahli-ahli KBTBB di hadapan pintu utama.

8:45 malam
Tepat jam 8:45 malam YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka tiba di Quayside, Melaka. Beliau telah disambut oleh barisan AJK K2N dan Penaung KBTBB iaitu Sdr. Zulkifli Osman.

9:00 malam
Penulis selaku Ketua Projek K2N telah diberi penghormatan untuk menyampaikan Ucapan Alu-aluan mewakili perwakilan Malaysia memulakan Majlis. Dalam ucapan ringkas tersebut penulis sempat mengucapkan selamat datang kepada rombongan KOSTI ke Melaka dan merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, penaja serta semua yang terlibat menjayakan acara K2N. Selain itu penulis sempat juga “membakar” semangat tetamu yang hadir dengan beberapa fakta-fakta menarik.

9:15 malam
Pak Dimas selaku Ketua Umum Komunitas Sepeda Tua Indonesia (KOSTI) diberi penghormatan memberikan ucapan balas mewakili rombongan Indonesia pada malam tersebut. Dalam Ucapannya beliau menyatakan sambutan yang diterima KOSTI adalah sangat “luar biasa” dan berharap agar K2N akan mempereratkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

9:30 malam
YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DAR) menyampaikan ucaptama sekaligus merasmikan acara K2N. Antara intipati ucapannya ialah beliau berharap agar acara K2N ini bukanlah acara pertama dan terakhir sebaliknya harus diteruskan di masa hadapan. Selain daripada itu beliau berpesan agar kita harus “happy” kerana hidup ini hanyalah sementara disamping hidup dalam suasana keamanan dan bersatu padu.

9:45 malam
Acara diteruskan dengan Majlis Perasmian oleh YAB Ketua Menteri Melaka (DAR) bersama penulis dan VVIP yang lain membunyikan loceng basikal sebagai simbolik bermulanya acara K2N di Melaka. Selepas itu diikuti pula dengan Majlis penyampaian penghargaan kepada DAR dan pertukaran cenderamata antara KBTBB dengan KOSTI.

10:00 malam
Majlis Makan Malam diceria dan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari Quayside dengan mempersembahkan pelbagai tarian tradisional masyarakat di Malaysia sambil para tetamu menjamu selera dengan masakan menu yang enak.

10:30 malam
YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam (DAR) meninggalkan acara Majlis Makan Malam kerana harus bergegas menghadiri Majlis Rasmi seterusnya.

10:45 malam
Majlis diteruskan dengan tarian joget dan tetamu yang hadir dijemput berjoget bersama-sama di pentas utama. Ternyata tetamu yang hadir dapat merasai sendiri budaya masing-masing apabila adanya peluang menari dan berjoget bersama-sama.

11:00 malam
Rombongan KOSTI dan tetamu jemputan dijemput menaiki bot (river cruise) untuk menikmati pemandangan di waktu malam Sungai Melaka dan bandaraya Melaka. Pihak penganjur telah menyewa 2 buah bot bagi tujuan tersebut. Pastinya pengalaman menyusuri Sungai Melaka yang diterangi warna-warni lampu disepanjang sungai memberikan kenangan indah bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke Melaka.

11:45 malam
Majlis Bersurai dan Rombongan KOSTI pulang ke hotel ditemani ahli-ahli KBTBB – Maka tamatlah acara hari pertama dengan jayanya.