Basikal Malaya bakal kembali…


As Salam sahabat-sahabat BM yang dikasihi… Atas permintaan dan sokongan sahabat-sahabat setia… BM akan kembali aktif menulis dan menyajikan perkongsian ilmu, informasi dan perkembangan terkini Basikal Tua di Malaysia. Nantikan post PERTAMA daripada BM setelah 5 tahun berehat dari menulis… tungguuuu…

Jom Ngayuh Weh

460 sertai Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar di Malaysia


Acara yang penuh gemilang ini telah merakam sejarah paling penting buat seluruh pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia. Kehadiran 460 peserta di Melaka telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Record (MBR)  sebagai Perhimpunan Basikal Klasik Terbesar pada 16 September 2012 yang lalu.

Ternyata apa yang diimpikan oleh peminat-peminat basikal tua akhirnya menjadi kenyataan dan realiti apabila acara MBR ini telah berlangsung dengan jayanya di MYDIN, MITC, Melaka.

Inilah bukti sokongan padu komuniti pencinta dan pejuang basikal tua Malaysia yang disertai 18 buah kelab dan individu-individu dari seluruh Malaysia. Bersatu kita pasti akan MAJU dan JAYA. Tiada yang mustahil dilakukan sekiranya ada tekad dan kemahuan.

Selamat Tahun Baru 2012 – basikal tua tetap dikayuh…


Bagaikan sinar pagi yang menerangi alam...basikal tua tetap bersinar di bumi Malaya...penulis mengayuh di hari pertama 01.01.2012 bersama TYT dan Ketua Menteri Melaka dalam Program Jelajah Basikal Melaka 2012 baru-baru ini bersama basikal kesayangan...

Hari ini 25 Januari 2012 bersamaan 1 Rabiulawal 1433H telah hampir sebulan kita berada di tahun baharu 2012 dan selama itulah kita telah meninggalkan tahun 2011 yang penuh dengan kenangan dan coretan serta catatan. Tahun ini merupakan tahun NAGA AIR di mana menurut pengkaji Fung Shui ia merupakan tahun pencerahan iaitu tahun yang bersifat menjernihkan dan mendinginkan. Bagi seorang muslim tidak kiralah apa jenis tahun sekalipun bagi penulis kehidupan kita seharusnya lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Tahun 2011 merakamkan banyak catatan dan kenangan manis buat penulis dan Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB). Adakah semuanya itu hasil dari publisiti murahan? Kalau tak dek sebab ”publisiti murahan” bolehkah sesebuah kelab itu boleh mendapat pengiktirafan dan memartabatkan hobi ini untuk sampai ke peringkat yang tertinggi? Anda pasti ada jawapannya.  

Basikal tua sentiasa mendapat sokongan dari pemimpin tertinggi...itulah unik dan karismatiknya serta aura basikal tua...

Biar apa pun rintangan dan dugaan yang datang penulis bersyukur kerana blog Basikal Malaya masih terus bernafas dengan sokongan sahabat-sahabat dan kehadiran pengunjung melebihi 100,000 pelawat sejak ia diterbitkan pada 18 Jun 2008. Blog ini telah menjadi medium yang penting untuk menghubungkan peminat-peminat dari seluruh negeri malahan telah merentasi negara. Bagi penulis setiap usaha yang dilakukan seharusnya mendatangkan hasil dan kemakmuran kepada semua orang dan ini jelas terbukti dengan pertambahan peminat-peminat basikal tua dengan kewujudan banyak group-group kecil/kelab-kelab basikal tua yang baharu bercambah di Malaysia pada tahun lepas (2011). Semua itu boleh diukur dan dilihat sendiri dari apa yang telah kita lakukan selama setahun dan tahun-tahun yang sebelumnya. Apa pun basikal tua yang ada seharusnya dikayuh agar tidak terus berkarat!

Bagi mereka yang setia melayari blog Basikal Malaya jadikanlah blog ini sebagai tempat untuk kita mengenali ramai kenalan dan sahabat serta mengetahui banyak perkara mengenai perkembangan dunia basikal tua di Malaysia dan Nusantara. Semua yang dipaparkan di sini adalah paparan yang jujur hasil pengalaman dan pengamatan melalui kaca mata sebenar penulis. Blog Basikal Malaya tidak keseorangan di dalam menyalurkan banyak sumber informasi dan maklumat sebaliknya blog ini sentiasa ditemani oleh beberapa blog yang aktif seperti blog Nostalgia Basikal Tua, blog Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB) dan blog Sepeda Tua Johor Baharu (KSTJB) yang menjadi rakan setia blogger Basikal Tua di Malaysia.

Semoga basikal tua terus dikayuh dan kekal sebagai warisan bangsa....

Semoga tahun 2012 ini akan memberikan kita lebih banyak rahmat dan keberkatan dariNya dan sebagai pencinta dan pejuang basikal tua penulis doakan agar koleksi-koleksi basikal kalian terus bertambah dengan koleksi-koleksi yang lebih bermutu dan berkualiti. Bagi penulis tiada gunanya kita memiliki koleksi-koleksi basikal yang terhebat sekiranya kita tidak dapat menghayati nostalgianya, menyelami sejarahnya dan menikmati kayuhan sebenar serta berkongsi hobi ini sebagai warisan berharga/bernilai khas buat generasi akan datang. Yang baru (peminat baru) dibantu…yang lama (otai-otai) membantu…yang berilmu (bijak-pandai) berkongsi….yang tua dihormati dan yang muda disayangi… maka Hiduplah Basikal Tua di bumi Malaya Merdeka.

Selamat Tahun Baru 2012…
Hidup Basikal Tua! Teruskan berkayuh….

Basikal Malaya
25 Januari 2012

p/s :  Alhamdulillah pagi-pagi di tahun baru Basikal Tua dah dikayuh dan dapat liputan meluas media massa… tak kayuh macam mana nak berjaya 🙂   dan janganlah kita jadi katak yang hanya melalak di bawah tempurung… dijentik sedikit dah riuh sekampung… digeletek dah menangis… melihat tapi tak nampak… berakal tapi tak berfikir.