Sepetang bersama Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK), Banting, Selangor


Gandingan generasi tua dan muda bersama membentuk sebuah kelab baru di Kampung Kundang, Banting, Selangor

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang bukti hobi basikal tua semakin diminati ramai

Siapa sangka pertemuan di Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC, Batu Pahat, 2 minggu lalu menemukan penulis dengan sahabat-sahabat dari Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang (KBKKK) telah membawa penulis untuk mengenali lebih dekat kelab yang baru muncul dari Banting, Selangor ini. Pada Ahad lepas penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sempat meluangkan masa melawat sahabat-sahabat KBKKK di Kg. Kundang, Banting yang lokasinya terletak lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur. Walaupun sedikit lewat dari jadual asal kerana urusan keluarga namun kami sempat sampai dengan selamat di Kg. Kundang yang terletak tidak jauh dari Kg. Tanjung Sepat sekitar jam 3:15 petang.

Setibanya di persimpangan Kg. Kundang kami telah ditunggu oleh Sdr. Adi yang merupakan “orang kuat” KBKKK untuk membawa kami ke “port” mereka iaitu di “Warung KL” yang terletak tidak jauh dari situ. Kehadiran kami telah dinanti oleh lebih 20 orang ahli-ahli KBKKK yang telah menunggu kami sejak jam 2:30 petang. Di situ penulis sudah dapat rasakan “aura” yang ada pada ahli-ahli KBKKK yang ternyata bersemangat, “warm” dan “friendly”. Selepas berehat sebentar, kami diajak untuk ke rumah En. Sucah bin Ahmad untuk sessi suai kenal dan jamuan ringan bersama ahli-ahli KBKKK.

Inilah "markas" atau "pengkalan" KBKKK yang dikenali sebagai "Warung KL" yang terletak di dalam Kampung Kundang

Beberapa ahli-ahli KBKKK sedang menunggu ketibaan penulis dan Sdr. Sanim di rumah En. Sucah

Setelah memperkenalkan diri dan diperkenalkan kepada semua ahli-ahli KBKKK, penulis memulakan acara silaturahim dengan menyematkan Lencana KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Tuan Hj. Miskam bin Hj. Dahlan dan Sdr. Adi sebagai tanda persahabatan sesama pencinta basikal tua. Walaupun acara ini ringkas namun ianya merupakan simbolik dan tanda persahabatan yang penuh bermakna bagi kami. Kerana hobi “basikal tua” lah kami dipertemukan dan menjadi sahabat…dan penulis berdoa agar persahabatan yang baru terjalin ini akan membuka satu lembaran baru bagi KBKKK untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kelab yang disertai gabungan ahli-ahli veteran dan generasi muda seramai 40 orang ahli, penulis dapat menilai potensi dan “kekuatan dalaman” yang ada pada kelab yang baru bertatih ini. Sungguhpun mereka baru namun “semangat” mereka menjadi senjata yang berkesan kerana berani membawa ahli-ahlinya keluar dari Kg. Kundang untuk menimba pengalaman dengan menyertai Pertandingan Basikal Klasik di Batu Pahat dan terkini mereka menyertai satu acara kayuhan basikal terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Inilah transformasi yang harus dilakukan oleh mana-mana kelab yang ada…iaitu “keberanian” untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari “kepompong” dan melihat dunia luar.

Tanda persahabatan - Penulis menyematkan pin KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Hj. Miskam bin Hj. Dahlan

Ini dia orang "paling kuat" KBKKK iaitu Sdr. Adi yang menjadi perancang utama kelab yang baru muncul ini

Perkembangan positif ini bukan sahaja berlaku di Kampung Kundang tetapi juga di sekitar daerah Banting. Sewaktu perjalanan ke sana penulis terserempak dengan sekumpulan ahli-ahli Basikal Tua yang sedang mengayuh pulang dari Pantai Morib sekitar 20 orang menuju ke arah Banting. Di daerah ini dianggarkan sekitar 2-3 kumpulan dari beberapa Kampung juga aktif dengan aktiviti basikal tua dan usaha menjejaki kumpulan-kumpulan ini akan dijalankan sedikit masa lagi. Walaupun kesulitan mencari barang-barang basikal tua semakin sukar dengan senario lintah-lintah darat yang sedang bermaharaja-lela namun ahli-ahli KBKKK masih berjaya memiliki koleksi-koleksi basikal tua yang tidak kurang hebatnya kerana mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri.

Mereka juga mempunyai rangkaian “networking” dalam mengesan barang-barang basikal dan alat-alat ganti untuk keperluan ahi-ahli mereka. Mereka juga mempunyai beberapa “pakar” dalam mengesan dan membaik-pulih basikal tua dengan kos yang paling minimum untuk ahli-ahlinya. Antara koleksi yang dimiliki KBKKK ialah Raleigh, Norman, Hercules, Rudge, New Hudson Posmen, BSA, Jump, Hopper dan sebagainya. Paling mahal ialah kehadiran golongan veteran yang sentiasa memberikan nasihat dan panduan serta pengalaman mereka mengenai basikal tua manakala generasi mudanya menjadi tulang belakang merencana pelbagai aktiviti untuk mengerakkan kelab mereka.

Brader nie bergaya dengan koleksi basikal kesayanganya...

Basikal posmen New Hudson yang masih dalam kondisi original...

Tuan Haji Sibadar bin Hj Abdullah dengan basikal Norman yang dibelinya pada tahun 1960an

Walaupun lawatan kami ke sana merupakan lawatan singkat dek keterbatasan masa namun sempat juga kami berkayuh mengelilingi kampung beramai-ramai. Deringan bunyi loceng basikal tua ternyata masih mampu mengamatkan suasana sewaktu kayuhan. Terasa seronok dapat berbual -bual sambil berkayuh santai mengelilingi kampung. Hampir 40 minit berkayuh kami pulang semula ke rumah En. Sucah untuk menikmati hidangan minum petang yang telah disediakan KBKKK. Selesai makan dan minum sempat juga penulis membuka iPad dan berkongsikan pengalaman penulis melalui gambar-gambar, video dan cerita-cerita menarik mengenai basikal tua kepada ahli-ahli KBKKK. Paling mengejutkan di rumah En. Sucah ada WIFI dan dapatlah penulis membuka blog BM untuk mereka melihat sendiri perkembangan basikal tua tanahair dan senario yang berlaku. Melalui blog yang wujud dapatlah mereka mengetahui perkembangan dunia luar dan pentingnya teknologi dalam kehidupan.

Anak-anak kecl juga sudah diajar dan dibawa menyertai kayuhan basikal tua...taklah jadi hobi untuk golongan2 veteran jer

Hidangan minum petang yang telah disediakan oleh KBKKK untuk semua ahli-ahlinya...

Hidup basikal tua! Hidup basikal tua! Hidup KBKKK!

Yang tua tetap dihormati... tua dan muda sama-sama berbakti... tiada yang tua tiadalah yang muda...

Dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sdr. Adi dan KBKKK kerana sudi menerima kami sebagai tetamu dan berharap persahabatan yang terjalin ini akan terus berkekalan. Penulis juga ingin menjemput semua ahli-ahli KBKKK untuk bersama-sama turun padang pada acara-acara besar yang bakal dirancang oleh KBTBB di masa hadapan. Penulis ingin memohon maaf seandainya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sewaktu singgah sepetang bersama KBKKK. Semoga kelab yang baru ditubuhkan yang penuh ambisi ini terus sukses dan berjaya. Akhir kata hiduplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka! – Basikal Malaya

Raleigh Roadster Nottingham 1913 (ukuran frame 28″) kondisi asli


Salam hormat buat semua pengunjung blog BM.
Di Malaysia, ukuran 28″ pada basikal tua seringkali merujuk kepada ukuran tayar tetapi istilah sebenarnya ukuran 28″ bagi kolektor dan peminat basikal seluruh dunia ianya merujuk kepada ukuran tinggi frame. Kebiasaannya basikal tua jantan/lelaki/gents jenis basikal kargo/roadster ukurannya adalah dari 22″, 24″, 26″ dan 28″. Secara umumnya basikal tua yang seringkali kita temui di Asia Tenggara dan di negara kita ialah dari ukuran 22″ dan 24″ kerana ia mengikut purata ketinggian pemiliknya manakala untuk ukuran tinggi 26″ dan 28″ adalah sangat jarang sekali ditemui. Disebabkan ukuran frame yang tinggi selalunya basikal ukuran 26″ dan 28″ ini dimiliki oleh orang-orang Inggeris/Eropah dan India/Punjabi/Pakistan yang datang ke Asia Tenggara. Untuk mengayuh basikal ukuran tinggi ini ketinggian seseorang itu haruslah mempunyai ketinggian melebihi 5′ 7″ ke atas.

Basikal Raleigh Gents Roadster ukuran 28" untuk lelaki tinggi melebihi 5'7" ke atas.

Baru-baru ini penulis telah menemui sebuah basikal 28″ jenis Raleigh Roadster yang dipercayai telah dikeluarkan pada tahun 1913. Melalui kajian penulis di laman blog Sheldon Brown (http://www.sheldonbrown.com/) iaitu seorang pakar rujukan basikal klasik Inggeris bertaraf dunia, basikal Raleigh ukuran 28” ini dipercayai telah dikeluarkan oleh syarikat Raleigh pada lewat tahun 1913 berdasarkan nombor pendaftaran (registration number) pada framenya iaitu 47xxxx (6 digit) yang dijual pada harga £5.19.6. Basikal ini menggunakan 3 speed (Tricoaster) iaitu trigger pistol dan rim tayar buatan khas Sturmey Archer Roadster Nottingham.

Speed Trigger pistol atau Tricoaster buatan Sturmey Archer disamping handle bar dan sistem brek dalam yang unik

Untuk kelajuan - 3 Speed buatan Strurmey Archer Nottingham digunakan syarikat Raleigh pada keluaran basikalnya

Tempat lampu berbentuk R (Raleigh) dan besi brek depan halus

Pastinya keunikan basikal Raleigh ukuran 28″ terletak pada ketinggian framenya. Bagi menguatkan dakwaan bahawa basikal ini keluaran 1913 (keluaran tua) lihat saja pada transfer merk yang ada pada frame dan peti rantainya. Selain daripada itu crank yang digunakan juga belum lagi menggunakan crank logo burung disamping pedalnya yang masih terukir tulisan Raleigh yang condong di tengah-tengah. Rantainya juga masih tertera tulisan Raleigh disamping memiliki handle bar dengan sistem brek dalam berbeza dengan sistem brek biasa yang besinya di luar. Di harapkan penerangan ringkas penulis ini dapat memberikan sedikit manfaat dan info berguna buat semua peminat basikal Raleigh di dalam memburu koleksi-koleksi yang unik dan berharga.

Penulis memohon maaf seandainya apa yang dipaparkan ini ada yang terkurang dan berharap kita semua dapat berkongsi ilmu untuk terus melestarikan hobi ini. Sesungguhnya kita saling melengkapi dan perlu-memerlukan. ..ibarat kita mengayuh basikal, semuanya harus seimbang untuk kita terus bergerak ke hadapan dan sampai ke destinasi tujuan. Semoga paparan ini berguna buat semua – Basikal Malaya (BM)

Brooks B28 buatan Great Britain spring pintal dan beg Brooks di palang

Ini padel champion untuk basikal yang betul-betul tua dan klasik, lihat saja tulisan Raleigh di tengah itu.

Jangan tak caya...rantai pun Raleigh tau...

Saksikan beberapa foto-foto menarik mengenai Raleigh Roadster ukuran frame 28″.

BM berkorban segalanya demi Kayuhan 2 Negara – K2N 2010


Publisiti Acara Kayuhan 2 Negara di dalam akhbar Metro yang disiarkan di seluruh negara pada hari Jumaat, 28 Mei 2010

Salam Silaturahim buat semua pencinta basikal tua Nusantara dan tetamu blog Basikal Malaya (BM).
Basikal Malaya memohon maaf kerana tidak berkesempatan mengemaskini blog ini seperti yang diharapkan. Demi menjayakan acara K2N yang bakal berlangsung beberapa hari sahaja lagi, penulis terpaksa mengorbankan banyak perkara, rutin, masa dan tenaga untuk memfokuskan komitmen membantu Sekretariat K2N di Melaka. Bagi penulis inilah kelainan dan pengalaman paling berharga yang “dihidangkan” buat peserta-peserta yang akan bakal hadir menjayakan acara K2N. Acara basikal tua yang pertama kali diadakan ini bakal memberikan kenangan manis seumur hidup yang tidak mungkin dilupakan.

Hobi basikal tua bukan sekadar dengan memiliki puluhan koleksi basikal pelbagai jenis semata-mata, kepuasan sebenar bagi penulis ialah apabila dapat bersama-sama ratusan pemilik basikal tua yang datang dari seluruh pelusuk negara Malaysia dan Indonesia menikmati dan merasai pengalaman berkayuh di Melaka iaitu tapak Warisan Dunia yang diiktiraf UNESCO. Untuk makluman, pihak penganjur telah hampir setengah tahun mempersiapkan acara K2N semata-mata untuk membuktikan bahawa basikal tua sememangnya boleh pergi lebih jauh merentasi sempadan negara dan benua. Pastinya kita tidak akan tahu bilakah lagi acara seperti ini akan diadakan?

Melaka Hari Ini iaitu akhbar rasmi Negeri Melaka juga turut menyiarkan liputan publisiti acara K2N keluarannya pada Rabu, 26 Mei 2010

Justeru itu, penulis ingin mengajak semua sahabat-sahabat BM untuk turun ke Melaka pada hari Ahad, 6hb Jun 2010 bertempat di Menara Taming Sari pukul 8:00 pagi untuk bersama-sama menjadi sebahagian catatan dan paparan sejarah buat negara dan Nusantara serta generasi akan datang. Penulis dan sahabat-sahabat KBTBB telahpun mengerah seluruh tenaga, jiwa dan raga serta mengorbankan segalanya untuk memastikan acara K2N akan berlangsung dengan gilang-gemilang dan membuktikan apa yang dilaungkan bukan sekadar kata-kata dan angan-angan kosong. Buka mata…tanya diri sendiri…ikutlah kata hati…basikal tua pasti akan terus lestari selari dengan tema acara K2N iaitu Membakar Semangat Baru…Mempererat Persahabatan Serumpun… jumpa anda di Melaka! – Basikal Malaya

Acara K2N yang mendapat liputan akhbar Berita Harian edisi Selatan

Basikal kecil ukuran 18″ kini digilai & diburu di Melaka


Griffin 18" berwarna merah dengan peti rantai dan mudgurd berwarna putih

Penulis bersama basikal kecil Griffin ukuran 18" milik Pengerusi KBTBB iaitu Abang Alias

Baru-baru ini penulis sempat turun ke Batu Berendam untuk memastikan persiapan K2N berjalan seperti yang direncanakan. Alhamdulillah persiapan K2N berjalan dengan lancar dan sangat-sangat memuaskan. Walaupun AJK K2N sibuk dengan tugasan masing-masing namun sebilangan ahli-ahli Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) masih terus memburu basikal-basikal tua untuk dijadikan koleksi masing-masing. Terbaharu mereka kini telah beralih arah mencari koleksi-koleksi yang lebih unik dan jarang ditemui. Mungkin kerana “terbakar” melihat beberapa ahli-ahli yang telah berjaya memiliki basikal ukuran kecil ini, maka ramai sahabat-sahabat di KBTBB telah bertekad memburu basikal kecil ini. Hasilnya di Melaka kini sudah ramai yang memiliki basikal kecil ukuran 18″ dan tidak hairanlah kalau ada pertandingan basikal ukuran 18″ (kategori basikal 24″) pula selepas ini. Penulis difahamkan ada 2 buah basikal ukuran 18″ sedang dibangunkan dan lebih 5 buah basikal telahpun berjaya diburu dan menjadi koleksi ahli-ahli KBTBB di Melaka.

Warna merah garang. Biarpun kecil tetapi unik dan sangat sukar ditemui dan diburu setiap peminatnya

Penulis bersama Raleigh Junior ukuran 18" milik Sdr. Rehan

Untuk makluman semua, basikal ukuran 18″ dikategorikan sebagai basikal Junior iaitu basikal khas untuk kanak-kanak yang sedang meningkat remaja. Boleh dikatakan kebanyakan jenama basikal yang popular seperti Raleigh, Hercules, BSA, Phillips, dan sebagainya mengeluarkan basikal bersaiz kecil ini. Apa pun bagi penulis, bukan semua orang di Malaya pada zaman dahulu bertuah untuk memiliki basikal kecil ini kalau bukan keluarganya dari orang-orang yang  “berada” dan berkemampuan. Justeru itu, pada paparan kali ini penulis sajikan 2 buah basikal milik ahli KBTBB iaitu milik Sdr. Rehan yang memiliki Raleigh Junior dan Abang Alias (Pengerusi KBTBB) yang memiliki Griffin Sport khas buat tatapan pengunjung dan peminat setia blog BM. Diharapkan paparan ini memberikan idea dan sedikit pengetahuan berguna bagaimana rupa dan keunikan basikal bersaiz Junior ini.

Basikal Roadster 18″ (Cap Ayam Jantan) keluaran B.G.H Trading Co. Limited


Frame 18" Roadster (Cap Ayam Jantan) yang ditemui pada Mac 2010 di dalam keadaan asal

Merk lambang "Ayam Jantan" Roadster - B.G.H. Trading Co. Limited

Simbol/lambang cap/cop “Ayam Jantan” sememangnya sangat-sangat sinonim dengan masyarakat Melayu semenjak 300 tahun yang lalu. Basikal cap/cop “Ayam Jantan” yang penulis temui pada awal bulan Mac 2010 ternyata membuktikan pengaruh dan kesannya amat tinggi kepada budaya masyarakat di Malaya sehingga ianya dijadikan merk (lambang) pada basikal. Bagi pengumpul dan pencinta barang lama/antik pastinya motif, corak, cap/cop dan bentuk “Ayam Jantan” mudah ditemui pada seterika lama, lukisan batik, mata wang lama, kacip sirih, hulu keris, pinggan / mangkuk, papan iklan lama, cemeni (cermin) pelita, dan setidak-tidaknya tabung berbentuk ayam. Ini terbukti apabila syarikat pengedar import Ban Guan Hin (B.G.H.) yang ditubuhkan pada 1952 menggunakan cap/cop “Ayam Jantan” pada keluaran basikalnya untuk dipasarkan di Malaya dan Singapura pada era 1950 – 1960an

Inilah hasilnya Roadster (NOS) ukuran frame 18" yang berjaya dibangunkan

Berdasarkan kajian penulis, penemuan basikal cap/cop “Ayam Jantan” menggunakan label (transfer merk) Roadster pada basikal tua bersaiz kecil (junior) ini amat jarang (langka/rare) ditemui di Malaya. Ditambahkan dengan keunikan ukuran frame 18″ tinggi (tayar bersaiz 24″) yang dikeluarkan/diperbuat oleh Roadster menjadikan basikal ini antara koleksi yang istimewa bagi penulis. Penulis yakin bahawa basikal ini telah diimport terus oleh B.G.H. dari England pada zaman kolonial (British) untuk pasaran di Tanah Melayu sebelum Merdeka. Berdasarkan penemuan beberapa spare-part Roadster ukuran frame 22″ (tayar bersaiz 28″)  di tempat yang sama, penulis yakin bahawa basikal yang diimport B.G.H. ini didatangkan dengan pelbagai ukuran saiz dan pelbagai jenis.

Roadster dari Malaya yang sangat langka (jarang) ditemui di Tanah Melayu

Kesimpulannya, sebagai pengumpul dan pencinta basikal tua, diharapkan penemuan basikal bersaiz kecil ini dapat mengimbau kembali sejarah silam disamping mengetahui kaitan pengaruh budaya tempatan terhadap keunikan simbol/lambang “Ayam Jantan”. Ternyata simbol/lambang tersebut telah mempengaruhi dan meninggalkan kesan signifikan kepada penghasilan kenderaan terawal ini di Tanah Melayu. Basikal tua bersaiz kecil ini penulis ibaratkan sebagai “time capsule” dan “fosil” paling berharga yang bakal merungkai pelbagai persoalan dan sejarah silamnya.  Untuk makluman, Syarikat B.G.H. masih wujud sehingga ke hari ini masih beroperasi di Klang, Selangor tetapi tidak lagi meneruskan perniagaan mengimport basikal dan pelbagai kenderaan. Untuk itu penulis biarkan ia sebagai salah satu koleksi yang penuh dengan “quriousity” (pelbagai tanda-tanya) untuk tatapan dan kajian generasi akan datang – Basikal Malaya. 

Terima kasih Kosmo! (Basikal tua di ruangan Horizon)


Basikal tua menjadi paparan utama di sisipan Horizon, akhbar Kosmo pada keluaran Sabtu, 27 Februari 2010 yang lalu.

Sumbangan akhbar KOSMO di dalam melestarikan basikal tua di Malaysia sememang harus dipuji dan dihargai oleh semua pihak terutamanya pencinta basikal tua. Penulis secara peribadi melihat peranan Media amat-amat penting di dalam membantu penjuangan melestarikan basikal tua pada era yang penuh mencabar ini. Akhbar kompak bersaiz kecil ini di baca hampir 200,000 pembaca setianya setiap hari dan sentiasa kehabisan stok terutamanya di hujung minggu dan cuti umum. Tidak keterlaluan penulis katakan bahawa Kosmo telah berjaya membawa angin perubahan dan pandangan persepsi baru khas buat pembacanya. Basikal tua kini lebih dihargai dan menjadi topik bualan masyarakat di bandar dan juga di desa.

Sdr. Ammar sedang menemuramah (interview) Sdr. Karu dari KSTJB

Kehadiran wartawan Kosmo iaitu Sdr. Ammar Jazlan Mad Lela ke Dataran Putra pada 14hb Februari 2010 yang lalu membuktikan bahawa akhbar Kosmo tidak meminggirkan aktiviti/kegiatan basikal tua walaupun ada banyak subjek dan topik yang lebih menarik untuk dipaparkan. Bagi penulis kedatangan wartawan dan jurugambar dari pihak Media pasti mempunyai alasan/sebab yang kukuh ke Putrajaya. Itulah uniknya “magnet” dan “aura” serta “semangat” basikal tua berbanding basikal moden yang terkenal dengan nilai sejarah dan tinggi moralnya. Justeru siapa kata basikal tua tidak setanding dengan basikal moden? Siapa kata main basikal tua tidak mencabar? Cabarannya bukan sekadar fizikal dan mental semata-mata tetapi menjangkau lebih daripada itu. Dunia dan teknologi mungkin berubah tetapi sejarah dan warisan akan terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Mujurlah masih ada barisan anak-anak muda yang mampu dan terus berjuang untuk mempertahankannya walaupun ada yang tersungkur dan kecundang.

Penulis bersama Sdr. Ammar ketika menjawab pertanyaannya setelah selesai acara AKP2 di Dataran, Putra.

Sdr. Ammar yang merupakan wartawan yang menulis di ruangan Horizon begitu fokus mendapatkan maklumat dan bahan cerita mengenai basikal tua untuk dijadikan rencana utama di ruangan  tersebut. Bagi penulis ada banyak mesej dan cetusan idea baru yang ingin dikongsikan kepada semua peminat basikal tua terutamanya kepada mereka yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan di dalam hobi basikal tua ini. Berpegang kepada prinsip “aku cakap…aku buat!” penulis dan sahabat-sahabat basikal tua yang lain sedang giat merancang beberapa aktiviti dan acara sepanjang tahun 2010. Pastinya akhbar Kosmo akan sentiasa menjadi sekutu rapat “basikal tua” sebagai rakan Media yang akan menyiarkannya untuk tatapan masyarakat dan pencinta basikal tua di Malaysia.

Sekali lagi penulis mewakili Basikal Malaya, Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB), Kelab Rock 7, Port Swettenham Classic Bicycle (PSCB), Pemilik Basikal Tua Chaah-Labis (PECHAL) dan Kelab Sepeda Tua Johor Bahru (KSTJB) ingin mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kepada akhbar Kosmo. Terima kasih juga buat wartawan Kosmo, Sdr. Ammar Jazlan Mad Lela kerana sudi meluangkan masa hadir di AKP2 dan bertungkus-lumus mengarap dan menyusun bahan rencana basikal tua di ruangan Horizon. Hidoplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka!

Terima kasih daun keladi… kalau sudi tulislah lagi.

Ikhwan
Basikal Malaya

Sila KLIK DI SINI untuk membaca rencana di sisipan Horizon di akbar Kosmo.

Basikal BSA gentleman original dari Kampar, Perak


BSA gentleman milik Sdr. Roy dari Kampar, Perak

BSA gentleman ukuran tayar 28" milik Sdr. Roy dari Kampar, Perak

Salam Sejahtera & Salam Keamanan buat semua sahabat BM.
Siapa sangka anak muda bernama Roy dari Kampar, Perak ini sangat bertuah memiliki basikal tua gentleman jenis BSA (Birmingham Small Arms) buatan England yang berusia hampir lebih 70 tahun yang diperoleh masih di dalam keadaan asli dan asal (original) kecuali beberapa part kecil yang telah ditukar. Menurut pemilik, kemungkinan basikal BSA ini adalah dari keluaran tahun 1930an namun ada juga sahabat-sahabat yang berpendapat ianya mungkin dari era 1940an. Apa pun tarikh keluarannya, penulis secara peribadi amat tertarik dengan keasliaan dan keunikkan basikal BSA ini. Kehadiran basikal BSA ini di Melaka telah menjadi tumpuan lensa kamera penulis dan perhatian sahabat-sahabat yang lain. Sdr. Roy yang berasal dari Kampar, Perak sanggup mengorbankan masa dan tenaganya bersama 3 lagi rakannya iaitu Mr. GB, Fadhil & Fazil memandu sejauh 400km untuk hadir ke Melaka berkayuh bersama KBTBB untuk membuktikan “passion”nya terhadap hobi unik ini.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.