Selamat Tahun Baru 2012 – basikal tua tetap dikayuh…

Bagaikan sinar pagi yang menerangi alam...basikal tua tetap bersinar di bumi Malaya...penulis mengayuh di hari pertama 01.01.2012 bersama TYT dan Ketua Menteri Melaka dalam Program Jelajah Basikal Melaka 2012 baru-baru ini bersama basikal kesayangan...

Hari ini 25 Januari 2012 bersamaan 1 Rabiulawal 1433H telah hampir sebulan kita berada di tahun baharu 2012 dan selama itulah kita telah meninggalkan tahun 2011 yang penuh dengan kenangan dan coretan serta catatan. Tahun ini merupakan tahun NAGA AIR di mana menurut pengkaji Fung Shui ia merupakan tahun pencerahan iaitu tahun yang bersifat menjernihkan dan mendinginkan. Bagi seorang muslim tidak kiralah apa jenis tahun sekalipun bagi penulis kehidupan kita seharusnya lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Tahun 2011 merakamkan banyak catatan dan kenangan manis buat penulis dan Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB). Adakah semuanya itu hasil dari publisiti murahan? Kalau tak dek sebab ”publisiti murahan” bolehkah sesebuah kelab itu boleh mendapat pengiktirafan dan memartabatkan hobi ini untuk sampai ke peringkat yang tertinggi? Anda pasti ada jawapannya.  

Basikal tua sentiasa mendapat sokongan dari pemimpin tertinggi...itulah unik dan karismatiknya serta aura basikal tua...

Biar apa pun rintangan dan dugaan yang datang penulis bersyukur kerana blog Basikal Malaya masih terus bernafas dengan sokongan sahabat-sahabat dan kehadiran pengunjung melebihi 100,000 pelawat sejak ia diterbitkan pada 18 Jun 2008. Blog ini telah menjadi medium yang penting untuk menghubungkan peminat-peminat dari seluruh negeri malahan telah merentasi negara. Bagi penulis setiap usaha yang dilakukan seharusnya mendatangkan hasil dan kemakmuran kepada semua orang dan ini jelas terbukti dengan pertambahan peminat-peminat basikal tua dengan kewujudan banyak group-group kecil/kelab-kelab basikal tua yang baharu bercambah di Malaysia pada tahun lepas (2011). Semua itu boleh diukur dan dilihat sendiri dari apa yang telah kita lakukan selama setahun dan tahun-tahun yang sebelumnya. Apa pun basikal tua yang ada seharusnya dikayuh agar tidak terus berkarat!

Bagi mereka yang setia melayari blog Basikal Malaya jadikanlah blog ini sebagai tempat untuk kita mengenali ramai kenalan dan sahabat serta mengetahui banyak perkara mengenai perkembangan dunia basikal tua di Malaysia dan Nusantara. Semua yang dipaparkan di sini adalah paparan yang jujur hasil pengalaman dan pengamatan melalui kaca mata sebenar penulis. Blog Basikal Malaya tidak keseorangan di dalam menyalurkan banyak sumber informasi dan maklumat sebaliknya blog ini sentiasa ditemani oleh beberapa blog yang aktif seperti blog Nostalgia Basikal Tua, blog Kelab Basikal Tua Batu Berendam Melaka (KBTBB) dan blog Sepeda Tua Johor Baharu (KSTJB) yang menjadi rakan setia blogger Basikal Tua di Malaysia.

Semoga basikal tua terus dikayuh dan kekal sebagai warisan bangsa....

Semoga tahun 2012 ini akan memberikan kita lebih banyak rahmat dan keberkatan dariNya dan sebagai pencinta dan pejuang basikal tua penulis doakan agar koleksi-koleksi basikal kalian terus bertambah dengan koleksi-koleksi yang lebih bermutu dan berkualiti. Bagi penulis tiada gunanya kita memiliki koleksi-koleksi basikal yang terhebat sekiranya kita tidak dapat menghayati nostalgianya, menyelami sejarahnya dan menikmati kayuhan sebenar serta berkongsi hobi ini sebagai warisan berharga/bernilai khas buat generasi akan datang. Yang baru (peminat baru) dibantu…yang lama (otai-otai) membantu…yang berilmu (bijak-pandai) berkongsi….yang tua dihormati dan yang muda disayangi… maka Hiduplah Basikal Tua di bumi Malaya Merdeka.

Selamat Tahun Baru 2012…
Hidup Basikal Tua! Teruskan berkayuh….

Basikal Malaya
25 Januari 2012

p/s :  Alhamdulillah pagi-pagi di tahun baru Basikal Tua dah dikayuh dan dapat liputan meluas media massa… tak kayuh macam mana nak berjaya :)    dan janganlah kita jadi katak yang hanya melalak di bawah tempurung… dijentik sedikit dah riuh sekampung… digeletek dah menangis… melihat tapi tak nampak… berakal tapi tak berfikir.

“Epik Basikal Tua” paparan pertama kali basikal tua di iPad melalui aplikasi iBH (Berita Harian Online)

Paparan PERTAMA mengenai basikal tua yang bertajuk "Epik Basikal Tua" di iBH (Berita Harian Online) yang menghiasi muka hadapan keluaran iBH edisi ke 17

"Epik Basikal Tua" tersenarai dalam edisi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online) yang boleh di muat turun oleh pengguna iPad di seluruh dunia

Hari ini 21 Oktober 2011 tercipta dan terlakar satu lagi sejarah penting dan bermakna buat hobi basikal tua/klasik di Malaysia apabila Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) muncul menghiasi muka hadapan di iBH (Berita Harian Online). Buat pertama kalinya paparan basikal tua bertajuk “Epik Basikal Tua” di muat naik ke laman web iBH khusus untuk pengguna iPad (Apple) yang telah dibangunkan oleh kumpulan akhbar paling berpengaruh iaitu Berita Harian. Pengambaran yang telah berlangsung pada Ahad, 2 Oktober 2011 yang lalu memaparkan pelbagai aspek, sudut pandangan dan informasi berguna mengenai hobi basikal tua di Malaysia yang telah dijayakan bersama KBTBB di Bandaraya Warisan Dunia, Melaka. Anda boleh muat turun paparan ini di http://www.bharian.com.my/

Perkataan “Epik” sudah cukup memberikan gambaran yang unik dan luas untuk dikaitkan dengan sejarah yang panjang mengenai basikal tua yang telah bermula sekitar tahun 1890an, ia dimiliki oleh pelbagai latar umur, bangsa dan agama, pelbagai watak besar dan penting serta melalui suatu jangka masa yang lama untuk kita merungkaikan setiap nostalgianya. Basikal tua bukan sekadar kenderaan dan bahan koleksi (collect and see) tetapi seharusnya mampu memberikan kepuasan dan kenikmatan kepada pencintanya. Generasi muda yang kini menjadi harapan untuk meneruskan penjuangan ini seharusnya lebih berani mengeksplorasi saluran, aliran dan teknologi baru yang lebih moden dan sofistikated.

Pelbagai informasi mengenai KBTBB dan aktiviti basikal tua dimuatkan di dalam edisi ke 17 iBH (macam ku kenal basikal German tuu...)

KBTBB sebuah kelab kampung yang paling konsisten melestarikan warisan basikal tua di Malaysia bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara.

Justeru laman blog, Twitter, Facebook dan terkini aplikasi tablet (iPad) menjadi pilihan paling berkesan untuk mendekati peminat-peminat baru. Bagi penulis inilah medium paling efektif untuk kita bersama berjuang memartabatkan hobi basikal tua ini pada masa yang akan datang. Sekadar perkongsian mengenai iBH – iBH memaparkan kandungan maklumat mencakupi pelbagai aspek gaya hidup anda dalam bentuk multimedia interaktif yang ringkas tetapi menarik. Informasi dipersembahkan menerusi penulisan mudah digabung jalinkan dengan paparan foto, video, audio, grafik dan animasi menarik. Kandungan maklumat yang kita peroleh daripada iBH kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja dengan hanya ‘sentuhan jari’. Pembaca bukan sekadar membaca, melihat dan menonton, malah mampu membina arkib informasi multimedia peribadi.

Penulis ingin merakamkan rasa bangga dan hormat kepada semua sahabat-sahabat yang telah bersama-sama berjuang memartabatkan hobi ini untuk dipaparkan di media massa tidak kira apa pun mediumnya samada media cetak mahupun elektronik. Kita berjuang bukan untuk mencari “glamour” semata-mata. Sewajarnya kita menyokong siapa juga yang mendapat perhatian media tidak kira dari mana (selatan hingga utara) kerana secara tidak langsung kita juga mendapat “tempias” promosinya. Malangnya ada segelintir bijak pandai melabelkan bahawa kemunculan kelab-kelab basikal tua di dada-dada akhbar dan tv di Malaysia hanya mencari “glamour” dan mencari publisiti murahan! Adakah kerana “kedangkalan” dan sifat “keanak-anakan” serta “iri hati” telah “membutakan” mereka untuk menilai usaha-usaha yang telah dilakukan pelbagai pihak dan kelab selama ini?

Basikal Cap Kapak NOS dengan barang-barang aksesori NOS dalam kotak pastinya buatan Enngglaannd...

Paparan dan informasi perihal kelab (KBTBB) mengenai latarbelakang, kejayaan dan aktiviti yang dijalankan

Paling penting apabila kita bercakap biarlah dengan substance (bahan) dan bukan sekadar cakap kosong. Setiap percakapan dan omongan kita seharusnya disertai dengan susulan dan tindakan serta hasil kejayaan yang membanggakan. Tidak perlulah untuk penulis menyenaraikan apakah sumbangan yang telah blog Basikal Malaya ini lakukan kepada pembaca dan seluruh komuniti basikal tua di Malaysia. Penulis mengalu-alukan pendapat dan pandangan dari mana-mana pihak dan penulis sedia bertemu “face to face” dengan sesiapa sahaja yang tidak berpuas-hati dengan blog Basikal Malaya atau penulis sendiri. Sebelum kita nak “mengaibkan” orang, ada baiknya kita lihat dahulu diri kita dengan cermin yang besar agar kita tidak “diaibkan” dengan “tangan sendiri” dan “tangan-tangan ajaib”.

Penulisan blog BM berdasarkan realiti dan refleksi sebenar mengenai sesuatu paparan. Mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak berkenan di hati mengenai cara penyampaian. Masing-masing punya cara tersendiri dan style penulisan. Suka silakan baca kalau tidak sila tinggal blog ini… jangan pula “benci” tapi “rindu”… Apa pun TAHNIAH buat KBTBB kerana berjaya melakar sebuah lagi sejarah penting untuk warisan basikal tua di Malaysia. Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih khas buat En. Saufi Hamzah bersama team iBH yang telah berjaya mengarap dan mempersembahkan sesuatu yang “luar biasa” mengenai basikal tua kepada seluruh pembaca dan peminat. Semoga usaha murni ini akan memberi faedah dan kenangan seumur hidup buat semua pejuang dan pencinta basikal tua di Malaysia, Nusantara dan dunia. Sekian - Basikal Malaya

Sepetang bersama Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang (KBKKK), Banting, Selangor

Gandingan generasi tua dan muda bersama membentuk sebuah kelab baru di Kampung Kundang, Banting, Selangor

Kemunculan Kelab Basikal Klasik Kampung Kundang bukti hobi basikal tua semakin diminati ramai

Siapa sangka pertemuan di Pertandingan Basikal Klasik di ADTEC, Batu Pahat, 2 minggu lalu menemukan penulis dengan sahabat-sahabat dari Kelab Basikal Klasik Kg. Kundang (KBKKK) telah membawa penulis untuk mengenali lebih dekat kelab yang baru muncul dari Banting, Selangor ini. Pada Ahad lepas penulis dan Sdr. Sanim (NBT) sempat meluangkan masa melawat sahabat-sahabat KBKKK di Kg. Kundang, Banting yang lokasinya terletak lebih kurang 100km dari Kuala Lumpur. Walaupun sedikit lewat dari jadual asal kerana urusan keluarga namun kami sempat sampai dengan selamat di Kg. Kundang yang terletak tidak jauh dari Kg. Tanjung Sepat sekitar jam 3:15 petang.

Setibanya di persimpangan Kg. Kundang kami telah ditunggu oleh Sdr. Adi yang merupakan “orang kuat” KBKKK untuk membawa kami ke “port” mereka iaitu di “Warung KL” yang terletak tidak jauh dari situ. Kehadiran kami telah dinanti oleh lebih 20 orang ahli-ahli KBKKK yang telah menunggu kami sejak jam 2:30 petang. Di situ penulis sudah dapat rasakan “aura” yang ada pada ahli-ahli KBKKK yang ternyata bersemangat, “warm” dan “friendly”. Selepas berehat sebentar, kami diajak untuk ke rumah En. Sucah bin Ahmad untuk sessi suai kenal dan jamuan ringan bersama ahli-ahli KBKKK.

Inilah "markas" atau "pengkalan" KBKKK yang dikenali sebagai "Warung KL" yang terletak di dalam Kampung Kundang

Beberapa ahli-ahli KBKKK sedang menunggu ketibaan penulis dan Sdr. Sanim di rumah En. Sucah

Setelah memperkenalkan diri dan diperkenalkan kepada semua ahli-ahli KBKKK, penulis memulakan acara silaturahim dengan menyematkan Lencana KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Tuan Hj. Miskam bin Hj. Dahlan dan Sdr. Adi sebagai tanda persahabatan sesama pencinta basikal tua. Walaupun acara ini ringkas namun ianya merupakan simbolik dan tanda persahabatan yang penuh bermakna bagi kami. Kerana hobi “basikal tua” lah kami dipertemukan dan menjadi sahabat…dan penulis berdoa agar persahabatan yang baru terjalin ini akan membuka satu lembaran baru bagi KBKKK untuk terus bergerak maju ke hadapan.
Kelab yang disertai gabungan ahli-ahli veteran dan generasi muda seramai 40 orang ahli, penulis dapat menilai potensi dan “kekuatan dalaman” yang ada pada kelab yang baru bertatih ini. Sungguhpun mereka baru namun “semangat” mereka menjadi senjata yang berkesan kerana berani membawa ahli-ahlinya keluar dari Kg. Kundang untuk menimba pengalaman dengan menyertai Pertandingan Basikal Klasik di Batu Pahat dan terkini mereka menyertai satu acara kayuhan basikal terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Inilah transformasi yang harus dilakukan oleh mana-mana kelab yang ada…iaitu “keberanian” untuk membawa ahli-ahlinya keluar dari “kepompong” dan melihat dunia luar.

Tanda persahabatan - Penulis menyematkan pin KBTBB kepada Pengerusi KBKKK iaitu Hj. Miskam bin Hj. Dahlan

Ini dia orang "paling kuat" KBKKK iaitu Sdr. Adi yang menjadi perancang utama kelab yang baru muncul ini

Perkembangan positif ini bukan sahaja berlaku di Kampung Kundang tetapi juga di sekitar daerah Banting. Sewaktu perjalanan ke sana penulis terserempak dengan sekumpulan ahli-ahli Basikal Tua yang sedang mengayuh pulang dari Pantai Morib sekitar 20 orang menuju ke arah Banting. Di daerah ini dianggarkan sekitar 2-3 kumpulan dari beberapa Kampung juga aktif dengan aktiviti basikal tua dan usaha menjejaki kumpulan-kumpulan ini akan dijalankan sedikit masa lagi. Walaupun kesulitan mencari barang-barang basikal tua semakin sukar dengan senario lintah-lintah darat yang sedang bermaharaja-lela namun ahli-ahli KBKKK masih berjaya memiliki koleksi-koleksi basikal tua yang tidak kurang hebatnya kerana mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri.

Mereka juga mempunyai rangkaian “networking” dalam mengesan barang-barang basikal dan alat-alat ganti untuk keperluan ahi-ahli mereka. Mereka juga mempunyai beberapa “pakar” dalam mengesan dan membaik-pulih basikal tua dengan kos yang paling minimum untuk ahli-ahlinya. Antara koleksi yang dimiliki KBKKK ialah Raleigh, Norman, Hercules, Rudge, New Hudson Posmen, BSA, Jump, Hopper dan sebagainya. Paling mahal ialah kehadiran golongan veteran yang sentiasa memberikan nasihat dan panduan serta pengalaman mereka mengenai basikal tua manakala generasi mudanya menjadi tulang belakang merencana pelbagai aktiviti untuk mengerakkan kelab mereka.

Brader nie bergaya dengan koleksi basikal kesayanganya...

Basikal posmen New Hudson yang masih dalam kondisi original...

Tuan Haji Sibadar bin Hj Abdullah dengan basikal Norman yang dibelinya pada tahun 1960an

Walaupun lawatan kami ke sana merupakan lawatan singkat dek keterbatasan masa namun sempat juga kami berkayuh mengelilingi kampung beramai-ramai. Deringan bunyi loceng basikal tua ternyata masih mampu mengamatkan suasana sewaktu kayuhan. Terasa seronok dapat berbual -bual sambil berkayuh santai mengelilingi kampung. Hampir 40 minit berkayuh kami pulang semula ke rumah En. Sucah untuk menikmati hidangan minum petang yang telah disediakan KBKKK. Selesai makan dan minum sempat juga penulis membuka iPad dan berkongsikan pengalaman penulis melalui gambar-gambar, video dan cerita-cerita menarik mengenai basikal tua kepada ahli-ahli KBKKK. Paling mengejutkan di rumah En. Sucah ada WIFI dan dapatlah penulis membuka blog BM untuk mereka melihat sendiri perkembangan basikal tua tanahair dan senario yang berlaku. Melalui blog yang wujud dapatlah mereka mengetahui perkembangan dunia luar dan pentingnya teknologi dalam kehidupan.

Anak-anak kecl juga sudah diajar dan dibawa menyertai kayuhan basikal tua...taklah jadi hobi untuk golongan2 veteran jer

Hidangan minum petang yang telah disediakan oleh KBKKK untuk semua ahli-ahlinya...

Hidup basikal tua! Hidup basikal tua! Hidup KBKKK!

Yang tua tetap dihormati... tua dan muda sama-sama berbakti... tiada yang tua tiadalah yang muda...

Dikesempatan ini penulis ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sdr. Adi dan KBKKK kerana sudi menerima kami sebagai tetamu dan berharap persahabatan yang terjalin ini akan terus berkekalan. Penulis juga ingin menjemput semua ahli-ahli KBKKK untuk bersama-sama turun padang pada acara-acara besar yang bakal dirancang oleh KBTBB di masa hadapan. Penulis ingin memohon maaf seandainya ada terkasar bahasa dan terlanjur kata sewaktu singgah sepetang bersama KBKKK. Semoga kelab yang baru ditubuhkan yang penuh ambisi ini terus sukses dan berjaya. Akhir kata hiduplah basikal tua di bumi Malaya Merdeka! – Basikal Malaya

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.